30 Jun 2022, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Disebabkan mereka merupakan watak animasi rekaan, seolah-olah Upin dan Ipin boleh menjadi sesiapa sahaja. Transformasi dan inovasi tersebut bergantung pada daya kreatif dan kemampuan pencipta mereka.

Upin dan Ipin telah menjadi satu daripada ikon dan jenama besar tanah air. Selain tampil dalam siri televisyen terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (Les’ Copaque Production) yang mula melonjakkan nama mereka, Upin dan Ipin turut ke layar lebar dan pentas teater muzikal.

Selepas kali pertama menjayakan sebuah teater muzikal di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 tahun lalu, Upin dan Ipin akan kembali ke pentas teater muzikal yang juga diterbitkan oleh Les’ Copaque Production.

Pementasan untuk kali kedua ini diberikan judul Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom yang sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Pada kali ini, Upin dan Ipin akan muncul sebagai pahlawan magik.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sidang media Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom pada 28 Jun 2022 lalu.

“Ekoran sambutan hangat terhadap teater muzikal pertama, teater kedua ini dirancang, malah mahu dipentaskan pada awal tahun 2020. Namun begitu, pandemik COVID-19 telah membantutkannya,” jelas Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi, semasa sidang media Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom pada 28 Jun 2022 lalu.

Tambah Burhanuddin, teater muzikal yang bakal dipentaskan pada 3 dan 4 September 2022 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini akan menampilkan pengisian yang berbeza.

Tambah Burhanuddin, teater muzikal ini akan menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, kesan pencahayaan, serta penggunaan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) skrin untuk kesan luar biasa.

“Banyak alatan multimedia yang perlu diolah berbanding dengan 10 tahun lalu. Walau bagaimanapun, apa-apa yang penting, Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom ialah 100 peratus karya anak tempatan,” jelas Burhanuddin.

Pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom yang berdurasi lebih sejam dijangka padat dengan aksi mendebarkan, serta mencuit hati, dengan dihiasi lagu-lagu muzikal yang pasti menghiburkan, dan mendorong penonton untuk menyanyi bersama-sama.

Antara lagu yang akan didendangkan nanti termasuklah Gembira Bermain yang sedia popular, serta Upin & Ipin Berani dan Pin Pin Pom.

Dari kiri; Siti Rohayah Attan selaku pengarah Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom; Burhanuddin Md. Radzi dan Pengurus Projek Star Fotress Sdn. Bhd., Goh Shin Bin semasa sesi soal jawab dengan wakil media.

Teater yang diterbitkan dengan kerjasama Star Fotress Sdn. Bhd. ini akan turut menampilkan beberapa watak baharu yang pertama kali dimunculkan untuk pementasan teater seperti Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan.

Waktu pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom dibahagikan kepada tiga, iaitu pukul 11.00 pagi, 3.00 petang dan 8.15 malam. Para peminat sudah boleh mendapatkan tiket dengan potongan harga 10 peratus di laman sesawang trip.com bermula dari 15 Jun sehingga 14 Julai 2022. Bermula dari 15 Julai 2022 pula, tiket akan dijual dengan harga asal menerusi laman sesawang MyBookMyShow.com.

Dalam sidang media itu juga, Burhanuddin memberitahu Les’ Copaque Production merancang untuk membawa Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom ke Singapura, Indonesia dan Brunei.

Beliau turut berharap teater muzikal ini akan terus berkembang, sehingga akhirnya setaraf dengan pencapaian dan kedudukan Disney.

“Kami, iaitu saya dan isteri serta anak-anak Les’ Copaque Production mahu Upin dan Ipin menjadi nama besar, dan boleh dibawa ke seluruh dunia. Kami mahu melihat karya Malaysia melangkah ke tahap antarabangsa,” tambah Burhanuddin.

Turut menghadiri sidang media ialah Pengurus Projek Star Fotress, Goh Shin Bin; pengarah Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom, Siti Rohayah Attan; dan pengarah koreografinya, A. Aris A. Kadir.

Watak utama dan pembantu Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom bersama-sama sebahagian daripada tenaga produksi.

Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom membawa kisah Upin dan Ipin di Kampung Durian Runtuh yang secara tidak sengaja terjumpa, dan membawa pulang Batu Delima Sakti kepunyaan Nenek Kebayan.

Nenek Kebayan yang mahu menakluki dunia magik, memerlukan kuasa dari Batu Delima Sakti tersebut. Upin dan Ipin kemudian bertukar menjadi Pahlawan Magik dan menentang Nenek Kebayan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.