15 Julai 2022, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kaum yang terdapat di dunia ini mempunyai pantang larang tersendiri. Pantang larang ini merupakan didikan secara tidak langsung dalam kalangan masyarakat.

Pantang larang ini lazimnya mengikut kaum. Ada juga berdasarkan tempat. Namun begitu, pantang larang ini ada kalanya sukar untuk dimengertikan tujuannya. Apa-apa yang pasti, pentang-larang tersebut memberikan pengajaran atau mendidik masyarakat secara tidak langsung (Wan Nan, 2001).

Menurut Mahmud Ahmad (1961), pantang itu merupakan sesuatu perbuatan yang tidak boleh buat, dimakan, disebut atau pelbagai lagi yang tidak dibenarkan. Seandainya dilakukan juga, maka seseorang itu akan mendapat padah. Larang pula ialah sesuatu tegahan yang tidak elok pada perkiraan adat. Namun demikian, perbuatan melanggar larang ini tidaklah terlalu berbahaya.

Di sini penulis ingin kemukakan beberapa pantang larang yang pernah menjadi pegangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Antaranya, ada dalam kalangan masyarakat dahulu meminta kanak-kanak yang ingin menjamu selera memakai songkok. Sekiranya tidak memakai songkok akan kematian isteri bila besar nanti. Ini ancaman kepada kanak-kanak lelaki sahaja. Orang dewasa tidak terpakai suruhan ini. Akan tetapi, pantang larang ini sebenarnya bukanlah kerana bimbang kematian isteri tetapi kerana ingin mengelakkan rambut gugur atau apa-apa yang ada di atas kepala masuk ke dalam makanan semasa makan.

Selain itu, kanak-kanak terutamanya disuruh membasuh kaki sebelum tidur. Kononnya jika tidak membasuh kaki apabila hendak tidur, akan diganggu oleh syaitan dan boleh juga mengalami mimpi yang buruk. Hal ini sebenarnya bukanlah kerana bimbang diganggu syaitan atau mimpi ngeri. Pantang larang ini merupakan disiplin supaya anak-anak menjaga kebersihan kaki. Dalam Islam sendiri dianjurkan untuk berwuduk sebelum seseorang itu tidur. Selain kebersihan kaki, hal ini juga boleh dapat menghindarkan tempat tidur daripada tercemar dek kekotoran.

Orang dahulu melarang anak-anak berjalan pada waktu senja.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak dan remaja tidak dibenarkan berjalan pada waktu senja kerana dibimbangi akan disembunyikan oleh hantu. Hal ini dikatakan demikian kerana pada waktu ini, hantu dan syaitan dikatakan banyak berkeliaran. Sebenarnya, larangan ini merupakan satu didikan bahawa pada waktu ini seharusnya semua ahli keluarga berada di rumah, membersihkan badan, mandi dan menunaikan solat maghrib malah dapat makan malam bersama-sama ahli keluarga. Hal ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga kerana dapat berehat bersama-sama.

Kanak-kanak zaman dahulu dilarang duduk di atas bantal.

Kanak-kanak juga dilarang duduk di atas bantal kerana dikatakan akan tumbuh  bisul. Hal yang sebenarnya adalah supaya bantal tidak kotor atau rosak sekiranya bermain atau duduk di atasnya. Oleh sebab itu, di sebahagian rumah orang Melayu, bantal diletakkan di tempat yang tinggi supaya tidak dapat diambil oleh kanak-kanak.

Antara larangan lain, anak dara ditegah bernyanyi di dapur, dibimbangi akan memiliki suami tua. Larangan ini sebenarnya adalah untuk mendidik anak gadis supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan kerja dapur kerana dibimbangi makanan yang sedang dimasak akan hangit atau rosak.

Seseorang suami pula ditegah daripada menyembelih binatang atau mencederakannya ketika isteri sedang hamil kerana dibimbangi mendapat anak yang menjadi cacat anggota badan. Kecacatan ini berdasarkan bahagian anggota badan yang dicederakan. Namun begitu, larangan ini tidak diketahui sebab musababnya walaupun masih ada lagi dalam kalangan masyarakat yang mempercayainya.

Orang dahulu juga tidak membenarkan anak gadis makan makanan dari periuk kerana akan melahirkan anak yang kurang cerdik kelak. Perkara yang sebenarnya adalah kerana tidak mahu gadis tersebut kelihatan seperti orang pemalas dan pengotor. Lagi pula, nasi di dalam periuk itu akan dikongsi dengan orang lain pula.

Seterusnya ialah larangan bersiul di kampung sama ada lelaki atau perempuan. Perbuatan ini merupakan  sesuatu yang aib dan tidak digemari oleh orang tua. Perbuatan ini seolah-olah menunjukkan seseorang itu bersombong atau mengada-ngada, boleh juga memberikan isyarat kepada pasangan yang bercinta atau dilakukan untuk memikat anak dara. Sekiranya dilakukan oleh orang perempuan, hal yang demikian dianggap gatal dan ingin bersuami.

Orang tua dahulu juga tidak membenarkan anak-anak tidur di bawah alang kerana dikatakan akan menyebabkan dilangkah atau ditindih oleh hantu atau syaitan. Larangan ini merupakan sifat berhati-hati kerana jika tidur di bawah alang, dibimbangi akan ditimpa alang sekiranya jatuh. Mungkin pada waktu itu kebanyakannya hanya mampu mendirikan pondok kecil untuk didiami.

Seseorang anak gadis tidak dibenarkan menyapu sampah secara sambil lewa atau tidak bersih. Natijahnya nanti akan dapat suami berjambang dan bermisai tebal. Hal ini bertujuan supaya anak gadis lebih berdisiplin semasa menjalankan tugas rumah tangga. Boleh juga sebagai latihan dan persediaan untuk si gadis melakukan pekerjaan dengan betul. Apabila berumah tangga nanti, tidaklah mencemarkan nama baik keluarga, dikatakan anak perempuan tidak pernah diajar mengemas rumah.

Banyaklah lagi sekiranya ingin dikongsikan di sini. Pantang larang ini merupakan sebahagian daripada khazanah budaya bangsa yang tersimpan rapi.

Secara umumnya, pantang larang ini satu bentuk disiplin yang cuba diterapkan oleh golongan yang lebih tua dalam sesuatu keluarga atau masyarakat. Namun begitu, pantang larang yang bertentangan dengan Islam sewajarnya ditinggalkan, lebih-lebih lagi jika melibatkan persoalan akidah. Sesuatu yang bertentangan dengan Islam tidak patut dipertahankan. Sikap itu menunjukkan kejahilan dan kekeliruan penganutnya terhadap ajaran Islam (Ahmad Zahiruddin, 2021).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!