Oleh Pue Giok Hun
21 Jun 2022, 00:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia dan digunakan sebagai bahasa rasmi dan tidak rasmi dalam komunikasi dalam kepelbagaian masyarakat di negara ini. Namun begitu, kefasihan bertutur bahasa Melayu masih cenderung dikaitkan dengan penutur natif bahasa tersebut, iaitu kaum Melayu.

Kaum minoriti, seperti Cina dan India, tidak dilihat sebagai penutur natif, dan umum berpandangan bahasa Melayu tidak dianggap sebagai sebahagian daripada jati diri mereka. Hanya sekumpulan kecil dalam kalangan etnik minoriti ini yang berjaya memecahkan stereotaip ini dan menjadikan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada jati diri mereka, iaitu masyarakat peranakan.

Masyarakat peranakan di Semenanjung Malaysia tidak seperti di negara lain di Asia Tenggara yang sinonim dengan etnik Cina sahaja. Selain peranakan daripada etnik Cina, seperti komuniti Baba dan Nyonya di Melaka, komuniti Cina Selat di Pulau Pinang, komuniti Cina Kampung di Kelantan dan komuniti Cheng Mua di Terengganu, kita turut mempunyai peranakan daripada etnik-etnik lain seperti India (komuniti Chetti Melaka), Melayu (komuniti Peranakan Jawi), dan Eropah (komuniti Peranakan Serani atau Kristang). Masyarakat peranakan terbentuk di Semenanjung Malaysia jauh lebih awal daripada kedatangan kuasa Inggeris dan seterusnya menetap di sekitar kawasan pusat perdagangan maritim lama, seperti di Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Satu ciri penting yang dikongsi dalam masyarakat peranakan ini ialah medium komunikasi mereka yang tidak lengkap tanpa bahasa Melayu. Kadar dan bentuk penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat peranakan adalah berbeza-beza mengikut komuniti. Bagi sesetengah komuniti, seperti komuniti Baba dan Nyonya dan komuniti Chetti di Melaka, masing-masing tidak lagi bertutur dalam bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa ibunda. Sebaliknya bertukar kepada dialek yang unik kepada komuniti itu sendiri, iaitu Melayu Baba atau Melayu Chetti.

Bagi komuniti peranakan yang lain, bahasa ibunda mereka yang merupakan dialek suku asal dikekalkan, namun sarat dengan pengaruh elemen dialek Melayu tempatan, sama ada daripada segi kosa kata, tatabahasa atau sebutan. Komuniti Peranakan Serani di Melaka menggunakan bahasa kreol Kristang Portugis yang terhasil daripada bahasa Portugis lama disulami dengan bahasa masyarakat tempatan di Melaka. Manakala di Kelantan, dialek Cina Kampung yang menjadi bahasa ibunda komuniti tersebut walaupun mengekalkan dialek suku asal, iaitu Hokkien, menerapkan bukan sahaja kosa kata tetapi juga tatabahasa dialek Melayu Kelantan. Selain itu, bahasa mereka juga mengandungi pengaruh dialek Siam tempatan.

Masyarakat peranakan beranggapan percakapan bahasa ibunda mereka tidak lengkap tanpa dimasukkan elemen bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah kosa kata dialek suku asal telah hilang dan digantikan dengan bahasa Melayu. Kemunculan bahasa ibunda masyarakat peranakan juga berlaku dalam bentuk lisan tanpa diiringi bentuk tulisan, menyebabkan ditulis menggunakan sistem tulisan yang umum digunakan dalam masyarakat tempatan masa itu, seperti Jawi atau Rumi.

Kebaya nyonya sinonim dengan masyarakat peranakan.

Masyarakat peranakan secara tradisionalnya merupakan bilingual, iaitu fasih bahasa ibunda dan bahasa Melayu. Kesan daripada penguasaan bahasa Melayu yang baik, masyarakat peranakan selesa hidup bersama-sama dengan masyarakat tempatan. Anak-anak peranakan sejak dari kecil menggunakan bahasa Melayu untuk bermain dan bersekolah bersama-sama dengan anak-anak masyarakat tempatan lain. Masyarakat peranakan turut berkongsi cara hidup dan menikmati aktiviti hiburan dan permainan yang berasaskan bahasa Melayu, seperti pantun, dondang sayang, wayang kulit, dan produk budaya popular Melayu, seperti filem dan lagu oleh Tan Sri P. Ramlee.

Selain kefasihan bertutur bahasa Melayu, penampilan dan pembawaan diri masyarakat peranakan juga seiras orang Melayu. Selain pengaruh persekitaran, hal ini terhasil daripada amalan perkahwinan campur yang lazim berlaku dengan masyarakat tempatan, terutamanya pada zaman dahulu. Persamaan ini menyemarakkan perasaan selesa dan keterbukaan antara masyarakat peranakan dengan masyarakat tempatan, terutamanya masyarakat Melayu. Malah, jika saling tidak mengenali, masyarakat umum yang berada di luar kawasan penempatan masyarakat peranakan mudah tersalah anggap bahawa orang peranakan sebagai orang Melayu.

Kefasihan dan kepetahan berbahasa Melayu dalam masyarakat peranakan cukup tinggi sehingga mereka sering disalah anggap sebagai Melayu. Insiden ini lebih mudah berlaku apabila masyarakat peranakan berpindah keluar dari negeri asal ke negeri lain untuk pekerjaan, pengajian, ataupun mendirikan kehidupan baharu. Dalam kalangan masyarakat peranakan, kedengaran cerita wanita peranakan ditegur kerana tidak menutup aurat, terutamanya rambut, manakala lelaki peranakan disoal kerana disyaki Muslim yang tidak berpuasa semasa bulan Ramadan.

