8 Julai 2022, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil anjuran Jabatan Muzium Negara (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan kerjasama strategik Universitit Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada orang ramai bermula dari 7 Julai hingga 31 Disember 2022.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Hajah Nancy Haji Shukri mengunjungi pameran. Sumber: Facebook rasmi MOTAC.

Pameran yang bertempat di Galeri Saindera ini terbahagi kepada empat segmen mengetengahkan unsur motif yang sangat dominan dalam dunia tekstil Melayu. Pameran ini secara ekslusifnya memperagakan sebanyak 91 koleksi pelbagai kategori milik JMM dan 65 koleksi produk akhir hasil karya dan kreativiti para pelajar UiTM Cawangan Machang, Kelantan. Antara koleksi yang dipamerkan ialah koleksi songket, songket limar, kain tenun, kain pelangi, batik, tekat, hiasan kepala, kelingkan, kasut manik dan telepuk.

Penganjuran pameran ini sangat bertepatan untuk mengangkat dan memperkenalkan kepelbagaian sumber motif yang menjadi inspirasi dalam penghasilan seni tekstil tempatan serta menyebarluaskan pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai unsur-unsur motif dalam seni tekstil Melayu, perkembangan idea dan reka corak serta teknik pembuatan bagi penghasilan tekstil.

Pameran Motif dan Reka Corak Tesktil telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Hajah Nancy Haji Shukri pada 7 Julai 2022. Dalam ucapannya, beliau berkata, pameran ini diharap dapat membuka minda masyarakat terutamanya generasi belia untuk mengenali dan memahami kepelbagaian, simbolik dan falsafah pada motif-motif tradisional dalam dunia seni tekstil tempatan yang kita warisi sejak turun-temurun.

Beliau juga menyeru Keluarga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu menyokong penganjuran pameran ini bagi membolehkan muzium menjadi salah satu penyumbang utama kepada usaha penjanaan semula ekonomi negara demi kelangsungan industri pelancongan. Jom sama-sama kita ke Muzium Tekstil Negara!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.