13 Jun 2022, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sampan, perahu, bot, kapal dan bahtera tidak asing lagi dalam kehidupan manusia. Kesemuanya kenderaan air, iaitu di sungai dan di laut, serta digunakan oleh semua peringkat umur dan latar belakang kehidupan. Suasana di sekitar atau di kiri kanan mana-mana sungai sama sahaja selagi tidak mengalami perubahan akibat projek pembangunan atau sesuatu bencana alam.

Saya tertarik untuk menyentuh tentang perasaan atau pengalaman yang dirasai semasa menaiki kenderaan air yang berbeza-beza seperti sampan, perahu, bot, kapal dan bahtera. Melihat pemandangan persekitaran ketika bersampan tidak sama dengan semasa menaiki bot, apatah lagi bot laju.

Selain Sungai Perak yang harus dikunjungi dan ditatapi dengan duduk bersantai di tebingnya jika datang ke Bandar Diraja negeri Perak, iaitu Kuala Kangsar, terdapat sebuah kenderaan air untuk menelusuri sungai tersebut (walaupun dalam jarak yang terhad) yang tidak wajar ditinggalkan. Istimewanya, daripada kenderaan diraja, kini kenderaan tersebut menjadi kenderaan untuk orang awam menikmati pemandangan alam sewaktu masa lapang, sama ada berseorangan ataupun bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.

Kenderaan air tersebut dikenali sebagai Balai Gambang yang telah wujud sejak tahun 1754. Balai Gambang tersendiri dan eksklusif kerana dibina bersempena dengan pertabalan Paduka Seri Sultan Perak.

Balai Gambang Cempaka Sari yang kini di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Perak boleh membawa kira-kira 25 orang penumpang pada satu-satu masa.

Sebenarnya, Balai Gambang telah diperkenalkan oleh Sultan Iskandar Zulkarnain, iaitu Sultan Perak ke-15. Hal ini dikatakan demikian kerana baginda dianggap memerlukan bot yang besar untuk berpindah tempat semayam ke Pulau Indera Sakti yang terletak di Kampung Gajah pada tahun 1754.

Walaupun wujud dalam sejarah Perak bermula pada tahun tersebut, tetapi Balai Gambang mula digunakan sebagai alat kelengkapan khusus untuk istiadat pertabalan, iaitu semasa pertabalan Sultan Perak ke-16, Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda kira-kira 16 tahun kemudian.

Sejak hari mula-mula diperkenalkan untuk kegunaan pertabalan, hinggalah tahun 1948 semasa pertabalan Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Perak ke-32, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading.

Ketika pertabalan Sultan Idris Shah II pada tahun 1963 sebagai Sultan Perak ke-33, kayu dan besi pula digunakan menggantikan buluh, sekali gus menjadikan Balai Gambang sebuah binaan yang lebih teguh, dan kemas mengikut arus kemodenan.

Penggantian kegunaan buluh kuning atau buluh gading dengan kayu, serta besi ini diteruskan sehingga pertabalan sultan yang terbaharu – sultan sekarang − iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai Sultan Perak yang ke-35, di Kampung Gajah, pada 13 Mei 2015.

Balai Gambang membawa Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menziarahi makam-makam Sultan Perak menghilir ke Teluk Intan melalui Sungai Perak dari kawasan Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah pada tarikh tersebut.

Makam tersebut ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ke-16 di Kampung Pasir Pulai, Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah, Sultan Perak ke-19 di Kampung Bandar Baru, Almarhum Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda, Sultan Perak ke-17 di Kampung Teluk Memali, Almarhum Sultan Shahabuddin Riayat Shah, Sultan Perak ke-21 di Tanjung Penangguh, dan Sultan Iskandar Dzulkarnain, Sultan Perak ke-15 di Pulau Indera Sakti, Pasir Panjang Ulu.

Sebahagian daripada penumpang Balai Gambang Cempaka Sari yang bersedia memulakan pelayaran selama setengah jam.

Istiadat kesultanan negeri Perak yang menggunakan Balai Gambang umpama kenderaan menuju ke kayangan. Kenderaan khas untuk pertabalan Sultan Nazrin itu dinamakan Cempaka Sari, dan menjadi simbolik kepada kesultanan Perak.

Cempaka Sari ini dibina khas bagi istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 oleh 35 orang kakitangan Jabatan Kerja Raya Perak, serta 13 orang tenaga pakar, dan pelajar Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL MIMET) Lumut.

Bot khas berkenaan yang kini dipanggil Balai Gambang Cempaka Sari, berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar. Beratnya mencecah 4.5 tan, serta mampu membawa 10 hingga 15 orang penumpang pada satu-satu masa.

Balai Gambang Cempaka Sari digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150 cc. Balai Gambang yang kini menjadi kenderaan pelancongan di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bermula tahun 2015, boleh membawa kira-kira 25 orang penumpang pada satu-satu masa dan setiap kali pelayaran mengambil masa setengah jam.

Dua puluh kaki payung ubur kuning yang dipasang pada Balai Gambang Cempaka Sari mempunyai makna yang tersendiri. Kesemuanya ditanggalkan selepas upacara pertabalan selesai. Ubur kuning ini merupakan salah satu alat kebesaran raja-raja Melayu yang dihasilkan daripada kain sutera berwarna kuning, dan digunakan dalam istiadat rasmi. Warna kuning ialah warna yang dipandang mulia, serta menjadi warna kebesaran diraja. Bahagian atas payung ini dipasang anak bulan dan bintang.

Pada masa sekarang, Balai Gambang Cempaka Sari hanya berlayar pada hari Sabtu dan Ahad dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Kadar tambang yang dikenakan ialah RM15 seorang bagi dewasa, serta warga emas dan kanak-kanak pula RM10 seorang. Jika membeli lima keping tiket, penumpang akan diberikan sekeping tiket percuma.

Balai Gambang yang digunakan semasa pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35, di Kampung Gajah pada tahun 2015.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.