4 Julai 2022, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kebanyakan daripada lebih 2000 buah lagu ciptaan seniman negara, Dato’ Seri Dr. Ahmad Nawab ialah lagu yang bertemakan rintihan, kekecewaan dan cinta yang berirama mendayu-dayu. Memang banyak penyanyi negara kita yang menjadi terkenal selepas menyanyikan lagu yang melodinya ciptaan Dato’ Seri Dr. Ahmad Nawab. Antaranya ialah Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid, Datuk DJ Dave, Datuk Hail Amir, Allahyarham Latiff Ibrahim, Dato’ Khadijah Ibrahim (Kathy Ibrahim), Dato’ Jamal Abdillah, Shidee, Ramlah Ram dan Kazar.

Konsert Tribute Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab menghargai jasa bakti Dato’ Seri Dr. Ahmad Nawab.

Konsert Tribute Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 1 sehingga 3 Julai 2022 menampilkan nada kesedihan tersebut. Ternyata sebahagian besar daripada kira-kira 22 buah lagu yang didendangkan ialah suara kepiluan dalam keseksaan dalam bercinta.

Antara lagu yang ditampilkan dalam konsert anjuran Binjamal Event Sdn. Bhd. bersama-sama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan IB ini ialah Kusangka Siang Kiranya Malam dan Sabar Menanti, nyanyian Dato’ Khadijah Ibrahim, Sendiri, Perpisahan Tanpa Relamu dan Seniman Menangis (Dato’ Jamal Abdillah), Kau Bungaku (penyanyi asalnya Dato’ Shake), Janganlah Menghancurkan dan Sayang Semuanya Sudah Terlambat (Shidee), Tiada Maaf Bagimu (penyanyi asalnya Sharifah Aini), Cintaku Hanyut di Lautan Sepi, dan Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (Ramlah Ram). Shidee dan Ramlah turut berpadu suara menyanyikan lagu Bertemu untuk Berpisah (yang dipopularkan oleh Hail dan Uji Rashid).

Wany Hasrita, penyanyi generasi baharu yang dipilih oleh penganjur turut senada apabila mendendangkan lagu Kali Terakhir Kulihat Wajahmu (Uji Rashid), dan Kau Tinggi di Awan Biru (Sharifah).

Begitu pun, penganjur juga harus dipuji kerana mahu mengimbangi perasaan apabila turut menampilkan lagu-lagu berirama rancak-riang. Khadijah atau lebih dikenali sebagai Kathy Ibrahim misalnya menyanyikan lagu Ku Gembira di Sampingmu. Jamal Abdillah mendendangkan Aku Penghiburmu serta Taman Firdausi (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma), serta Seiring dan Sejalan (Broery dan Sharifah Aini) bersama-sama Wany. Wany sendiri menyanyikan Oh di Mana Mustika Hati (Sharifah, dan Bossanova (Saloma). Shidee pula menyampaikan lagu Pilihlah Aku (penyanyi asalnya Latiff).

Dato’ Seri Ahmad Nawab diwawancara oleh pengacara dari RTM, Fathilhidayat Ghazali.

Selepas Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dianggotai 60 orang pemuzik mempersembahkan instrumental Nawab Theme, iaitu rangkaian lagu popular komposer ini, kesemua penyanyi mendendangkan lagu Kasih yang dipopularkan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dan mendiang Broery. Orkestra DBKL yang mengiringi konsert dari awal hingga akhir sebelum itu membuka tirai persembahan dengan rangkaian lagu popular ciptaan Ahmad Nawab.

Sebelum finale lagu Kasih, Ahmad Nawab membuat kemunculan khas di pentas. Beliau yang kelihatan sihat dan gembira, begitu terharu ketika diwawancara oleh pengacara dari RTM, Fathilhidayat Ghazali. Menurut beliau, sejak lebih tujuh dekad mengabdikan diri dalam dunia muzik, ini kali pertama majlis tribute seumpama itu dianjurkan buatnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.