19 Jun 2022, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seluruh negara berdukacita atas pemergian penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor akibat barah ovari tahap empat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, pada 18 Jun 2022 yang lalu.

Pemergian Adibah Noor, atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar ini sememangnya mengejutkan seluruh negara kerana beliau menyembunyikan keadaan kesihatannya daripada orang ramai.

Menurut sumber berita tempatan, bapa beliau juga tidak mengetahui akan keadaan kesihatan anak ketiganya itu. “Saya tidak tahu … Arwah tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi ke hospital pun, dia tidak beritahu,” jelas bapanya dalam suatu kenyataan.

Pemergian Adibah Noor turut mendapat perhatian Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata,

Penggiat seni tanah air, Adibah Noor Mohamed Omar telah pergi mengadap Ilahi malam tadi.

Penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan.

Takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan didoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Adibah Noor.

Adibah Noor mula berkecimpung dalam industri seni tanah air apabila menyertai pertandingan nyanyian Suara 90-an Nescafe dan muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut.

Seniwati serba boleh ini juga bukan sekadar penyanyi, malah merupakan seorang pelakon, pengacara, pengisi suara, dan bakat iklan yang terkenal di Malaysia.

Bekas guru bahasa Inggeris ini turut dikenali sebagai pencinta kucing dan memiliki serta memelihara lebih daripada 30 ekor kucing di rumahnya.

Jenazah Allahyarhamah Adibah Noor dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid al-Ansar, Taman Keramat serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2 Taman Keramat. Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.