Oleh Syaza Wardina
1 Julai 2022, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wesley Methodist School Kuala Lumpur (International) menganjurkan Sambutan Hari Perpaduan Sekolah, bertempat di Wesley Hall, Wesley Methodist School Kuala Lumpur, pada pukul 8.00 pagi tadi.

Acara pemotongan Kek Perpaduan.

Majlis Sambutan Hari Perpaduan tersebut diraikan dengan perkongsian pengalaman, persembahan nyanyian dan deklamasi puisi oleh tetamu kehormat dan tetamu undangan berkenaan dengan perpaduan dan kehidupan masyarakat yang berbilang-bilang kaum di negara ini. Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan dikir barat, nyanyian, deklamasi sajak, serta tarian tradisional Melayu, Cina, India serta tarian masyarakat Sabah dan Sarawak oleh para pelajar di sekolah tersebut.

Pengetua Wesley Methodist School Kuala Lumpur, Encik Wong Chee Kheon.

Menurut Pengetua Wesley Methodist School Kuala Lumpur, Encik Wong Chee Kheon, Hari Perpaduan disambut sebagai satu usaha pihak sekolah untuk memainkan peranan serta membina semangat pelbagai kaum dalam mengukuhkan dan memperkasakan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat. Katanya, “Saya percaya, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.”

“Hari Perpaduan yang bertemakan ‘Jom Membina, Jangan Membinasa’ ini diyakini akan memberikan impak yang positif dalam usaha pembangunan bangsa dan negara ke arah membina era yang lebih makmur dan sejahtera berteraskan tiga komponen, iaitu keharmonian sosial, kemakmuran ekonomi dan aspirasi bagi menjadikan Malaysia negara yang bersatu padu dan maju,” tambah beliau.

YB Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menyampaikan ucapan dan amanat khusus kepada pelajar Wesley Methodist School Kuala Lumpur. Beliau berkata,

Adik-adik yang dikasihi, kalian ialah generasi masa hadapan negara kita. Kita mesti bersatu padu dan melakukan yang terbaik untuk negara kita. Ibu bapa kita telah berjuang, bertungkus-lumus untuk menjadikan kehidupan kita aman. Oleh itu, saya memohon kepada adik-adik untuk sentiasa ingat bahawa kita ialah rakyat Malaysia dan tiada siapa-siapa yang boleh mengambil negara ini dari tangan kita.

Menerusi majlis tersebut, semangat perpaduan dalam kalangan para pelajar disemarakkan dengan deklamasi puisi yang bertajuk “Panji Daun Lontar” oleh Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr. Radzuan Ibrahim.

Mengulas mengenai penganjuran majlis pada hari ini, Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, “Tema sambutan pada hari ini cukup bagus untuk diserapkan dalam jiwa remaja. Penglibatan remaja dalam majlis sambutan pada hari ini memperlihatkan perpaduan dalam kalangan mereka. Sekiranya kita pupuk nilai budaya bangsa di Malaysia, kita akan membentuk masyarakat yang padu dari sudut perpaduan dan hal inilah yang kita mahukan untuk generasi kita pada masa sekarang dan akan datang.”

Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tuan Adiwangsa Sukma.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tuan Adiwangsa Sukma turut berkata, “Pada hakikatnya, kita telah hilang satu elemen yang penting untuk menyatukan generasi baharu. Jika suatu masa dahulu, kita terdedah dengan pelbagai budaya yang secara tidak langsung menyatupadukan kita, seperti berkunjung ke rumah teman, bermain dengan rakan sepermainan dan peranan sekolah yang menyatukan masyarakat, perkara itulah yang menyebabkan perpaduan sentiasa akrab dalam kehidupan kita dan tidak susah untuk kita bina perpaduan pada masa itu. Apa-apa yang dilakukan oleh Wesley Methodist School Kuala Lumpur pada hari ini sangat baik, bukan sahaja dari segi pengurusan yang sistematik, tetapi dari segi cara mereka melihat seni sebagai elemen yang membangkitkan rasa cinta akan negara melalui perpaduan.”

Antara lain yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Seri Wong Chun Wai, Tuan Letfee Ahmad, Datuk Seri Abdullah Sani, Tuan Kumar Subramaniam, wakil media, para guru dan pelajar Wesley Methodist School Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.