2 Jun 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Karnival Langkawi Geopark 2022 bakal berlangsung selama sebulan bermula dari 1 Jun sehingga 30 Jun 2022. Karnival anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ini adalah untuk menerapkan kefahaman dan nilai kebersamaan dalam kalangan komuniti pulau ini bagi memartabatkan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark pertama di Asia Pasifik dan yang ke-52 di dunia.

Majlis Perasmian Karnival Langkawi Geopark 2022 yang diadakan di Auditorium Kompleks LADA. (Sumber: Facebook LADA)

Penganjuran karnival kali ini juga adalah merupakan langkah awal pihak LADA untuk memaklumkan kepada umum terutamanya komuniti setempat bahawa pulau ini akan dinilai bagi kali keempat oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun hadapan. Penilaian semula ini merupakan proses semakan oleh pihak UNESCO bagi memastikan pengurusan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh mereka, iaitu melalui keunikan warisan geologi, pemuliharaan dan pemeliharaan, pendidikan awam dan pembangunan komuniti dari sudut ekonomi dan sosiologi.

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah merangkap Penaung DiRaja LUGGp. (Sumber: Facebook LADA)

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah merangkap Penaung DiRaja LUGGp telah mencemar duli dan merasmikan Karnival Langkawi Geopark 2022 yang diadakan di Auditorium Kompleks LADA pada 31 Mei 2022 yang lalu. Beliau berkata dalam ucapan perasmiannya, karnival sebegini amat penting untuk dianjurkan kerana dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada rakyat Langkawi tentang betapa pentingnya peranan semua pihak untuk terus menyokong LADA dalam usaha untuk mengekalkan pengiktirafan LUGGp sebagai satu daripada geopark yang diiktiraf oleh pihak UNESCO seterusnya mampu melonjakkan nama pulau ini sebagai salah satu destinasi pelancongan yang lestari dan ternama di mata dunia.

Dalam majlis perasmian tersebut juga, seramai 15 orang peserta Geowalk telah menyampaikan bendera LUGGp kepada Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah sebagai simbolik kepada kejayaan mereka menyempurnakan perjalanan 90km dalam tempoh 24 jam mulai 31 Mei 2022.

Keluarga Malaysia terutamanya bagi mereka yang tinggal di Pulau Langkawi boleh bersama-sama memeriahkan karnival yang berlangsung selama sebulan ini kerana pelbagai aktiviti dan program menarik yang disediakan untuk semua lapisan masyarakat. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook rasmi LADA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.