27 Jun 2022, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022 dari 19 Jun hingga 25 Jun 2022 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Penganjuran HMA kali ke-26 ini disifatkan cukup bermakna setelah dua tahun hanya dijalankan secara dalam talian bahkan mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila buat julung-julung kalinya negeri Kelantan dipilih sebagai tuan rumah.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata, HMA diraikan pada 18 Mei setiap tahun sejak tahun 1997 oleh muzium di seluruh dunia yang melibatkan lebih 137 ribu muzium dari 158 buah negara.

“Di Malaysia, penganjuran HMA di peringkat kebangsaan bermula sejak tahun 1997 dan bagi pemilihan tuan rumah, tradisi sambutan adalah secara penggiliran dalam kalangan muzium di Malaysia yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia,” katanya.

Sumber: Facebook Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022.

Sambutan HMA pada kali ini bertemakan Keunggulan Muzium disertai oleh 28 muzium dari seluruh negara dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik sepanjang tujuh hari HMA berlangsung.

Antara aktiviti dan program yang diadakan ialah pameran oleh pelbagai agensi, Pesta Makanan Kelantan, Pertandingan silat Jatuh, Pertandingan Wayang Kulit, Bengkel Wau Tradisi, Persembahan Dikir Barat, Seminar Hari Muzium Antarabangsa dan paling istimewanya ialah program Muzium Bersama Komuniti – Train to Dabong pada 22 Jun 2022.

Majlis perasmian HMA 2022 telah berlangsung pada 19 Jun yang lalu dan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan kerajaan negeri tidak menolak warisan dan budaya tradisi termasuk makyong, dikir barat dan wayang kulit selagi mematuhi prinsip-prinsip syariah.

“Persembahan tradisional tersebut dibenarkan selepas memenuhi dasar-dasar yang berteraskan Islam dan pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah sambutan HMA pingkat kebangsaan pada kali ini merupakan satu pengiktrafan yang besar terhadap Kelantan sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan budaya dan warisannya yang tersendiri,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.