22 Jun 2022, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Dato’ Adiputra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Ali Karimi, Ellie Suriati, Geofrrey Andre Feyaerts, Mubarak Majid, A. Galak, Shaharuddin Thamby, Dato’ Jalaluddin Hassan, Farid Amirul, Farah Ahmad, Z. Zambry, serta Yayan Ruhian dari Indonesia antara pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menghadiri majlis Tayangan Perdana filem biografi epik tersebut di GSC Starling Mall dekat sini pada 16 Jun 2022 yang lalu.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn. Bhd. (Studio Kembara) merupakan filem pertama terbitan syarikat berkenaan yang tampil dan bertekad menawarkan diri menerbitkan filem-filem bermutu tinggi, serta membawa mesej bermanfaat kepada para penonton, serta semua lapisan masyarakat sambil berhibur dengan konsep “Hiburan Bermanfaat”.

Menurut Pengarah Urusan/Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt. Dali, pendekatan yang diambil oleh syarikatnya ini sekali gus membantu kerajaan dalam pembangunan aras fikir masyarakat, menghargai jasa-jasa pejuang lampau, mencintai tanah air, serta sanggup berjuang memajukan agama, bangsa dan negara.

Pengarah Urusan/Penerbit Studio Kembara Sdn. Bhd., Abdul Rahman Mt. Dali menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Dalam jangka masa panjang, Studio Kembara bercita-cita untuk menjadi penerbit filem berwibawa yang mampu bersaing dengan penerbit filem dari luar negara. Diharap dan dijangka filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini akan mendapat sambutan hangat, serta menjadi penerobos psikologi yang mencetuskan keyakinan baharu kepada pemain industri hiburan tempatan, dan seterusnya melangkah lebih maju,” tegas Abdul Rahman yang hadir bersama-sama adiknya, Shahruddin Dali yang juga penerbit bersama.

Menjawab soalan pihak media mengapa Mat Kilau yang menjadi pilihan walaupun negara kita ramai pejuang agama, bangsa dan negara, Abdul Rahman menegaskan tokoh tersebut banyak diperkata dalam aspek kebijaksanaan dan keberaniannya.

“Terdapat juga catatan-catatan pihak British sendiri yang mengakui pengaruh besar Mat Kilau kepada masyarakat zaman Allahyarham, dalam membangkitkan semangat mempertahan maruah bangsa Melayu, dan kedaulatan bumi Pahang. Ramai yang tidak mengetahui terdapat rekod British yang merakamkan gerakan besar pimpinan Mat Kilau telah membawa kemusnahan, dan kerugian besar kepada mereka,” tambah beliau.

Tegas Abdul Rahman lagi, Mat Kilau menampilkan teladan sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman kerana kuat berpegang pada agama Islam, budaya Melayu, matang, berakhlak baik, mencintai tanah air, berani dan sedia berkorban untuk mempertahan watannya daripada sebarang bentuk pencerobohan.

“Mat Kilau juga diiktiraf sebagai tokoh negara. Fakta sejarah yang silap perlu diperbetul. Beliau ialah tokoh yang mempertahankan negara, bukan pemberontak seperti yang dilabelkan oleh kerajaan British dalam buku-buku sejarah. Jasa besar beliau perlu dikenang sepanjang zaman, dan boleh menjadi teladan yang baik kepada masyarakat,” tegas Abdul Rahman.

Sebahagian daripada pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Sementara itu, Dato’ Adi Putra yang memegang watak Mat Kilau menceritakan bahawa beliau mengalami kecederaan pada kaki akibat terkena tikaman bayonet semasa menjalani penggambaran yang memerlukan enam jahitan. Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana luka yang agak parah itu sembuh tanpa jahitan.

“Bukanlah berlakon dalam filem aksi lasak jika pelakon yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun begitu, persediaan rapi penting untuk meminimumkan kecederaan jika memang tidak dapat dielakkan,” jelas Adi Putra menjawab pertanyaan media mengenai pengalaman ketika menjalani penggambaran.

Malangnya, pengarah dan penulis lakon layar Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Begitu juga dengan Wan Hanafi Su (Tok Gajah, ayah Mat Kilau), Khir Rahman (Usup), Dato’ Rahim Razali (Imam Botok), dan Namron (Haji Sulong) yang ada komitmen lain.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang turut menampilkan Beto sebagai Wahid (watak rekaan), Fattah (Awang), Johan (Yassin), Ali (Brahim), Ellie (ibu Yassin), Geofrrey (Syers), Mubarak (ayah Yassin), Galak (Pak Deris), Shaharuddin (Datuk Bahaman), Jalaluddin (Hj. Muhammad), Farid (Goh Hoi), Farah (Yang Chik, isteri Mat Kilau), Zambry (Kelubi), Yayan (Toga)  dan lain-lain ini akan ditayangkan di 90 buah pawagam di seluruh negara bermula pada 23 Jun 2022 nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.