15 Jun 2022, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelakon komedi veteran tanah air, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang petang semalam. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Raja selepas solat isyak pada hari yang sama.

Dalam hantaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Facebook FINAS Malaysia, FINAS menyatakan,

FINAS dengan rasa sedih dan dukacita ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga seniman veteran dan karyawan seni yang dihormati serta dikasihi, Allahyarham Abdul Hamid Abdul Rahman ataupun lebih dikenali sebagai Hamid Gurkha yang telah meninggal dunia pada hari Selasa, 14 Jun 2022 pada usia 90 tahun. Sesungguhnya jasa dan perjuangan seni Allahyarham akan terus dikenang dan terpahat dalam lipatan sejarah industri. Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan mereka yang soleh dan beriman.

Hamid Gurkha mula dikenali melalui komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978 dan turut membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombi Kampung Pisang.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid dan dikurniakan lapan orang zuriat, 32 orang cucu dan 18 orang cicit. Pada tahun ini, Hamid menginjak usia 90 tahun.

Semoga Allahyarham Hamid Gurkha ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.