27 Mei 2022, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menerima undangan menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis yang diadakan di Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar, malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Surina Saad dan Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Baderulhisham Baharudin serta para pegawai kanan PDRM Perlis. Yang turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan melawat gerai-gerai yang dihias dengan menarik.

Dalam majlis tersebut, DYMM Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis melawat gerai-gerai yang dihias menarik serta menyajikan pelbagai juadah yang disediakan mengikut jabatan dalam PDRM Perlis, disusuli dengan sesi bergambar kenangan, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Dato’ Ketua Polis Negeri serta majlis santapan diiringi pelbagai persembahan kebudayaan dan sketsa menarik oleh warga kerja PDRM Perlis. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah juga memotong kek pada kemuncak majlis bersempena dengan hari ulangtahun keputeraan baginda yang ke-79 pada 17 Mei 2022.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Panglima Acryl Sani Haji Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Datuk Razarudin Husain serta bekas Ketua Polis Negeri Perlis dan juga barisan pengurusan tertinggi PDRM Perlis masa kini mempersembahkan ucapan tahniah dan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun kepada Tuanku Raja melalui siaran digital dalam majlis tersebut.

Tuanku Raja Perempuan dalam titah baginda mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh keluarga PDRM.

DYMM Tuanku Raja Perempuan dalam titah baginda kepada sekalian yang hadir mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh keluarga PDRM. Titah baginda, “Semoga Hari Raya Aidilfitri pada kali ini membawa 1001 kenangan dan kebahagiaan buat semua.”

Baginda dan Tuanku Raja turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM atas jasa mengawal keselamatan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.

Tuanku Tengku Fauziah turut mendoakan agar warga PDRM terus-menerus dikurniakan kesihatan dalam hari-hari mendatang.

Ambillah peluang pada majlis tersebut untuk mengenali dan memaafi sesama sendiri agar warga PDRM Perlis dapat saling bekerjasama sebagai satu pasukan yang utuh dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!