21 Jun 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Saya berani berkata terus terang bahawa pada masa yang sudah-sudah, masyarakat kita dan kerajaan tidak memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap bahasa Melayu dan penulis Melayu. Sebagai akibatnya, hari ini sangat sukar mencari dan memilih orang yang berkebolehan dalam segala lapangan yang dikehendaki oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu daripada pengarang sehingga jurutaip.”

Itulah kata-kata Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pertama dalam ucapan sulungnya di radio pada 26 Februari 1957.

Sejak ditubuhkan 66 tahun yang lalu, DBP tidak pernah sunyi daripada pelbagai gelora yang menerpa. Namun begitu, organisasi tunggal ini tetap berdiri megah dan tidak pernah merudum semangatnya. Bak saham di papan bursa, adakala turun adakala melonjak, namun sedikit pun tidak mempengaruhi DBP. Musim berganti tahun, karyawan berganti insan, sasterawan demi sasterawan, aksara menerbitkan kata, DBP tetap bersama-sama rakyat Malaysia memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu sejak ditubuhkan pada 22 Jun 1956, di Johor Bahru, Johor.

Demi membijaksanakan anak bangsa dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, DBP lahir daripada kesaktian lidah rakyat dan keluk kesedaran yang tinggi daripada galur sejarah yang mahukan bangsa ini merdeka dengan makna yang sebenar tanpa ada campur tangan penjajah. Hal ini termasuklah beriltizam agar bahasanya berdiri mandiri sebagai bahasa yang melambangkan bangsa berdaulat.

Api perjuangan bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai identiti watan merdeka tidak pernah menemukan kelelahan, dan api ini terus sahaja marak dan bergerak seperti sifatnya lingkaran api Pasifik yang menghidupkan gunung berapi bahasa hingga ke seluruh negara, Brunei dan juga Singapura.

Walaupun terpaksa meniti pengalaman yang berdarah, apabila penjajah melaksanakan dasar pelajaran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat, iaitu menetapkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan dalam pendidikan anak bangsa, perjuangan menjaga hal ehwal bahasa dan sastera Melayu tetap diteruskan.

Pengalaman yang membuahkan mendung kepada iklim bahasa ini turut dibangkitkan oleh golongan kaum muda dengan terbitnya majalah al-Imam pada tahun 1906 sebagai alat menyuluh minda anak watan pada ketika itu dalam perjuangan mempertahankan bahasa Melayu. Terowong masa perjuangan ini bagaikan babak-babak yang tidak pernah berhenti, ibarat angin monsun yang sentiasa membadai banjaran, namun banjaran tetap teguh dan utuh, demikian juga semangat yang ada kepada pejuang bahasa hingga zaman serba canggih dan pintar ini.

Api dari suatu zaman milik pewaris dan pejuang bahasa terus sahaja menyala dan menyuluh gelanggang perjuangan bahasa yang merupakan lambang kedaulatan bangsa dan watan. Menyedari hakikat api perjuangan ini memberikan kesan yang lebih besar, Raja-raja Melayu telah memberikan Tujuh Wasiat yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ketika negara mencapai kemerdekaan. Selepas itu, bagi memperkukuh kedudukan istimewa bahasa Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa rasmi, iaitu bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, ialah bahasa Melayu.

Amanah dan tanggungjawab ini digalas oleh DBP menerusi objektif penubuhannya, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang, termasuk sains dan teknologi; memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan; mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain; membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Sumber kuasa berdirinya DBP ini berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Akta 213 – Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Disemak 1978) dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan Peluasan 1995). Oleh hal yang demikian, umum haruslah memahami tanggungjawab DBP melaksanakan fungsinya berdasarkan sumber kuasa yang telah ditetapkan kepada organisasi ini.

Menerusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 yang lalu, Perdana Menteri,  YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa penggubalan Akta DBP yang baharu kelak akan berupaya memperkukuh DBP sebagai badan penguasa bahasa bagi memastikan pematuhan dan pelaksanaan amalan berbahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada usia 66 tahun ini, DBP tidaklah bersifat seperti unit pemprosesan pusat yang sudah tenat atau seperti keadaan dilanda pepijat alaf atau mungkin seperti komputer yang tidak cukup kelajuan. Demikian analogi yang mungkin berlaku untuk meneliti kedinamikan DBP dalam menyediakan perkhidmatan dan membekalkan produk jenama DBP, khususnya sebagai penerbit bagi buku berbahasa kebangsaan, termasuklah untuk pendidikan kebangsaan, dan juga melaksanakan fungsinya menerusi empat jabatan utama, iaitu Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera dan Jabatan Penerbitan.

Kesepaduan dalam merealisasikan wawasan DBP amat penting bagi kesemua jabatan ini demi menggerakkan fungsi DBP secara menyeluruh dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan, khususnya apabila meneliti DBP pada zaman serba canggih ini.

DBP bukan sahaja sebagai badan yang mengurus tadbir perihal mendaulatkan bahasa Melayu semata-mata, tetapi DBP juga sebagai jenama yang menjana ilmu. Oleh hal yang demikian, DBP agresif dalam menerbitkan pelbagai buku yang dapat memenuhi permintaan pengguna. Selain itu, kecanggihan bidang teknologi telah melebarkan fungsi DBP dalam arena digital dengan adanya Jendela DBP – Pelantar Penerbitan Digital DBP.

