12 Jun 2022, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jika Dato’ Sri Siti Nurhaliza diiktiraf sebagai penyanyi nombor satu negara, dan Ella terkenal dengan jolokan ratu rock tanah air, Noraniza Idris pula ialah ratu irama tradisional Malaysia.

Atas kedudukan tersebut, Noraniza atau nama sebenarnya, Nor Aniza Idris, 53 tahun, beberapa kali ditawarkan oleh individu yang mahu mencadangkan beliau dikurniakan gelaran Datuk.

Walau bagaimanapun, anak kelahiran Kluang, Johor yang lebih mesra dipanggil Kak Ani ini mengakui telah menolak tawaran tersebut kerana merasakan beliau belum benar-benar layak menyandangnya. Jelas Noraniza, beliau segan untuk “memikul” gelaran Datuk kerana belum memberikan sumbangan besar, dan juga bukan jutawan yang mampu membantu orang lain.

Begitu pun, hakikat tetap hakikat kerana Noraniza merupakan salah seorang penyanyi terbaik Malaysia yang berjaya melahirkan banyak album solo selain Datuk M. Nasir, Anita Sarawak, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Dato’ Khadijah Ibrahim, Dato’ Jamal Abdillah dan Ramlah Ram.

Kita wajar menghormati alasan dan pendirian Noraniza itu. Namun demikian, barangkali tidak wajar jika beliau turut menolak pelantikan sebagai duta yang relevan atas segala jasa, dan kebolehannya dalam bidang seni suara tanah air.

Setelah memulakan kerjaya nyanyian pada tahun 1985, Noraniza yang cukup sinonim dengan lagu-lagu berentak irama tradisional Malaysia dan etnik kreatif menerusi 13 buah album solo, beberapa buah album kompilasi dan duet, serta banyak meraih kejayaan dalam anugerah besar muzik tanah air, dan masih teguh memperjuang irama budaya, wajar dilantik sebagai Duta Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pelancongan Seni dan Budaya.

Noraniza Idris (dua dari kanan) memotong kek bersempena dengan penajaan MRF Consultant Sdn. Bhd. untuk NIPV Management Sdn. Bhd. bersama-sama Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Baba (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Haji Jefrri Iman Hj. Hoodi (kanan sekali).

Noraniza dilantik bersama-sama suaminya, Haji Jefrri Iman Haji Hoodi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif NIPV Management Sdn. Bhd. (NIPV) dalam majlis Pelantikan Duta Tanggungjawab Sosial Korporat Pelancongan Seni dan Budaya, dan pelancaran Skim “Rumahku Syurgaku” di sebuah hotel terkemuka pada 7 Jun 2022 yang lalu.

Majlis tersebut dianjurkan oleh MRF Consultant Sdn. Bhd. (MRF) dengan kerjasama Persatuan Tatihseni Malaysia. Dalam ucapannya, Pengerusi MRF, Dato’ Seri Baba Ali memberitahu pihaknya telah bergiat dalam bidang hartanah sejak tahun 2002. Bermula dengan konsultasi projek kecil-kecilan, MRF mendapat kepercayaan dalam projek berskala sederhana.

Kini, tambah Dato’ Seri Baba, MRF mula bergerak dalam usaha sama untuk projek berskala besar, yang mempunyai impak besar kepada ekonomi negara, seperti pembinaan, rumah kediaman, projek lebuh raya, hospital, perladangan, petroleum, pendidikan dan pelancongan.

“Namun begitu, MRF tidak melupakan satu bahagian penting dalam jaluran ekonomi, iaitu membantu golongan masyarakat yang menjadi tunjang kepada rantaian ekonomi – rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” tegas beliau.

MRF membuka pintu bagi penglibatan dalam bentuk CSR bagi program yang dinamakan “Rumahku Syurgaku” dan mengumumkan kerjasama dengan NIVP.

“MRF melantik Noraniza dan Jeffri sebagai duta pelancongan seni dan budaya bagi menjalankan kegiatan memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara agar terus hidup mekar dalam membudayakan rakyat Malaysia supaya terus kekal, dan tidak melupai asal usul kesenian nenek moyang mereka,” jelas Dato’ Seri Baba.

Kerjasama ini juga, tambah beliau, sedikit banyak dapat membantu mempromosikan “Rumahku Syurgaku” MRF dalam acara-acara yang dijalankan oleh Noraniza-Jeffri di seluruh negara.

“MRF berharap kerjasama ini berjalan lancar, dan memohon sokongan semua pihak, terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Dato’ Seri Baba lagi.

Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Baba (kiri) menyampaikan ucapan ringkas, serta melancarkan pelantikan Duta Tanggungjawab Sosial Korporat Pelancongan Seni dan Budaya, dan skim “Rumahku Syurgaku”.

Objektifnya adalah untuk memaklumkan secara rasmi penubuhan pusat CSR pelancongan seni dan budaya MRF yang berperanan membantu golongan masyarakat melalui aktiviti yang dianjurkan, di samping menggalakkan pembangunan penerbitan irama tradisional Malaysia yang lebih agresif, serta meringankan sedikit bebanan para penggiat seni yang telah terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Objektif ini seiring dengan matlamat Persatuan Tatihseni Malaysia dalam menganjurkan program CSR ini adalah untuk melestarikan kesenian, dan kebudayaan Malaysia secara menyeluruh.

Pendekatan CSR budaya dan modal insan bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, sambil membantu penggiat seni yang terkesan teruk akibat pandemik global COVID-19.

Sementara itu, dalam ucapannya, Jeffri memberitahu beliau berperanan sebagai penggalak semangat akhlak dalam program modal insan. Katanya, Persatuan Tatihseni Malaysia dan NIVP bekerjasama untuk memupuk nilai-nilai murni kepada generasi masa kini menerusi kegiatan yang dianjurkan.

“Kehadiran saya juga seiring dengan matlamat pengasas program modal insan yang membawakan modul berteraskan pelancongan, kesenian dan kebudayaan, iaitu Noraniza sendiri, yang telah menjalankan kegiatan CSR bersama-sama masyarakat secara turun padang sejak tahun 2008,” tambahnya.

Sebagai suami dan rakan seperniagaan Noraniza, tegas Jeffri, secara jujur beliau mengagumi semangat perjuangannya yang bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi prihatin dalam mengangkat seni dan budaya ke tahap yang lebih baik menerusi kegiatan yang dijalankan.

Antara program CSR akan datang yang telah disusun oleh Noraniza, jelas Jeffri, ialah Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2022 di 15 lokasi. Tambah beliau, ini merupakan siri jelajah musim kelima.

“Sejak prapelancarannya pada 10 Disember 2021, diikuti di Bukit Mertajam pada 20 Mei lalu, dan di Kuching pada 24 Jun nanti, promosi mendekati seni budaya zapin ini dijangka berakhir pada 16 September akan datang dengan program peringkat Nusantara sebagai acara kemuncak,” kata Jeffri yang bersyukur usaha Noraniza selama ini medapat perhatian MRF.

Semua acara seperti bengkel zapin, bengkel muzik sinkretik dan ciptaan lagu zapin, bengkel lakonan teater sejarah Melayu yang dianjurkan dalam siri jelajah, tambah beliau, telah disasarkan kepada golongan berusia lima tahun ke atas secara percuma tanpa yuran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.