3 Jun 2022, 07:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mereka yang tertarik dengan kimono dan ingin memakainya sama ada di reruai produk pelancongan atau dalam pertandingan kostum yang diadakan, boleh mengunjungi Festival Malaysia-Jepun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang dekat sini. Festival anjuran Alumni Program Rakan Abad ke-21 ASEAN-Jepun, Malaysia (PAMAJA) ini berlangsung dari 2 hingga 5 Jun 2022 bermula pada pukul 10.00 pagi.

Selain reruai produk pelancongan, dan pertandingan kostum, Festival Malaysia-Jepun 2022 turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti promosi latihan dan pembelajaran vokasional teknikal, serta pameran Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang memaparkan sejarah panjang hubungan, dan kejayaan Malaysia-Jepun.

Diadakan juga demonstrasi makanan seperti rendang, laksa, kari India, mi Cina dari Malaysia; sushi, sashimi, onigiri, ramen, halus mitai (watamae), daging wagyu dari Jepun; persembahan kebudayaan, tarian, serta muzik tradisional Malaysia dan Jepun (bertukar topeng Cina, tarian klasik, seni mempertahan diri silambam, persembahan silat, persembahan okarina, perarakan matsuri, ikebana dan origami), kelas bahasa Jepun, kaligrafi Jepun, kaligrafi khat, mencanting batik, mengukir kayu, kelas melukis (seni, animasi, kartun), program pertukaran hibrid, dan seminar.

Antara kostum yang terlibat dalam pertandingan kostum Malaysia dan Jepun termasuklah baju kurung, ceongsam, baju Melayu, dan sari (Malaysia), serta kimono dan yukata (Jepun). Jadi, para pengunjung boleh mencuba pakaian tradisi Jepun ini.

Antara objektif Festival Malaysia-Jepun 2022 adalah mempromosikan pelancongan, kesenian, serta kebudayaan Malaysia dan Jepun; menimbulkan kesedaran terhadap ulang tahun Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang ke-40; memberikan pengalaman pelancongan, kesenian, dan kebudayaan kepada para pengunjung; memperkuat motivasi pembelajaran menerusi interaksi dan jaringan; memperkukuh hubungan antara pertubuhan; dan membantu industri pelancongan inap desa kerana 65 peratus daripada tetamu ialah warganegara Jepun.

LEP yang merupakan dasar ekonomi diilhamkan oleh Perdana Menteri yang keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun). Dr. Mahathir sendiri melancarkannya pada 8 Februari 1982, semasa Persidangan Tahunan Kerjasama MAJECA/JAMECA Kelima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. LEP juga sebagai reaksi kepada dasar “Buy British Last” (yang juga diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir pada Oktober 1981).

Baru-baru ini, Jepun berminat untuk terus mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname. Jelas Araki, Jepun akan bekerjasama dengan Malaysia bersempena merayakan pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu. Katanya lagi, tumpuan juga akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang.

Tun Dr. Mahathir sendiri menganggap LEP telah berjaya serta harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia. Katanya, dasar berkenaan memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia, dan memberikan sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Penganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 juga mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pelancongan Malaysia, Kedutaan Jepun, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, MaTiC, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pelukis seMalaysia, Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun, Persatuan Hotel Bisnes dan Bajet Malaysia, Yayasan Jepun, Kolej Komuniti Selangor dan Pahang, Biro Pelancongan Jepun, Kraftangan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Balai Seni Negara, Persatuan Penulis Pelancongan; Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, dan semua agensi berkaitan.

Perasmian Festival Malaysia-Jepun 2022 telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC, Dr. Tan Awang Besar di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 2 Jun 2022 yang lalu.

Yang turut hadir ialah Presiden PAMAJA dan Persatuan Inap Desa Malaysia, merangkap Pengerusi festival, Dato’ Sahariman Hamdan; Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi; dan Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dato’ Sahariman menegaskan selama empat dekad, LEP telah menjadi penyumbang utama terhadap jalinan perhubungan antara Malaysia dengan Jepun. Hasilnya, dalam hubungan dua hala ini, kolaborasi ekonomi kedua-dua negara berkembang pesat.

Para peserta Festival Malaysia-Jepun 2022 yang gembira berkimono bergambar di samping bahan pameran bersempena dengan Festival Malaysia-Jepun 2022 pada 2 hingga 5 Jun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia.

Sementara itu, Katsuhiko Takahashi dalam ucapannya memuji usaha PAMAJA dan Persatuan Inap Desa Malaysia yang begitu giat mengadakan pelbagai acara, bagi mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Jepun.

Melalui Festival Malaysia-Jepun 2022 ini, Katsuhiko berharap selain menyambut ulang tahun ke-40 LEP, Malaysia dan Jepun akan merangka kerjasama, dan merancang lebih banyak program bagi mengeratkan lagi persaudaraan kedua-dua negara.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Dr. Tan memuji penganjuran Festival Malaysia-Jepun 2022 dan berharap akan menjadi acara tahunan. Festival ini memang merupakan peluang besar bagi rakyat Malaysia lebih mengenali kebudayaan, kesenian, bahasa dan pelancongan Jepun.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!