5 Julai 2022, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pos Malaysia Berhad telah mengeluarkan setem edisi khas koleksi perahu tradisional Malaysia pada 29 Jun 2022. Setem ini merupakan hasil kajian Dr. Mohd Rohaizat Abd Wahab yang merupakan Pegawai Sains di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sumber: Facebook Pos Malaysia Berhad.

Koleksi setem terbaharu ini menampilkan tiga jenis perahu tradisional Malaysia, iaitu kolek barat, bangkong dan lepa. Dalam sampul surat hari pertama koleksi ini dipaparkan penerangan berkaitan dengan jenis-jenis perahu yang terdapat dalam koleksi setem khas kali ini.

Kolek barat merupakan satu daripada perahu tradisional yang popular di Pantai Timur yang khususnya lebih banyak digunakan di sebelah Pantai Besut dan Kelantan. Perahu ini dipanggil Kolek Barat kerana dihasilkan di wilayah Patani, Thailand. Perahu ini mempunyai ukiran serta hiasan yang menarik dan diwarnakan dengan pelbagai warna dan corak walaupun hanya digunakan untuk menangkap ikan. Antara hiasan yang paling menonjol pada sesebuah perahu kolek ialah bangau, caping dan okok.

Sumber: Facebook Pos Malaysia Berhad.

Bangkong pula merupakan perahu parang atau perau pengayau masyarakat Iban. Bangkong diperbuat sepenuhnya daripada kayu-kayan terpilih yang terdapat di hutan Borneo. Sebanyak 20 orang pemuda Iban yang tegap lagi gagah perkasa diperlukan bagi mengemudi perahu ini. Pada tahun 1915, masyarakat Iban dari Gensurai, Sarawak telah menerima notis pemberitahuan daripada Rajah Charles Brooke untuk menyertai Ekspedisi Mujong dan perahu ini digunakan dalam ekspedisi tersebut. Perahu ini dipindahkan dan dipamerkan di perkarangan Muzium Sarawak, Kuching, pada tahun 1969 dan kini dipamerkan di Aras 4, Muzium Kebudayaan, Muzium Kebudayaan Borneo yang terletak di bandar raya, Kuching, Sarawak.

Setem terakhir yang ditampilkan dalam koleksi edisi khas jenis perahu tradisional Malaysia ini ialah lepa. Lepa bermaksud rumah perahu. Walau bagaimanapun, apabila digunakan sebagai kemudahan pengangkutan untuk mengangkut barangan dan orang ramai dari satu pulau ke pulau yang lain, perahu ini dipanggil bayanan.

Sumber: Facebook Pos Malaysia Berhad

Fungsi lepa telah berkembang dan berubah, dan kini dikaitkan sebagai objek nyata dalam memanifestasikan warisan budaya negeri Sabah secara amnya dan Semporna khususnya. Produk pelancongan Regatta Lepa telah meningkatkan kesedaran dan rangsangan terhadap lepa selain memberikannya nafas baharu dalam menghargai tradisi peninggalan nenek moyang mereka. Lepa akan terus menjadi simbol budaya yang menarik khususnya dalam mewakili identiti komuniti Bajau di pantai timur Sabah.

Set folder keluaran setem edisi khas koleksi perahu yang berharga RM54.80 ini mengandungi dua helaian setem dengan denominasi 30 sen dan 50 sen; satu lembaran mini; dua sampul surat hari pertama dengan setem dan satu folder.

Dapatkan folder set setem ini untuk mengetahui sejarah, warisan dan budaya negara kita berkaitan dengan perahu tradisional. Orang awam yang ingin menambah koleksi setem peribadi boleh mendapatkannya secara dalam talian melalui pautan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.