23 Julai 2022, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Permatang Pauh – Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang kembali dianjurkan pada tahun ini setelah pertama kali berlangsung pada tahun 2018. Pesta ini bakal menjadi antara tarikan baharu pelancongan negara kerana keunikan yang ditampilkannya selain berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Pesta yang bertemakan “Padiku, Warisanku dan Rezekiku” berlangsung selama tiga hari, bermula dari 22 hingga 24 Julai 2022 dan bertempat di Kampung Terus, Penanti, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pesta ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan “Scavenger Hunt”, Larian “Penanti River Run”, bazar makanan dan produk, pelbagai jenis permainan tradisional, pertandingan menangkap ikan di tengah bendang, menunggang kereta lembu dan kuda serta pelbagai aktiviti menarik yang lain.

Pihak penganjur memilih Kampung Terus sebagai tapak pesta ini kerana lokasi kampung tersebut yang merupakan tapak warisan padi tertua di Seberang Perai sejak tahun 1800 berdasarkan sejarah.

Antara arca jerami padi yang terdapat dalam Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0.

Pertandingan Arca Jerami Padi gergasi juga buat julung kalinya diadakan dalam pesta kali ini dengan penyertaan pasukan-pasukan undangan dari seluruh negara bagi merangkul anugerah berprestij, iaitu Anugerah Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pengunjung yang hadir dapat menghayati keindahan dan keunikan 17 arca unik hasil seni kreatif anak tempatan dengan menggunakan jerami padi kering hasil buangan selepas musim menuai yang dipamerkan di sekitar tapak pesta tersebut. Penghasilan arca jerami gergasi tersebut mampu menjadi produk pelancongan kampung dan memperkembangkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat selain boleh mengurangkan pencemaran udara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.