18 Julai 2022, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Tourism Malaysia melancarkan promosi diskaun 10 peratus bagi Pakej Durian Tourism dalam usaha memeriahkan dan mempromosikan musim durian di negeri-negeri wilayah utara.

Pakej Durian Tourism ini menggabungkan pelbagai elemen pelancongan seperti elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan dan pengembaraan lasak. Tawaran ini melibatkan pakej dua hari satu malam (2H1M) dengan bayaran bermula RM290 seorang dan pakej tiga hari dua malam (3H2M) dengan bayaran bermula RM388 seorang, dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.

Kempen ini berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2022 dan merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia dengan lima pengendali pelancongan, iaitu Kurma Travel & Tours Sdn. Bhd., Adventure360 Tours Sdn. Bhd., Time Free Vacation Sdn. Bhd., M.Maha-Izah Transport & Tours Sdn. Bhd dan Asia Gateway Tours.

Majlis pelancaran kempen tersebut telah berlangsung pada 15 Julai 2022 di Hin Bus Depot, Pulau Pinang dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab.

Dalam ucapan pelancarannya, YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab berkata, sekurang-kurangnya 500 pakej disasarkan terjual sepanjang tempoh promosi berlangsung dengan jangkaan pulangan sebanyak RM100 ribu.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab ketika melancarkan Pakej Durian Tourism. (Sumber: Facebook Tourism Perak)

“Kita berharap promosi kempen Pakej Durian Tourism ini dapat diperluas dengan penglibatan lebih banyak pengendali pelancongan bukan sahaja di negeri-negeri di wilayah utara tetapi juga di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan melalui Tourism Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu mempromosikan pakej-pakej seumpama ini yang memberikan manfaat secara langsung kepada para pelancong serta pemain industri pelancongan terlibat.

Orang ramai terutamanya penggemar durian yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di http://www.malaysia.travel.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!