26 Mei 2022, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Setelah perasmian pembukaannya oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 5 Mac 2022, Seminar Kearifan Tempatan bertemakan “Penyelidikan Borneo” menjadi program sulung yang diadakan di Muzium Budaya Borneo pada 25 Mei 2022. Seminar yang bermatlamat untuk menonjolkan kearifan tempatan yang terdapat di Sarawak dan Sabah ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Dato Zaiedi Haji Suhaili.

Dato Zaiedi Haji Suhaili.

Dalam ucapannya, Dato Zaiedi Haji Suhaili menyatakan negeri Sarawak yang memiliki pelbagai etnik amat kaya dengan adat dan budaya yang cukup unik. Oleh yang demikian, pengkajian tentang kearifan tempatan serta penerbitan bahan yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya tempatan, terutama di Kepulauan Borneo perlu dilakukan dengan giat dan berterusan. “Terbitkan hasil kajian tentang kearifan tempatan untuk rujukan dan bacaan generasi akan datang. Jangan simpan hasil kajian itu. Melalui penerbitan itu nanti, semua elemen nilai, mesej dan falsafah yang dikesan dalam kajian berkaitan dengan kearifan tempatan akan diketahui oleh banyak pihak, malah berpotensi untuk diperkenalkan pada peringkat antarabangsa”, demikian ucap Dato Zaiedi Haji Suhaili yang turut memuji usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak menganjurkan seminar kerifan tempatan yang melibatkan Sabah dan Sarawak.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai dalam ucapan alu-aluannya pula berterima kasih atas dukungan dan sokongan pihak Kerajaan Negeri Sarawak khususnya dalam agenda memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negeri Sarawak.

Menurut Abang Haliman Abang Julai,

Pihak DBP Cawangan Sarawak akan meneruskan usaha penyelidikan bahasa, sastera dan budaya untuk mencungkil nilai dan mesej berkaitan dengan kearifan tempatan. Hasilnya akan didokumentasikan kerana kajian sebegini akan menjadi rujukan para pengkaji, selain membuka ruang dan peluang untuk penyelidikan baharu yang lebih mendalam tentang kepelbagaian etnik, adat dan budaya yang terdapat di negeri Sarawak.

Dalam majlis yang sama juga berlangsungnya pelancaran buku Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Suku Kaum Kayan Avun Batang Hagang Kayo. Buku yang menghimpunkan cerita lisan masyarakat Kayan ini sarat dengan adat dan budaya serta kisah kepahlawanan dan kebijakan suku kaum Kayan pada masa dahulu. Cerita dalam buku Avun Batang Hagang Kayo diperoleh melalui temu ramah informan yang kemudiannya ditranskripsi dalam bentuk karya kreatif oleh DBP Cawangan Sarawak.

Pelancaran buku Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Suku Kaum Kayan Avun Batang Hagang Kayo.

Sebelum acara perasmian seminar dan pelancaran buku Avun Batang Hagang Kayo, berlangsungnya sesi ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Norhashimah Jalaluddin. Beliau yang kini menjadi Felo Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mengetengahkan kajian “Mengenali Akal Budi Melayu Sarawak”.

Profesor Dr. Norhashimah mengetengahkan tinjauannya berkaitan dengan mesej dan falsafah yang tersembunyi di sebalik adat dan budaya serta cerita rakyat yang terdapat di Sarawak dan Sabah. Beliau juga turut menggesa agar hasil kajian itu diterbitkan untuk rujukan dan bacaan generasi akan datang.

‘Sarawak dan Sabah memiliki banyak sumber yang menyimpan kearifan tempatan. Kajian yang mendalam harus dilakukan, terutama untuk melihat falsafah dan pemikiran yang terdapat pada adat dan budaya yang menjadi warisan berharga dan sarat dengan pengajaran. Misalnya, mengapa cara memasak pulut berbeza-beza dalam kalangan etnik yang terdapat di Sarawak? Perkara seperti itulah yang menarik untuk dikaji dan diberitahu kepada generasi pada hari ini,’ demikian saranan Profesor Dr. Norhashimah yang memang gemar mengkaji aspek akal budi dan kearifan tempatan masyarakat di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Dalam seminar yang berlangsung sehari ini, sebanyak enam kertas kerja yang berkaitan dengan kearifan tempatan masyarakat di Sarawak dan Sabah telah dibentangkan oleh enam pemakalah. Pembentangan sesi pagi menampilkan pemakalah dari Sarawak, iaitu Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh dari Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang dengan tajuk tajuk kajiannya, “Larangan Memakan Ikan Patin: Tinjauan Fenomenologi Masyarakat Melayu Melanau di Sarawak”. Dr. Remmy Gedat dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mewakili etnik Iban membentangkan tajuk “Kearifan Tempatan Masyarakat Iban dalam Cerita Rakyat Apai Saloi” manakala Dr. Yvonne Michelle Campbell juga dari UNIMAS membentangkan kajian berkaitan dengan konseptualisasi budaya suku kaum Bidayuh. Pembentangan sesi petang pula menampilkan pemakalah dari Sabah, iaitu Dr. Rosliah Kiting yang menjelaskan amalan sundait, Dr. Elexson Nillian dari Universiti Malaysia Sabah yang berkongsi penemuan berkaitan adat dan budaya suku kaum Cebub, dan Profesor Madya Dr. Asmiaty Amat juga dari Universiti Malaysia Sabah yang menjelaskan watak dan nilai positif dalam cerita jenaka etnik peribumi Sabah.

Seminar anjuran kerjasama DBP Cawangan Sarawak, DBP Cawangan Sabah, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak ini juga diadakan bersempena dengan sambutan 45 tahun DBP Cawangan Sarawak pada tahun ini. Seminar yang menjadi medium untuk menyampaikan hasil kajian dan penemuan berkaitan dengan sastera lisan, adat dan budaya ini turut dihadiri oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah JKKN Sarawak, Puan Noor Sela Noor Sulaiman dan Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Dayang Morzana Awang Haddy.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.