6 Julai 2022, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra singgah di Program Ekspresi Muzik Jalanan di Dataran Putra, Kampung Hujung Tanjung pada 5 Julai 2022 yang menjadi satu daripada tempat hentian dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli. Dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli ini, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis memulakan kayuhan dari Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama peserta kayuhan memulakan kayuhan MAIPs Peduli dari KUIPs.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis tidak berkeseorangan dalam kayuhan ini apabila turut ditemani oleh peserta kayuhan yang lain, termasuklah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran turut bersama-sama menyertai kayuhan MAIPs Peduli.
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan peserta kayuhan dalam perjalanan untuk ke tempat persinggahan pertama.

Sebelum singgah di Program EMJ ini, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis terlebih dahulu singgah di Dewan KRT, Kampung Tengah untuk menyaksikan Program Indahnya Bahasaku. Program tersebut menampilkan acara pertandingan Jejak Bahasa, Pertandingan Mewarna Lukisan dan Kuiz Semarak Bahasa dan Sastera.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menyantuni para pelajar di Program Indahnya Bahasaku di Dewan KRT, Kampung Tengah.

 

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berbual dengan peserta Program Indahnya Bahasaku.

 

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis melihat karya peserta di Program Indahnya Bahasaku.

 

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis beramah mesra dengan Ketua Pengarah DBP sambil mengayuh beca yang disediakan di hadapan Dewan KRT.

 

Dari Dewan KRT, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis meneruskan perjalanan ke program EMJ di Kampung Hujung Tanjung.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan (dua dari kiri) bersama-sama Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, menyambut keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Perlis ke Program EMJ.

 

Ketika berada di program EMJ, baginda berkenan untuk menyempurnakan gimik Program EMJ yang merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menyempurnakan gimik Program EMJ.

 

Selain itu, keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut diserikan dengan persembahan Tari Bunga Silat oleh penari kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis. Persembahan ini dilihat berjaya memukau penonton yang menyaksikannya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis.

 

Selain itu, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis juga berkenan untuk mengurniakan hadiah kepada pemenang program EMJ. Sebanyak 11 hadiah disediakan dalam program ini yang meliputi tiga hadiah tempat pertama hingga tempat ketiga, tujuh hadiah sagu hati dan satu hadiah persembahan terbaik. Pemenang tempat pertama dan pemenang persembahan terbaik menerima hadiah yang agak lumayan, iaitu wang tunai sebanyak RM3000. Selain wang tunai, pemenang juga memperoleh sijil penyertaan.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang.

 

Bagi mengadili pertandingan Program EMJ ini, pihak penganjur melantik tiga orang juri yang terdiri daripada Encik Mohd Noor Shafali Awang (Ketua Operasi dan Pentadbiran Pengurusan Busker Malaysia), Encik Megat Mohd Noor Megat Teh (pensyarah muzik) dan Encik Izwan Izhar Haris (pensyarah Universiti Malaysia Perlis – UniMAP). Dalam proses pemarkahan, juri mempertimbangkan aspek mutu suara (30%), gubahan muzik, lagu dan bahasa (30%), gaya persembahan (30%) dan bonus (10%). Dalam aspek mutu suara, aspek vokal dan dan sebutan menjadi perhatian. Dalam aspek gubahan muzik, lagu dan bahasa pula, aspek tempo, susunan lagu, olahan lirik yang sesuai, pemilihan kata yang kreatif, serta teknik dan gaya bahasa dilihat secara terperinci. Akhir sekali, dalam aspek gaya persembahan, aspek penghayatan, penampilan, kualiti dan persembahan menjadi perkara yang perlu dipertimbangkan.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menarik minat dan kesedaran masyarakat untuk memupuk rasa cinta dan megah akan bahasa kebangsaan, mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemuzik jalanan dari segi penghasilan lirik dan gubahan lagu yang bermutu dalam bahasa Melayu, selain menjalinkan sinergi dengan pelbagai pihak demi memartabatkan bahasa Melayu.

Program satu hari yang bermula seawal pukul 8.00 pagi ini berjaya menarik penyertaan daripada 10 kumpulan pemuzik jalanan dari tiga buah negeri, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Setiap kumpulan hanya perlu mempersembahkan sebuah lagu yang menjadikan keseluruhan 10 lagu yang perlu dipersembahkan. Sepuluh lagu ini ialah Rindu (Eden), Sujudku (Jiwa Buskers), Malaysiaku Sejahtera (Astronomy Band), Nur Qalbi (J’M’W Buskers), Abadikan Kenangan (D’Syond Buskers), Rintihan Kudus (Pekola Buskers), Kisah Kehidupan (Mask Buskers), Kedamaian Dicari (Black Snake), Aku Datang Ingin Menjagamu (Topeng) dan Keinsafan (Geliga Buskers).

Istimewanya dalam program ini, setiap kumpulan pemuzik jalanan mempersembahkan lagu dan gubahan muzik yang dicipta sendiri, khusus untuk program EMJ dengan tema kekeluargaan dan ketuhanan. Lagu tersebut belum pernah dipersembahkan dalam mana-mana persembahan mereka sebelum ini.

Setiap kumpulan menampilkan persembahan yang memukau penonton. Menerusi Program EMJ, pemuzik jalanan dapat membuktikan bahawa mereka bukanlah pemuzik “biasa” tetapi mempunyai mutu dan kelas yang tersendiri. Kehadiran penonton juga memberangsangkan apabila khemah dan kawasan Dataran Putra, Kampung Hujung Tanjung dipenuhi dengan penonton yang datang dari seluruh negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Penonton menyaksikan persembahan kumpulan pemuzik jalanan.

 

Kumpulan Pekola Buskers (Perlis) diumumkan sebagai johan pertandingan, manakala naib johan dimenangi oleh Jiwa Buskers (Pulau Pinang) dan tempat ketiga dimenangi oleh Geliga Buskers (Kedah). Pemenang program EMJ sangat bertuah apabila DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bukan sahaja menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada mereka, tetapi turut berkenan untuk bersama-sama pemenang dalam sesi fotografi.

Kumpulan Pekola Buskers menyampaikan persembahan setelah dinobatkan sebagai juara pertandingan Program EMJ.

 

Program EMJ sesungguhnya menjadi jambatan kepada DBP dalam usaha untuk membina sinergi bersama-sama pelbagai pihak, termasuklah pihak istana dan sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa dan persuratan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.