Di luar penempatan asal, kefasihan berbahasa Melayu mendatangkan cabaran kepada masyarakat peranakan untuk bergaul dengan golongan arus perdana kumpulan etnik mereka. Dalam interaksi intraetnik, ciri-ciri “keperanakanan” masyarakat ini tidak diraikan. Tidak berbahasa Mandarin atau Tamil bagi Peranakan Cina dan India menyebabkan mereka tidak dianggap sebagai orang Cina atau India “tulen”.

Pandangan serong sebegini menyebabkan masyarakat peranakan janggal untuk turut serta dalam aktiviti kumpulan etnik masing-masing. Sebagai misalnya, sesetengah Peranakan Cina kekok untuk berkunjung ke kedai makanan Cina kerana tidak mampu membaca tulisan Cina dan bertutur dalam bahasa Mandarin. Ada yang segan kerana tidak mahir makan menggunakan penyepit dan ada pula yang ditegur peniaga kerana menggunakan dialek Hokkien yang salah.

Apabila pengkategorian masyarakat pelbagai etnik di Malaysia diberi penekanan dalam hampir segala urus tadbir kerajaan, masyarakat pada peringkat akar umbi mahu tidak mahu turut mengguna pakai sistem empat kategori kaum tersebut, iaitu Melayu, Cina, India dan Lain-lain. Masyarakat peranakan dirangkumkan ke dalam kategori kaum yang sama dengan golongan arus perdana etnik yang sama. Komuniti Baba dan Nyonya, dan Cina Kampung dan Cheng Mua dalam kategori kaum Cina. Komuniti Chetti Melaka dalam kategori kaum India. Komuniti Peranakan Serani dalam kategori Lain-lain. Akibat persamaan agama selain budaya, hanya komuniti Peranakan Jawi tergolong dalam kategori kaum majoriti, iaitu Melayu, dan seterusnya berstatus Bumiputera Melayu.

Selain faktor luaran, pencairan keupayaan berbahasa Melayu dan bahasa ibunda masyarakat peranakan turut berlaku akibat faktor dalaman masyarakat itu sendiri. Sebagai komuniti minoriti dalam kategori kaum minoriti, nilai kemahiran berbahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai sebahagian daripada jati diri masyarakat peranakan terabai. Hal ini dikatakan tiada nilai ekonomi seperti bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.

Masyarakat ini juga tiada pengiktirafan daripada masyarakat luar yang terikut-ikut dengan stereotaip satu kategori kaum satu bahasa. Seperti dalam sistem pendidikan vernakular, kaum Cina dikaitkan dengan bahasa Mandarin, manakala kaum India sinonim dengan bahasa Tamil. Sebagai kesannya, kemahiran berbahasa Melayu dan bahasa ibunda dalam masyarakat peranakan kian pudar dalam usaha mereka menghantar anak-anak ke sekolah vernakular agar tidak ketinggalan untuk menguasai bahasa ekonomi dan budaya asal yang “tulen”.

Generasi muda masyarakat peranakan turut tidak ketinggalan bermigrasi ke luar dari kawasan penempatan asal mereka demi meningkatkan kualiti dan taraf hidup. Tinggal berjauhan daripada keluarga dan sanak-saudara menyebabkan peluang untuk mempelajari dan mempraktikkan kemahiran berbahasa ibunda menjadi terbantut. Sesekali pulang ke kampung, generasi muda tidak lagi dapat berkomunikasi dengan generasi tua dengan baik. Golongan milenium, iaitu generasi muda yang dilahir dan membesar di luar negeri asal, mungkin tidak menyedari latar belakang dan keunikan budaya peranakan yang mereka warisi.

Secara kesimpulannya, interaksi dan komunikasi antara etnik menjadi lancar apabila setiap pihak sepakat memahami mesej yang disampaikan dalam bahasa yang sepunya. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar antarabangsa yang penting selaku jambatan yang menghubungkan para penutur daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya, lokasi geografi, malah ketamadunan. Bagi masyarakat peranakan, kepentingan pengaruh bahasa Melayu dalam kehidupan mereka tidak setakat dalam bentuk kemahiran berbahasa Melayu yang setanding penutur Melayu sendiri, tetapi juga terserlah melalui adaptasi tatabahasa dan kosa kata bahasa Melayu dalam bahasa ibunda. Tidak setakat itu, masyarakat peranakan juga menggunakan skrip budaya Melayu dalam menyampaikan mesej secara halus sebagai sebahagian daripada manifestasi adab komunikasi yang sopan. Pengaruh skrip budaya tempatan ini turut terjelma dalam penuturan bahasa ibunda mereka.

Bagi masyarakat peranakan, kefasihan bertutur bahasa Melayu tidak bermaksud mereka menidakkan jati diri suku kaum asal. Sebaliknya, hal ini merupakan realiti lumrah hidup bersama dalam masyarakat pelbagai etnik yang mendukung ketamadunan anak watan sejak bergenerasi lamanya.

Kemahiran berbahasa Melayu juga dibanggakan oleh masyarakat peranakan sebagai sebahagian daripada jati diri mereka anak watan Malaysia. Oleh hal yang demikian, kemahiran ini seharusnya dirai, diiktiraf dan dipupuk sebagai asas penyatupaduan bangsa Malaysia.


Dr. Pue Giok Hun ialah Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Penyelidikan dan penulisan beliau berkisar kepada peranakan sebagai fenomena sosial terutamanya tentang isu identiti etnik minoriti dan warisan kebudayaan masyarakat peranakan di Malaysia dengan fokus kepada komuniti Cina Peranakan di Kelantan dan Terengganu. Makalah ini adalah sebahagian daripada hasil projek penyelidikan yang dibiayai Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (Kod Projek: FRGS/1/2020/WAB01/UKM/02/2).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.