5 Julai 2022, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pandemik yang melanda memunculkan ilham dan kreativiti untuk berkarya. Begitu juga bagi kumpulan pelajar Program Pengajian Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang telah dengan jayanya mementaskan sebuah persembahan berjudul Prosamania: Radiasi di Black Box, ASWARA pada 1 hingga 2 Julai 2022 yang lalu.

Persembahan Prosamania: Radiasi.

Prosamania merupakan pementasan tahunan yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar semester akhir pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA. Menurut Encik Rosman Ishak, Dekan Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA, menerusi pementasan ini, para pelajar dituntut untuk bekerja dalam suasana kolektif sekali gus menguji keupayaan kreativiti, kesepakatan, bakat dan elemen teoritikal yang diterjemahkan dalam bentuk praktikal serta menunjukkan kerjasama diantara pelbagai bidang seni.

Tahun ini, Radiasi menjadi naskhah yang dipilih untuk dipentaskan. Radiasi menghimpunkan tiga kisah yang melibatkan tiga kumpulan watak berbeza-beza yang perlu mengharungi fasa pandemik dan pascapandemik yang penuh cabaran tersendiri.

Walaupun berkonsepkan minimalis dengan rekaan pentas yang sederhana, pementasan Radiasi sebenarnya sarat dengan cerita yang sebenarnya sedia merebak dalam kalangan kita. Pementasan arahan Iyla Muhd ini mengetengahkan isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat tatkala pandemik.

Pertama, kisah pasangan muda yang cuba untuk mencari keserasian setelah selama ini hanya sekadar berhubung melalui aplikasi dalam talian.

Kedua, kisah seorang anak yang mengalami gejala kesihatan mental setelah COVID-19 meragut nyawa ahli keluarganya sendiri.

Ketiga, kisah pasangan suami isteri yang berdepan dengan masalah komunikasi dan perlu mengikuti kaunseling rumah tangga.

Antara babak dalam Radiasi.

Sebagai sebuah pementasan bakat anak muda, penonton disajikan bukan sahaja dengan mutu lakonan pelakon pemula yang menjanjikan. Malah, persembahan muzik dan tarian tradisi pelbagai kaum yang dijalin sepanjang pementasan berhasil memukau penonton. Gimik paparan multimedia dan animasi ialah simbol pementasan generasi baharu. Setiap elemen pementasan ini sebenarnya membantu penonton untuk memahami alur cerita yang tidak linear.

Radiasi yang ditulis oleh penulis bersama, iaitu Ratu Yousei, Arief Hayqal dan Syahir Masyhor ini boleh dikenang sebagai sebuah pementasan yang unik. Slot persembahan instrumen muzik tradisional Borneo, Sape dan Veena − instrument muzik masyarakat India – benar-benar mencuri tumpuan.

Tepukan gemuruh serta reaksi penonton di Black Box ASWARA membuktikan objektif pementasan untuk mempamerkan bakat dalam kalangan pengkarya pemula ini berhasil dengan jayanya.

Radiasi bukan sekadar sebuah pementasan. Radiasi ialah suara generasi baharu yang melontarkan ekspresi dan aspirasi menerusi sebuah kolektif seni persembahan. Semoga suara generasi ini akan terus didengari dan kerja seni akan terus dihargai dan merebak dan bersinar seperti radiasi!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.