Oleh Nik Azman Nm
20 Jun 2022, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpat – Negeri Kelantan yang sudah terkenal dengan jolokan negeri berbudaya, lubuk seni, tanah serendah sekebun bunga dan negeri Cik Siti Wan Kembang cukup sinonim sebagai sebuah negeri yang mempunyai keunikan serta kaya dengan seni budaya rakyatnya.

Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2022 yang diadakan selama tiga hari, pada 16 hingga 18 Jun 2022 di Pantai Geting, Tumpat, anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Pusat Penerangan dan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) merupakan program yang dinanti-nantikan oleh rakyat Kelantan.

Program FKRK 2022 bertujuan untuk menampilkan kekayaan seni dan budaya negeri Kelantan yang merangkumi persembahan, demonstrasi, pameran dan jualan produk negeri Kelantan yang aktivitinya selain penggiat seni juga melibatkan pengunjung dan masyarakat setempat.

Selain pameran dan jualan yang merangkumi agensi persekutuan dan negeri, swasta, institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persembahan seni budaya anjuran Kelab Seniman Jalanan Kota Bharu diselaraskan oleh JKKN Kelantan seperti persembahan Makyung Ekstravaganza Patuh Syariah bertajuk “Raja Besar Maha Gading”, Wayang Kulit, Pertandingan Battle of the Bands, Pertandingan Dikir Barat (Akhir), Karaoke Kencang Gegar, Pertandingan Memasak “Jeliro Kelantan Bersama Adabi”, Pertandingan Abe Klate (Badan Cantik), Pertandingan Biri-biri Jangok serta pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat turut diadakan. Sementara itu, demonstrasi pula melibatkan permainan gasing, wau bulan, pembuatan keris, pertandingan mewarna dan aktivit kesenian rakyat Kelantan lain.

Persembahan Makyung Ekstravaganza Patuh Syariah.

Majlis perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Norazman Othman yang mewakili Menteri, YB Dato’ Sri Nancy Shukri.

Menurut Norazman, penganjuran program ini merupakan satu daripada usaha kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan budaya serta pemain industri pelancongan dalam mengetengahkan produk seni budaya dan pelancongan ke peringkat yang lebih meluas.

“Saya yakin, keunikan dan keistimewaan kesenian tradisional dapat dijadikan salah satu daya tarikan kepada pengunjung luar untuk datang melawat negara kita. MOTAC sentiasa memastikan kesenian tradisional yang ada dapat dipromosikan dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Katanya lagi, saya amat berharap semua pihak termasuk penggiat seni dan komuniti setempat dapat memainkan peranan membantu kementerian dan JKKN dalam memulihara dan mengembangkan seni budaya warisan nenek moyang khususnya kepada golongan muda dengan memanfaatkan media sosial dan kemahiran digital.

“Usaha pembangunan dan penyemarakan semula aktiviti pelancongan, seni dan budaya sedang giat dilakukan oleh kementerian melalui jabatan dan agensi seperti pejabat MOTAC negeri, Tourism Malaysia, JKKN, Kraftangan Malaysia, Jabatan Warisan Negara dan Istana Budaya.

Persembahan dikir barat.

“Saya memuji pihak berkuasa tempatan terutama Majlis Daerah Tumpat yang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan komuniti setempat dan jabatan kerajaan yang lain dalam menghidupkan destinasi tumpuan pelancongan yang bukan sahaja menawarkan kemudahan penginapan dan makan minum, bahkan menjadikan aktiviti seni budaya masyarakat setempat sebagai faktor tarikan pelancong,” tambahnya.

Ujarnya, FKRK 2022 dianggarkan mampu menarik sebanyak 30 ribu pengunjung daripada pelbagai peringkat masyarakat, dari dalam dan luar Kelantan. Festival ini telah membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri untuk mengetengahkan produk seni dan budaya dengan lebih meluas selain menggalakkan program kesenian tradisional dapat dipromosikan dan dipopularkan ke luar negara.

Berhubung dengan perkara yang sama, katanya, masyarakat Kelantan cukup menghargai kesenian dan tidak menjurus kepada sesuatu musim tertentu sahaja. Aktiviti kesenian atau disebut menne boleh dilihat dan dinikmati setiap hari kerana sentiasa dihidupkan dan menjadi rutin bagi masyarakatnya.

Bagi menjayakan program FKRK 2022, JKKN bekerjasama dengan 36 jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta 14 NGO, serta mendapat sokongan dan tajaan daripada sembilan syarikat swasta, iaitu MG Group of Companies, Makmur Gold, Ritz IT, 100 Plus, Adabi Consumer Industries, FR Kaseh Marketing Sdn. Bhd., WMD Store, Gegar FM dan Vita Gold Heath Sdn. Bhd. sebagai penaja utama.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Haji Mesran Mohd Yusop; Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah; tokoh-tokoh dan penggiat seni budaya negeri Kelantan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!