6 Julai 2022, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandaraya Melaka – Dalam Usaha memelihara seni warisan Melayu Melaka khususnya tarian tradisional agar tidak luput ditelan arus pembangunan zaman, Institut Warisan Melaka (INSWA) mengambil inisiatif mengadakan kerjasama menjalankan kajian gerak tari Joget Serampang Laut. Kajian yang dijalankan dengan kerjasama seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu telah diadakan di USM pada pertengahan Mei lalu.

Peserta menarikan Joget Serampang Laut.

Menurut Pengurus Besar INSWA, Nurman Mohd Baroldin, Joget Serampang Laut merupakan tarian tradisional yang berasal dari Melaka dan mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1970-an oleh Allahyarham Syed Manaf.

Allahyarham Syed Manaf merupakan mentor dan guru kepada Ketua Unit Kebudayaan INSWA Noriah Ahmad yang turut memainkan peranan dalam menyuburkan seni tarian tersebut kepada generasi masa kini.

“Kajian yang diadakan pada 17 dan 18 Mei lalu ini bertujuan memelihara warisan tarian dan diselia oleh Pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Nur Zaidi Azraai,” katanya.

Nurman menjelaskan, bagi melaksanakan kajian tersebut, penyelidik USM telah menggunakan teknologi Tangkapan Gerakan (Motion Capture) untuk merakam pergerakan pasangan penari INSWA yang bertujuan untuk memahami serta mendalami ragam dan pergerakan tarian tersebut.

Katanya, teknologi Tangkapan Gerakan tersebut bertujuan untuk merakam pergerakan pasangan penari sewaktu menarikan Joget Serampang Laut yang akan digunakan sebagai sumber rujukan bagi kajian yang sedang dijalankan.

Peserta membuat persediaan membuat rakaman pergerakan menggunakan teknologi Tangkapan Gerakan (Motion Capture).

“Menerusi bantuan teknologi yang canggih ini, setiap ragam Joget Serampang Laut ini mampu dirakam dengan lebih jelas dan terperinci berbanding dengan menggunakan rakaman video biasa,” katanya.

Tambah Nurman, menerusi kajian yang dijalankan itu bukan sahaja dapat memelihara tradisi warisan Melayu secara menyeluruh, malah pemvisualan mikro terhadap gerakan itu dapat memberikan pemahaman yang lebih jelas terhadap falsafah warisan tersebut.

Memelihara warisan secara praktikal tidak mencukupi jika falsafah dan maksudnya tidak difahami. Oleh itu, penerokaan visual mikro ini berpotensi untuk memberikan pandangan yang jelas kepada falsafah warisan tersebut.

Selain itu, potensi daripada visual tersebut juga boleh diolah untuk kepelbagaian tujuan seperti mentransformasikan simbol tersebut menjadi seni kraf Melayu, pada masa sama menterjermahkan bahasa gerak tubuh kepada visual bagi pemahaman yang lebih teliti kepada ekspresi dan maksud gerak tari tersebut,” katanya.

Selain menjalankan kajian, delegasi INSWA ke Pulau Pinang turut mengadakan Bengkel Gerak Tari yang bertempat di Panggung Sasaran USM yang disertai pelajar jurusan Seni Persembahan USM, diketuai oleh Dr. Andika Aziz Hussin selaku Ketua Unit Drama dan Teater, Pusat Pengajian Seni USM. Bengkel tersebut diadakan bagi mengajar asas pergerakan tubuh badan dalam tarian kepada para pelajar drama dan teater yang baru memulakan kelas secara bersemuka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.