2 Jun 2022, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Pemilik syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. yang juga komposer, penulis lirik dan penyanyi legenda tanah air, Dato’ M. Nasir menerusi album solo beliau yang berjudul Solo pada tahun 1989, pernah mencipta dan menyanyikan lagu adaptasi daripada Surah al-Asr.

Lagu berjudul Demi Masa yang liriknya karya M. Nasir sendiri itu cuba membawa kesedaran mengenai kepentingan masa agar tidak disia-siakan. Saya sengaja mengambil Demi Masa kerana mahu mengaitkannya dengan lagu tunggal baharu nyanyian pendatang baharu yang diterbit, dan diedarkan oleh Luncai Emas, berjudul Tiada Ganti Cinta ini.

Auranzeb, anak muda berbakat besar.

Nama penyanyi baharu tersebut juga menarik kerana mirip nama maharaja keenam Empayar Mogul yang masyhur, Aurangzeb atau nama sebenarnya, Muhi al-Din Muhammad. Penyanyi muda yang dimaksudkan itu ialah Auranzeb atau nama penuhnya, Muhammad Auranzeb Berembi. Irama lagu Tiada Ganti Cinta ini ciptaan komposer terkenal, Awang BPR, sementara liriknya karya Keon, yang juga salah seorang tenaga penting Luncai Emas.

Saya mengaitkan Tiada Ganti Cinta ini dengan Demi Masa kerana Keon menjelaskan lagu ini juga diilhamkan daripada Surah al-Asr. Keon mengingatkan bahawa masa yang lepas tidak akan kembali lagi.

“Janganlah kerugian ketika melalui perjalanan hidup kita yang penuh ranjau duri ini. Hanya dengan kesabaran dan saling menasihati akan membawa kebaikan kepada kita semua,” tegas Keon lagi.

Berusia 19 tahun, Auranzeb berbakat besar dalam nyanyian. Awang sendiri mengakui oleh sebab kelebihan itu, Auranzeb tidak menghadapi sebarang masalah ketika merakamkan suara di studio.

Menurut Awang yang pernah mencipta melodi lagu-lagu terkenal, termasuklah Umpama Mimpi dalam Mimpi (kumpulan Damasutra), Auranzeb merupakan artis terbaharunya pada tahun ini. Beliau telah mencipta sebuah irama balada rock dengan liriknya berkonsepkan kerohanian.

Jelas Awang, susunan asal muzik dibuat oleh Tony Iskandar (kumpulan Spider) sebelum Allahyarham meninggal dunia pada Jun 2021 akibat serangan jantung. Walau bagaimanapun, susunan muzik tersebut disambung oleh Malio. Tiada Ganti Cinta ini dirakamkan di Quantizes Studio dengan susunan muzik yang baharu itu.

“Setelah pihak Luncai Emas berbincang dengan saya sebagai penerbit untuk merakamkan lagu tunggal bagi bakat baharu, saya memilih Auranzeb menyanyikan Tiada Ganti Cinta ini,” jelas Awang yang menguji bakat Auranzeb terlebih dahulu sebelum bersetuju mengambilnya sebagai penyanyi.

Auranzeb yang berasal dari Seremban, memberitahu beliau menceburi bidang seni suara kerana meminati muzik, terutamanya muzik tahun 1980-an dan 1990-an. Menurutnya, muzik era tersebut mampu menangkap perasaan generasi baharu sepertinya, dan mudah diingati.

“Saya gembira diberikan tanggungjawab menyanyikan Tiada Lagi Cinta ini, apatah lagi, pencipta melodi dan penulis liriknya merupakan karyawan terkenal. Saya tiada idola tertentu, tetapi amat terilham dengan kumpulan rock besar seperti Wings, Search, May dan BPR,” tambah Auranzeb.

Lagu tunggal Tiada Ganti Cinta ini telah dilancarkan secara perdana di saluran YouTube Luncai Umas bersama-sama sebuah video muzik. Audio rasminya juga boleh distrim di semua pelantar digital bermula pada 27 Mei 2022 yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.