20 Jun 2022, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Santubong – Bermula pada 17 Jun 2022, Kampung Budaya Sarawak tidak putus-putus menerima kedatangan pengunjung yang datang untuk menyaksikan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (Rainforest World Music Festival – RWMF) 2022. Festival pada tahun ini yang bertemakan “25th Legendary Rainforest Celebration”, diumpamakan Puteri Santubong yang terjaga daripada lena setelah dua tahun festival bertaraf antarabangsa ini tidak memeriahkan bumi Santubong ekoran pandemik COVID-19. Yang menariknya juga, RWMF pada kali ini dianjurkan secara hibrid, iaitu persembahannya boleh disaksikan secara langsung di Kampung Budaya Sarawak ataupun secara maya. Festival muzik berskala besar ini juga meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penganjurannya yang bermula pada tahun 1998.

Persembahan nyanyian menggunakan muzik daripada sape.

Festival Muzik Hutan Hujan Dunia yang merupakan acara tahunan dalam kalendar aktiviti Kampung Budaya Sarawak yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 17 Jun hingga 19 Jun 2022.

Berakhir dalam suasana yang cukup meriah dengan kawasan yang menempatkan pentas utama bagi persembahan RWMF dipenuhi oleh pengunjung, ternyata festival ini berjaya mencapai sasarannya menarik lebih 12 ribu pengunjung.

Sebelum berlangsungnya RWMF 2022, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah telah mengadakan tinjauan tapak festival di Kampung Budaya Sarawak pada 16 Jun 2022 untuk melihat persiapan akhir penganjuran festival yang membuka tirainya pada 17 Jun 2022. Dalam lawatan tersebut, beliau berkata, berikutan beberapa negara masih melaksanakan sekatan perjalanan disebabkan oleh COVID-19, dijangka sejumlah 12 ribu pengunjung akan memeriahkan festival yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Budaya Sarawak. Menurut beliau lagi, pengunjung yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh menyaksikan RWMF secara maya melalui tiket berharga RM25. Daripada hasil jualan tiket itu nanti, sebanyak RM10 akan disumbangkan untuk Program ecoGreenPlanet yang merupakan inisiatif penghijauan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak melalui penanaman 4500 pokok bakau.

Kejayaan mencapai sasaran pengunjung diakui oleh Pengarah Festival Muzik Hutan Hujan Dunia 2022, Puan Mona Abdul Manap yang menyatakan sambutan daripada pengunjung yang datang untuk menyaksikan RWMF 2022 sangat menggalakkan dan sesuatu yang di luar jangkaan. “Selama tiga hari festival berlangsung, dianggarkan sekitar 12 ribu hingga 15 ribu orang pengunjung turut serta dalam pelbagai bengkel budaya yang diadakan, dengan semua slot aktiviti berkenaan dipenuhi oleh peserta serta mendapat sambutan yang positif daripada pelbagai pihak,” demikian jelas Puan Mona Abdul Manap.

Bengkel sape.

Dalam sidang media berkaitan dengan RWMF 2022 yang berlangsung di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak pada 14 Jun 2022, Dato’ Sri Haji Abdul Karim telah menyempurnkan pelancaran buku RWMF yang berjudul The Rainforest World Music Festival: A Journey of 25 Years. “Buku ini mengisahkan permulaan RWMF apabila hanya 300 orang hadir ke Kampung Budaya Sarawak untuk perhimpunan kecil peminat muzik dunia. Buku ini juga membawa pembaca melalui setiap tahun penganjuran RWMF sehingga menjadi salah satu festival yang paling digemari dan diraikan oleh peminat muzik dari seluruh pelusuk dunia,” demikian ulas Dato’ Sri Haji Abdul Karim tentang buku tersebut.

Seperti yang berlangsung sebelum ini, RWMF 2022 menampilkan penghibur dari pelbagai negara seperti China, Australia, India, Singapura, Indonesia, Kanada, Estonia, Itali, Jepun, Madagascar, Amerika Syarikat dan Vietnam. Pada tahun ini, RWMF menampilkan lebih banyak persembahan individu berbanding dengan RWMF sebelum ini.

Antara artis tempatan dan penggiat muzik tradisional, terutamanya sape yang turut hadir membuat persembahan muzik tradisional ialah Alena Murang, At Adau, Sang Rawi, Kemada, Tuku Kame, Suk Binie’, Nading Rhapsody dan Mathew Ngau. Kesemua pemuzik, sama ada pemuzik tempatan atau luar negara membuat persembahan dengan gaya dan bunyi yang tersendiri sambil memainkan alat muzik tradisional, sama ada dalam bentuk kecapi, tali ataupun melalui pengucapan bahasa yang disertai bunyi muzik.

Persembahan pada malam pembukaan memperlihatkan sejumah 5000 pengunjung memenuhi kawasan pentas persembahan. Yang pastinya, RWMF 2022 mendapat tajaan dan sokongan daripada banyak pihak. Festival yang memberikan impak besar kepada pelancongan Sarawak ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato’ Sri Dr. Sim Kim Hui, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri, dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dato’ Sri Haji Abdul Karim menyaksikan persembahan muzik dalam RWMF 2020.

Selain persembahan muzik pada waktu malam, RWMF juga diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat pada waktu siang seperti bengkel amali tentang muzik, pameran budaya dan kraftangan, persembahan tarian dan permainan tradisional mengikut etnik yang terdapat di Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.