Oleh Aisyah A.
21 Julai 2022, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – BERNAMA Radio yang bersiaran secara langsung pada jam 8.30 pagi melalui wawancara bagi slot Jendela Fikir menjemput Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berkongsi tentang “Kebitaraan Manuskrip Alam Melayu”.

Dalam wawancara tersebut, Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria menerangkan bahawa sejarah manuskrip Melayu merupakan ilmu watan yang berkait dengan alam Melayu serta dihasilkan oleh orang yang tinggal di alam Melayu yang merekod dan mendokumentasikan ilmu untuk simpanan peribadi dan sejarah yang berharga bagi generasi akan datang.

Manakala manuskrip pula ditakrifkan sebagai karya dalam tulisan Jawi yang bertulis tangan dan telah dihasilkan dalam lingkungan awal kurun ke-16 sehingga kurun ke-20. Namun begitu, tulisan tersebut telah wujud lebih awal sejak kurun ke-16 dan dapat dibuktikan melalui peninggalan artifak seperti batu bersurat di Terengganu yang mengesahkan bahawa agama Islam telah muncul di negeri tersebut sebelum tahun 1326 lagi.

Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria.

Menurut Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, bagi definisi Manuskrip Alam Melayu berdasarkan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), hasil tulisan Jawi tersebut mestilah berkaitan secara langsung dengan alam dan tamadun Melayu termasuklah kehidupan masyarakat di alam Melayu. Pada zaman tersebut, maklumat dalam tulisan Jawi di atas batu bersurat merupakan undang-undang kepada masyarakat yang secara tidak langsung menunjukkan orang Melayu sudah pun pandai membaca.

Selain itu, sewaktu ketibaan Ibnu Battuta di Tanah Melayu, masyarakat Melayu telah pun mempunyai satu sistem pengajaran yang menunjukkan bahawa masyarakat sudah mula menulis dan menghasilkan penulisan-penulisan bermula pada zaman tersebut. Bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan manuskrip pada zaman dahulu sesuai dengan takrifan permukaan yang mempunyai tulisan tangan adalah permukaan untuk ditulis, peralatan untuk menulis dan dakwat yang akan meninggalkan warna dan tulisan pada kertas.

Perkembangan manuskrip Melayu boleh dilihat dengan menjejaki cendekiawan-cendekiawan Melayu seperti Sunan Kalijaga, Syeikh Siti Jenar, Hamzah Fansuri dan Abdul Rauf Al-Singkili. Penulisan dan sarjana-sarjana ini tidak boleh dipisahkan kerana sumbangan mereka yang tidak ternilai dan penulisan inilah yang dikenali sebagai Manuskrip Alam Melayu yang ditinggalkan untuk generasi ini dan yang akan datang. Tambahan lagi, penulisan daripada para cendekiawan Islam ini terbahagi kepada dua, iaitu berbahasa Arab dan berbahasa daerah wilayah Alam Melayu dan tidak semestinya bergantung kepada bahasa Melayu yang diguna pakai seperti zaman kini atau bahasa Melayu umum. Bahasa Melayu pada zaman itu mempunyai kepelbagaian seperti bahasa Melayu Minang, bahasa Melayu Jawa, bahasa Melayu Sunda dan bahasa Melayu Bugis.

Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria turut bersetuju tentang manuskrip Melayu yang dikatakan hanya untuk orang-orang yang tertentu, dipinggirkan dan tidak mendapat tempat dalam kalangan generasi baharu kerana manuskrip sering menjadi simpanan dan pameran di muzium, arkib atau pusat penyelidikan serta kesukaran orang awam untuk mengakses, melihat dan menelitinya. Di samping itu, beliau menerangkan tentang kepentingan melindungi manuskrip Melayu kerana manuskrip-manuskrip tersebut tergolong dalam kategori tinggalan artifak dan kebanyakannya berusia lebih daripada seratus tahun.

Cara dan proses penjagaan manuskrip adalah sangat penting kerana kebiasaannya manuskrip dibuat daripada bahan kertas dan bahan organik serta mudah rosak. Oleh sebab itu, bidang manuskrip Melayu hanya sinonim dengan ahli akademik yang banyak menghabiskan masa dengan tinggalan-tinggalan penulisan ini. Demi mengelakkan kepupusan ilmu yang sangat berharga ini, kerjasama semua pihak amatlah diperlukan.

“Sebagai contoh, bagi mereka yang mahir tulisan Jawi, manuskrip tersebut bolehlah dirumikan agar ilmu yang ditulis dapat dilestarikan dan disebarkan dengan lebih luas. Penyimpan-penyimpan manuskrip asal pula seperti PNM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Muzium Negara dan beberapa universiti awam yang telah membuka koleksi manuskrip tersendiri boleh mengetengahkan bahan-bahan yang berkaitan manuskrip ini dalam pelbagai kaedah supaya mudah difahami. Indonesia boleh dijadikan sebagai contoh negara yang memperkenalkan manuskrip sebagai objek warisan dan tinggalan sejarah yang membanggakan serta didedahkan kepada generasi muda dan masyarakat bermula dari sekolah rendah lagi,” jelas Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria mengakhiri bicara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.