6 Julai 2022, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, teater Muzikal Moyang Salleh (MMS) akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 26 sehingga 31 Ogos 2022, bermula pada pukul 8.30 malam. Diterbitkan oleh Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu, dan dinaungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, MMS dijangka menampilkan lebih 150 tenaga produksi, termasuk pelakon, penari, pemuzik dan kru.

Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain yang mewakili Yang Teramat Mulia Undang Luak Jelebu 16, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashid.

Pelancaran rasmi MMS diadakan di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia pada 5 Julai 2022 lalu dan disempurnakan oleh Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain yang mewakili Yang Teramat Mulia Undang Luak Jelebu 16, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashid.

Menurut Pengarah MMS, Roslee Mansor, para pelakon yang terpilih dalam pementasan teater ini memang berpengalaman luas dan berbakat besar. Sementelah pula, kesemuanya diberikan tanggungjawab mementaskan teater ini setelah melalui sesi uji bakat.

“Memang pada mulanya saya telah membayangkan beberapa orang pelakon tertentu untuk watak tertentu. Akan tetapi, akhirnya saya membuka pemikiran dan membuat keputusan untuk mengadakan sesi uji bakat. Ramai pelakon terkenal dan hebat menjalaninya, termasuklah Dato’ Ahmad Tamimi Siregar yang kemudian terpilih memegang watak Moyang Salleh,” jelas Roslee yang juga salah seorang “orang lama” teater tanah air.

Antara pelakon yang terpilih ialah Khir Rahman sebagai Sultan Abdul Jalil Muazam Shah, Hairi Safwan (Datuk Bendahara), Along Eyzendy (Si Amat), Mubarak Majid (Datuk Temenggung), Amran Nasrudin (Pembesar Johor), Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api), Kamarul AR (Datuk Penghulu Johol) dan Eliza Mustapa (Moyang Timah).

Semasa sidang media pelancaran rasmi teater muzikal ini, Roslee turut menjelaskan bahawa tempoh latihan yang tidak terlalu panjang juga dapat bermanfaat, seperti memberikan peluang kepada pelakon menyelesaikan beberapa hal dan menjimatkan kos produksi.

MMS berdasarkan legenda figura seorang pemimpin Melayu bernama Moyang Salleh dari daerah Jelebu. Membawa kisah perjuangan, pengorbanan serta seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan, teater ini turut menampilkan kelainan dari segi seni persembahan dan teknikal serta keunikan tersendiri apabila menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai bahasa pertuturan.

Persembahan visual karya seni apa-apa pun tidak menarik tanpa unsur kekaguman. Antara unsur kekaguman MMS ialah menampilkan kemampuan Moyang Salleh berjalan di atas air dan berada di tempat yang berbeza dalam sekelip mata. Kehebatan empat orang pembantunya, iaitu Tok Beruang Hitam (Lizart Rashid), Tok Gagah Lela Perkasa (Raja Hafiz), Tok Bauk (Zaim Zainal) dan Tok Laut Api juga akan ditampilkan.

Pengarah Muzikal Moyang Salleh, Roslee Mansor.

MMS akan turut diserikan oleh lebih 16 buah lagu yang dicipta dan digubah, berserta dialog yang mampu menghiburkan penonton dengan irama, selain nyanyian, tarian dan lakonan. Teater ini juga diperkemas lagi dengan penampilan muka baharu seperti Mellisa Kelvin sebagai Seri Banun dan Nen Tebabo, penyiar dari radio Negeri FM (Cik Kembang Dara). Menurut Roslee, kemampuan berlakon, menyanyi dan menari membuatkan Melissa terpilih memegang watak utama.

Menariknya, MMS merupakan teater muzikal yang pertama dipentaskan di IB sejak bermulanya fasa endemik pada 1 April lalu. Moyang Salleh sangat dihormati dan begitu banyak berjasa kepada masyarakat. Beliau suka merendah diri meskipun disegani dan kata-katanya sangat didengari. Ketika memimpin Jelebu, kawasannya aman damai dan tiada musuh yang berjaya menceroboh. Beliau sendiri mempunyai sebilah keris sakti dan dibantu oleh Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, Tok Gagah Lela Perkasa dan Tok Bauk.

Konflik tercetus apabila anak sahabat Moyang Salleh, Si Amat dibunuh oleh Sultan Johor ketika itu, Sultan Abdul Jalil, yang suka merampas isteri dan tunangan orang. Sebagai akibatnya, seluruh daerah bersatu mahu memerangi Kerajaan Johor yang zalim itu.

Moyang Salleh dihantar sebagai utusan untuk menuntut hak dan mendapatkan penjelasan daripada Sultan Johor. Di pusat empayar Kesultanan Johor yang mempunyai ribuan askar, Moyang Salleh dan empat pahlawannya berdiri gagah untuk menuntut hak mereka.

Namun demikian, Sultan Johor terlalu angkuh dan enggan menemui mereka. Mereka sebaliknya dipermain-mainkan dan dilayan dengan kasar. Oleh sebab pantang dicabar, Moyang Salleh dan pahlawan berempat mula menunjukkan kehebatan masing-masing.

Turut menghadiri majlis sidang media pelancaran rasmi MMS ialah penerbitnya, Hajjah Salbiah Zahari; penulis skrip, Subroto Katimin; Azhar Jalil (pelakon kedua Si Amat), Amran Nasrudin, Zuhairi Ibrahim, Raja Hafiz, Zaim Zainal, Kamarul AR, Hussin Hassim (Datuk Penghulu Sungai Ujong), Abdul Mutalif Abu Bakar (pengarah tari), Sakrani Shamsuddin (pereka set dan tukang), Fazreen Mohd (penolong pengarah), Suhairi Sulaiman (pengurus publisiti dan promosi), serta Ahmad Tamimi, dan Melissa Kelvin sendiri.

Sebahagian daripada pelakon dan tenaga produksi Muzikal Moyang Salleh bergambar dengan Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain.

Sementara itu, Salbiah menyatakan beliau sentiasa mendoakan kejayaan dan impak yang baik menerusi muzikal ini kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, jelas beliau, produksi menyediakan diskaun hebat yang jarang-jarang diberikan oleh produksi lain, iaitu antara 10 peratus hingga 20 peratus untuk pembelian awal, bermula pada 24 Jun lalu hingga 31 Julai 2022.

Bagi pembelian tiket secara pukal (10 tiket ke atas), diskaun 10 peratus akan diberikan. Pelajar dan warga emas pula akan diberikan diskaun lima peratus daripada harga asal.

Mereka yang berminat boleh juga menghubungi 012 275 5981 (Urus Setia), 014 636 4636 (Suhairi), 017 375 2739 (Adibah), dan 017 644 6120 (Firdaus) untuk pertanyaan pembelian tiket, dan mengikuti maklumat serta aktiviti terkini di Facebook muzikal ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.