Melalui portal ini, pengguna disediakan dengan pelbagai bahan bahasa dan sastera menerusi slot TV DBP, Radio DBP, liputan e-berita berkisarkan isu semasa dan pengkhususan bidang bahasa dan sastera, e-majalah, portal pembelian buku dan majalah dan perkongsian peka bahasa. DBP juga melangkah dengan yakin dalam bidang penyiaran digital menerusi jenama program Studio Pesona yang disiarkan menerusi integrasi media sosial DBP, iaitu Facebook, YouTube, Twitter, Telegram, Instagram dan Jendela DBP.

Selain itu, media sosial DBP dilihat cukup cemerlang dalam mengetengahkan bahan-bahan pegun yang berjaya menarik perhatian pengikut media sosial. Bahan-bahan ini diperoleh daripada sumber bahan buku dan majalah terbitan DBP dan diberikan sentuhan kreatif oleh pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan media ini. Bentuk kesusasteraan ini sentiasa sahaja “diremajakan” oleh DBP dengan aktiviti pengembangan yang begitu dinamik. Program melibatkan aktiviti secara dalam talian mahupun menghasilkan karya-karya dalam medium baharu berjaya meningkatkan apresiasi pelbagai pihak kepada bahasa dan sastera.

Lebih daripada itu, dalam era ini juga, DBP dilihat perlu bersedia meningkatkan kualiti dan kemahiran karyawannya untuk menguasai bidang yang khusus bagi meningkatkan citra DBP secara keseluruhannya. Bidang-bidang baharu, seperti penyiaran digital dan penulisan industri kreatif meliputi pelbagai genre menerusi Akademi DBP, dilihat dapat membantu menjenamakan DBP sebagai pusat integrasi media dan industri kreatif dalam melahirkan karyawan yang serba boleh. Dalam perkembangan lain, penulis iklan komersial dan industri kreatif mempunyai permintaan yang tinggi dalam menghasilkan kata pikat produk dalam bahasa Melayu.

Selain itu, menjadi keperluan untuk memastikan enjin carian bahasa bertaraf dunia milik DBP, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu, dalam keadaan stabil dan memuaskan pelanggan. DBP dibanjiri dengan permasalahan bahasa pada setiap hari, dan sudah tentu pengguna meletakkan harapan yang tinggi kepada DBP untuk menyelesaikannya.  Bagi jangka masa panjang, mungkin dapat dibina perisian yang lebih cekap dan digunakan pada peringkat antarabangsa serta sektor dinamik yang lain. Aduan berkaitan dengan gangguan kepada enjin carian ini sudah tentunya menjejaskan citra DBP dalam memberikan perkhidmatan bahasa dengan pintar dan pantas.

Dalam perjalanan menempuh dunia digital ini, DBP lebih bersedia dengan jumlah trafik yang tinggi bagi permohonan pengesahan iklan melalui laman sesawang DBP Sah Bahasa. Para petugas diberikan lebih banyak kursus profesional bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan DBP sebagai barisan hadapan memperkasakan bahasa kebangsaan.

Menerusi Akademi DBP, wajar dianjurkan kursus bahasa asing kepada karyawan DBP agar tahap penguasaan bahasa menjadi lebih berkualiti dan pada masa yang sama turut memesrai bahasa asing. Hal ini dilihat dapat memberikan dampak baharu kepada karyawan DBP.

Konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan memberikan dimensi yang amat luas kepada bahasa dan sastera kebangsaan. Bahasa dan sastera kebangsaan bukanlah dilihat hanya dari satu sudut membina negara bangsa, tetapi yang lebih penting bahasa dan sastera menjana kebijaksanaan seseorang.

Kepintaran inilah yang diperlukan oleh negara bagi meluaskan lagi ilmu kepada generasi seterusnya. Amatlah dukacita sekiranya kebijaksanaan ini tidak dapat melahirkan bahan penulisan berbentuk buku mahupun medium baharu dalam bahasa dan sastera kebangsaan. Tiada maknanya sekiranya menjadi bijak pandai, tetapi kebijaksanaan itu tidak memberikan manfaat kepada seluruh anak bangsa lainnya, tetapi yang menuai kebijaksanaan itu hanya diri sendiri dan pihak yang tiada kaitan dengan hasrat memperkasakan negara bangsa.

Bukan lagi masanya tepuk dada tanya selera, barangkali pada angka 66 tahun ini, detiknya kita memugar kembali api dari suatu zaman yang mungkin terpadam dalam diri kita. Walaupun rehal di atas menara itu sudah pun tiada, namun tidak bermakna kobar api kita juga menjadi malap. Ayuh karyawan kita bangkit dan tingkatkan upaya agar kita lahir sebagai pemain utama pada zaman serba canggih ini, bukan semata-mata pengarang dan jurutaip sahaja, tetapi sebagai individu yang terus mendukung citra bahasa dan sastera kebangsaan.

Dirgahayu DBP, api dari suatu zaman!

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!