4 Jun 2022, 21:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rembau – Telah berlangsung Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Imam Khalifah dan Kehormat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau, bertempat di Balai Seri Rama, Balai Undang Luak Rembau, pada pukul 2.30 petang tadi. Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Undang Luak Rembau, Lembaga Beradat Kebangsaan dan Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat tersebut disempurnakan oleh Dato’ Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,  YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerima Sandang Kehormat Mahkota Seri Chula Pelangi.

Dalam sabda Dato’ Undang Luak Rembau, beliau berkata, “Bersilat merupakan satu budaya dan adat orang Melayu, yang Alhamdulillah masih ada hingga hari ini.”

Anak-anak kita yang diajar bersilat tidak saja membentuk jati diri sebagai seorang lelaki atau perempuan, malahan dalam bersilat juga diajar tentang adab dan adat dalam perguruan, sekali gus melatih seseorang itu menjadi manusia yang cemerlang lahiriah, akliah untuk menyumbang kepada tamadun mereka kelak.

Menerusi ucapan Waris Amanah Mahaguru, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, beliau menghargai semua penerima sandang kehormat Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan atas jasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam perjuangan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN melalui penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Menurut beliau, usaha tersebut merupakan usaha murni demi kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Apabila menyebut bangsa dan adat Melayu, hal yang demikian bukanlah rasis tetapi merupakan watan negara, cerminan jati diri bagi bangsa Melayu dan landasan perpaduan bagi kepelbagaian kaum di negara ini.

Majlis tersebut diteruskan dengan Persembahan Salinan Perlembagaan Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM) kepada YTM Dato’ Undang Luak Rembau yang juga selaku penaung PSGSM, Istiadat Ambil Tapak dan seterusnya Istiadat Penganugerahan Sandang.

Sebanyak tiga Sandang Kebesaran, iaitu Seri Mahkota Agung Buana Chula Sakti (Imam Khalifah Negeri Melaka), Seri Chula Sakti (Waris Beradat) dan Seri Bintang Sakti (Ketua Beradat), serta tujuh Sandang Kehormat, iaitu Mahkota Agung Seri Relang Pelangi, Mahkota Seri Chula Pelangi, Mahkota Seri Bintang Pelangi, Mahkota Chula Pelangi, Mahkota Bintang Pelangi, Mahkota Relang Pelangi dan Mahkota Pelangi diberikan kepada kira-kira 29 orang penerima sandang.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menerima Sandang Kehormat Mahkota Seri Chula Pelangi.

Pada majlis istiadat tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,  YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menerima Sandang Kehormat Mahkota Seri Chula Pelangi. Kedua-dua tokoh ini menerima penghargaan daripada PSGSM atas segala jasa dan sumbangan serta sokongan dalam perjuangan pertubuhan tersebut mengangkat silat seni gayong selama ini.

Antara penerima sandang kehormat PSGSM yang lain termasuklah Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka, menerima Sandang Kebesaran Seri Mahkota Agung Buana Chula Sakti (Imam Khalifah Negeri Melaka) dan Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Pegawai Khas Perdana Menteri yang menerima Sandang Kehormat Mahkota Seri Bintang Pelangi.

Sepintas lalu, silat seni gayong diasaskan oleh Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim. Seni ini merupakan ilmu persilatan purba yang dizahirkan semula oleh Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman pada tahun 1938 di Taiping dan mula dikenali apabila berlaku peristiwa di Pulau Sudong pada tahun 1942. Oleh itu, Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Silat Seni Gayong seperti yang diadakan pada hari ini merupakan satu upacara untuk melantik pemimpin-pemimpin adat, pengiktirafan kegurulatihan dan penghargaan buat mereka yang layak lagi berjasa kepada silat seni gayong.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.