6 Julai 2022, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerusi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) menganjurkan Wacana Manuskrip Melayu yang mengutarakan topik “Manuskrip Melayu-Jawi di Sarawak: Menobatkan Santubong sebagai Negeri Melayu Kedua Tertua di Dunia”, bertempat di aras 10, Menara PNM, pagi ini. Wacana siri kedua bagi tahun 2022 ini menampilkan YBhg. Datu Dr. Sanib Said, seorang anak watan dan Pakar Sejarah Sarawak sebagai pembentang.

PNM menerusi satu kenyataan menyatakan, “Program wacana ini dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan naskhah-naskhah manuskrip Melayu yang tersimpan dalam koleksi PNM dan mendedahkan kepada masyarakat kepentingan ilmu yang terakam dalam manuskrip Melayu itu sendiri serta memperlihatkan pengaruh dan asimilasi budaya dan citra. PNM berharap melalui program ini dapat menggalakkan masyarakat menghargai manuskrip Melayu sebagai sumber atau bahan rujukan utama dan sahih baik dalam hal ehwal agama Islam, adat, budaya, sosioekonomi dan politik.”

Pada masa dahulu, terdapat sebuah negeri bernama Santubong yang sekarang menjadi negeri Sarawak. Nama negeri Santubong yang hebat dahulu merupakan tapak arkeologi terbesar di Asia Tenggara dan menjadi sejarah yang besar, tetapi dilupakan oleh masyarakat.

Berdasarkan tafsiran sejarawan, Wissemen Christie, ‘Santubong ialah kompleks tapak pelabuhan di delta Sungai Sarawak yang menyaingi tapak dan kekayaan yang terdapat di Lembah Muda dan Merbok di Kedah. Tidak dinafikan, Santubong ialah tinggalan ibu kota pelabuhan negeri Po-ni (Brunei) … Pelabuhan ini jelas diasaskan di rantau ini pada abad kesepuluh kemudian, apabila hanya terdiri daripada satu tapak kediaman, Sungei Jaong, dan terdapat tanah perkuburan yang berkaitan berdekatan Tanjung Kubor.’

YBhg. Datu Dr. Sanib Said.

Menurut Datu Dr. Sanib, “Santubong merupakan negeri Melayu kedua tertua di dunia selepas Kedah (500 era sebelum sekarang). Di Sarawak, saya telah membuat kajian dan bukti-buktinya cukup untuk menunjukkan Santubong itu sudah wujud ketika tahun 300 era sebelum sekarang (ESS).”

“Oleh sebab itulah saya ingin mengetengahkan supaya sejarah kita ini lebih lama dan mantap warisannya seperti negara tua yang lain. Dalam sejarah, negara yang lebih tua itu dikatakan lebih bagus dan lebih mantap. Penemuan ini ialah kemajuan dalam bidang penyelidikan dan inilah yang kita mahukan, bukan sahaja maju dalam bidang yang lain,” tambah beliau.

Kata Datu Dr. Sanib lagi, Santubong merupakan sebuah negeri Melayu yang awal dan tua di Malaysia serta di Asia Tenggara, dan sejarah ini telah dimasukkan dalam silibus buku teks Sejarah tahun lima dan juga tingkatan dua sejak dua hingga tiga tahun yang lalu. Beliau berharap agar penemuan ini dapat disenaraikan dalam Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Santubong menjadi pusat pelancongan yang baharu di Sarawak.

“Saya yakin dengan potensi kawasan ini untuk dimajukan dalam bidang pelancongan domestik,” tambah Datu Dr. Sanib.

Ahli Lembaga Penasihat PNM, Dato’ Nor Hisham A. Dahlan bertanyakan soalan kepada pembentang wacana.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pihak-pihak berkaitan mencari jalan untuk memberikan pendedahan mengenai pengkajian sejarah kepada mahasiswa. Katanya, “Pada zaman saya dahulu, kami memang didedahkan dengan tugasan membaca manuskrip. Usaha Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melalui wacana ini juga merupakan satu cara untuk memupuk minat para mahasiswa bagi menjalankan penemuan baharu dan mesti ada golongan yang meneruskan kajian ini.”

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah PNM, YBrs. Puan Salasiah Abd Wahab dan Ahli Lembaga Penasihat PNM, Dato’ Nor Hisham A. Dahlan.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.