14 Jun 2022, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Meluangkan masa di gubuk kecil Galeri Melora Sehidang Kopi dan Buku bertemu mata dengan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, memanglah saat yang amat dinanti-nantikan penulis. Apatah lagi kegembiraan Farhati Aiman, Wartawan Nona TV3 lebih mengujakan momen penulis bersama-sama Sasterawan Negara yang lebih mesra dipanggil “Bonda” ini.

Penggambaran bersama-sama SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail untuk rancangan Nona di TV3.

Mata tertancap pada set busana dan buku-buku yang dipamerkan di galeri ini sambil memerhatikan Bonda Sasterawan Negara dirapikan dan bersiap sedia untuk diwawancara.

Pemilihan SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sebagai tokoh yang diwawancara oleh rancangan popular televisyen ini amatlah tepat kerana figura Sasterawan Negara yang kaya dengan citra suri yang bijaksana juga memiliki sifat keibuan yang tinggi serta menonjolkan kesepaduan insan yang serba berbakat, sudah tentu figura seperti ini wajar diketengahkan oleh stesen TV nombor satu negara ini.

Cik Farhati Aiman, Wartawan Nona (TV3).

Berbicara panjang lebar bersama-sama Farhati, Bonda amat teruja kongsikan bagaimana pengalaman masa kecilnya yang dipupuk dengan citra budaya keluarga dan masyarakat yang dekat dengan resapan nubarinya telah membina bakat sastera dan seni yang ada dalam dirinya.

Melalui perkongsian ini juga, Bonda berharap agar usaha lebih pintar dapat dilaksanakan oleh semua pihak khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memupuk penjiwaan sastera, seni dan budaya yang seiring dalam kalangan generasi muda.

Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Beliau dapati generasi pada hari ini mempunyai kreativiti dan berupaya melahirkan karya-karya hebat dalam pelbagai genre penulisan serta melalui medium baharu, namun apa-apa yang menyedihkan beliau, hasil kreativiti ini belum sampai ke tahap menyerlahkan semangat jati diri warisan budaya bangsa. Katanya, amatlah penting seorang seniman, artis ataupun penulis mempunyai pemahaman dan penghayatan kepada sejarah bangsanya, warisan negaranya serta mencintai asal leluhurnya.

Bagi beliau, dengan kesungguhan yang ada pada seseorang dalam perihal ini sudah tentu akan mengaktifkan molekul sastera, seni dan budaya yang akhirnya akan dapat ditumpahkan kepada karya-karyanya, tidak kiralah sama ada karya kreatif medium baharu, seni halus, seni tampak, seni reka fesyen, seni menulis dan sebagainya.

Kita mesti mengaktifkan semangat cintakan sastera, seni dan budaya sejak usia muda lagi.

Beliau juga melontarkan kebimbangannya berhubung dengan pengekalan citra busana yang semakin terhakis dalam masyarakat moden hari ini bahawa busana ini mempunyai simbolik yang sangat mendalam, bukanlah sewenang-wenang busana itu direka begitu begini sehingga mencelakan falsafah di sebalik rekaan satu-satu busana. Sebagai bangsa yang mempunyai sejarah peradaban yang hebat, kita semua bertanggungjawab memastikan sastera, seni dan budaya ini akan kekal dalam diri kita dan generasi seterusnya.

Penulis bersama-sama SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail di Galeri Melora.

Pertemuan yang berlangsung tiga jam ini diakhiri dengan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail daripada buku beliau yang telah  dilancarkan semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Baca dan hayatilah perkongsian saya ini kerana daripadanya ada sesuatu yang saya sampaikan khususnya tentang manusia yang di dalam (masyarakat orang asli).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.