29 Jun 2022, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muhammad Hassanuddin Yusof merangkul Anugerah Utama bagi Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21) dengan karya beliau, Red Dining. Menjulang penghormatan itu, Hassanuddin turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30 ribu dan sijil penyertaan Bakat Muda Sezaman (BMS).

Red Dining karya Hassanuddin Yusof memenangi Anugerah Utama.

Red Dining lahir sebagai karya seni instalasi yang mengangkat motif “suapan” yang merujuk masalah sosial negara yang sensitif, iaitu rasuah. Sudu dan set meja makan yang menjadi simbolik kepada suapan merupakan satu kenyataan jelas oleh Hassanuddin tentang gejala rasuah manakala palet merah menyala pula ditalakan kepada emosi yang marah, membarah atau amaran. Red Dining telah dipamerkan di Ibu Pejabat SPRM bersempena dengan BMS21, dan kini dipamerkan di aras lobi utama Balai Seni Negara setelah karya itu merangkul Anugerah Utama.

BMS21 menerima sebanyak 166 permohonan penyertaan, dan menyaring sebanyak 81 peserta yang terpilih. Saringan dan penilaian diselia oleh pengelola dan sidang kuratorial Balai Seni Negara sendiri. BMS21 kali ini bertemakan “Seni di Lokasi” apabila seniman yang bertanding akan membangunkan karya fizikal mereka di satu lokasi terpilih, dengan mengetengahkan idea-idea dan realiti budaya kontemporari yang juga mewarisi pandangan alam Asia Tenggara, dalam pendekatan baharu.

Sebanyak 11 anugerah BMS21 telah disampaikan pada Majlis Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021, yang diadakan sejurus saja Majlis Perasmian Pembukaan Semula Balai Seni Negara berlangsung, disusuli penyampaian hadiah penghargaan.

Kategori seterusnya ialah Anugerah Juri yang dimenangi oleh Andry Chin Yung Tet dengan karyanya Ais Box, Shireen Alyssa dan Amirul Shaqil dengan karya mereka SEED Perdu Buluh, Yap Chee Keeng dengan karyanya Clock In / Clock Out dan Chloe Yap Mun Ee dengan karya beliau yang bertajuk I Don’t Want You to See Me, But I Still Want to Show You. Masing-masing pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15 ribu.

Untuk kategori Pilihan Pelawat dalam Talian pula dimenangi oleh Thanesh Kumar A/L Letchumanan dengan karyanya, Lindung di tempat pertama, membawa pulang RM2500 disusuli oleh Dhakshini Jeganathan dengan karyanya, Healing Extensions di tempat kedua membawa pulang RM1500, manakala Haffizzudin Jaidin serta Syed Zamzur dengan karya mereka, Sulapan Urung Taka mendapat tempat ketiga dan membawa pulang RM1000.

Seterusnya, kategori Pilihan Pelawat di Lokasi menyaksikan tiga pemenang dengan hadiah wang tunai yang sama dengan kategori dalam talian. Tempat pertama dimenangi Dhakshini Jeganathan dengan karyanya Healing Extensions, disusuli oleh Thanesh Kumar A/L Letchumanan dengan karyanya Lindung di tempat kedua dan Ahmad Rais Mohamed Azmi dengan karyanya, Solitary Wall di tempat ketiga.

Anugerah Kehormat Juri turut dihadiahkan kepada artis yang berkarya dan berjaya mendapat perhatian juri. Barisan juri juga menyatakan bahawa enam pemenang hadiah ini bersaing rapat dengan pemenang Anugerah Utama. Pemenangnya ialah Muhammad Wardi Md Nazir, Nuraina Shuhadah Haris Fadilah, Izzat Zurrin Zaniwa, Mohd Iqbal Hashim, Khairul Izzuddin dan Muhammad Shamin Shahrum.

Hadiah bagi para pemenang BMS21 telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri.

Muhammad Hassanuddin Yusof.

BMS21 tampil sebagai edisi ke-26 bagi anugerah itu yang telah mula dianjurkan sejak tahun 1974 dan anugerah berprestij itu telah diadakan secara dwitahunan di Balai Seni Negara. BMS-Bakat Muda Sezaman atau Young Contemporaries diilhamkan daripada program New Contemporaries di London. Penganjuran BMS dinanti-nantikan oleh seniman dalam kalangan generasi muda sebagai pentas dan ruang untuk mereka berkarya di atas pentas berprestij. Saban tahun, karya-karya yang dihasilkan BMS dapat menjadi bahan yang melonjak aras dan nilai seni visual kontemporari negara.

Kebanyakan pemenang lepas yang memenangi anugerah BMS sekarang ini merupakan mereka yang menerajui atau mencipta sejarah dan perkembangan seni di negara mahupun di rantau, seperti Awang Damit Ahmad, Chang Fee Ming, Eng Hwee Chu, Fauzan Omar, Jailani Abu Hassan, Wong Hoy Cheong dan Zulkifli Yusoff.

BMS tidak hanya memberikan pengiktirafan kepada artis muda, tetapi juga menyediakan tempat untuk mereka berkarya menerokai idea dan cara terbaharu, menguji dan meniti sempadan dalam berkarya dan memperlihatkan kebebasan karyawan dalam menukang hasil di sebuah institusi seni utama negara, iaitu Balai Seni Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.