22 Jun 2022, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah dua tahun Balai Seni Negara ditutup bagi kerja-kerja naik taraf galeri dan pengubahsuaian bumbung, bermula pada 3.00 petang 21 Jun 2022, Selasa, galeri negara itu dibuka semula kepada khalayak dengan wajah baharu. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Nancy Shukri, melalui ucapan perasmiannya menyebut, walaupun dihimpit musibah pandemik dua tahun yang lepas, Balai Seni tetap berjuang dalam mengangkat seni visual tempatan.

“Hampir 25 juta pengunjung dalam talian telah dicapai melalui pelbagai aktiviti dan maklumat di media sosial Balai Seni Negara pada tahun 2021.” Hal ini disifatkan beliau sebagai pencapaian yang sentiasa berkembang dan impaknya besar kepada industri seni.

Dua yang di tengah: Tengah kiri YBhg. Dato’ Tom Abang Saufi, tengah kanan YB Dato’ Sri Nancy Shukri.

Balai Seni Negara kini menampilkan NUSA, sebuah pameran koleksi tetap negara yang dipamerkan di galeri Reka, Tun Razak, 2A, 2B dan 3B dengan 466 buah karya yang mengangkat koleksi merangkumi pelbagai aspek namun terkait seperti sosial tempatan, persoalan identiti, sejarah dan sejarawan, kepelbagaian mitologi dan intelektual masyarakat tempatan.

Pemilihan karya NUSA akan merangkumi karya agung yang menyentuh tema dan konsep “Tenggara”; yang melangkaui zaman dan era. Antara karya yang akan dipamerkan; Kampung Nelayan karya terkenal Chung Chen Sun yang dikategorikan sebagai khazanah National Heritage di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005; dan koleksi kontemporari seperti Enrique de Malacca Memorial Project oleh Ahmad Fuad Osman yang dilancarkan sejak tahun 2016 hingga kini.

“Pameran NUSA sebagai pembuka tirai adalah selaras dengan wajah baharu Balai Seni Negara yang merakam sejarah dan mengangkat seni kontemporari. Balai seni ini akan memaparkan koleksi bersejarah khazanah negara, sepanjang tiga tahun (2022 – 2025),” ujar Nancy. Beliau merujuk “wajah baharu” pada pengubahsuaian bumbung Balai Seni Negara yang siap pada Mac lalu yang diilhamkan kepada motif “gajah menyusu”.

Selain pameran tetap, para khalayak turut berpeluang menikmati pelbagai lagi pameran yang menarik, antaranya Pameran Diplomasi Budaya yang merupakan sebuah kerjasama rakan strategik serantau. Berkonsepkan kesenian melalui instalasi media, Walking Through a Songline menunggu ketibaan khalayak di galeri 3A bermula Jun hingga September ini. Walking Through a Songline ialah sebuah pameran yang meraikan cerita rakyat Australia.

Pameran yang menampilkan karya artis kontemporari sama ada dalam medium seni rupa, seni arca mahupun gabungan medium, SINGLE atau “Hanya Satu” akan dipamerkan di ruangan lobi galeri. Pameran itu mengumpulkan karya-karya yang berinteraksi melalui “darah muda”, juga mengangkat karya artis generasi muda yang telah meninggalkan impak sama ada secara kebangsaan mahupun antarabangsa. Tiga karyawan yang akan mempamerkan karya mereka tahun ini adalah Shafiq Nordin, Red Hong Yi dan Saiful Razman.

Selain itu, Balai Seni Negara kini menyelia Art Hospital, sebuah pusat pemuliharaan, penyelenggaraan dan konservasi khazanah seni negara. “Meggunakan teknologi terkini, Art Hospital mampu memberikan standard yang tersendiri untuk memartabatkan lagi khazanah seni negara,” ujar Nancy.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, YBhg. Dato’ Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi sempat menegaskan, “Balai Seni Negara berperanan dalam berkongsi, dan memelihara, mempamer dan mengangkat aktiviti seni visual kerana seni visual ialah satu maklumat.”

Sambung beliau, “Bukan sahaja maklumat tentang sejarah seni malah juga merakam sejarah sosial. Menyingkap semula dua tahun menghadap rintangan COVID-19, Balai Seni Negara tidak berhenti bekerja untuk mengangkat martabat seni visual negara dan akan terus mengembangkan pergerakannya.”

Pemenang utama Anugerah Bakat Muda Sezaman 21, Muhammad Hassanuddin.

Majlis Perasmian itu disusuli majlis penganugerahan Bakat Muda Sezaman 2021. Pemenang utama Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021, Muhammad Hassanuddin bin Yusoff dengan karyanya, Red Dining membawa pulang wang tunai RM30 ribu dan sijil penyertaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.