24 Julai 2022, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Bertepatan dengan sambutan Hari Melaka Bandaraya Warisan Dunia, rangkaian kerjasama agensi kerajaan bersama-sama organisasi bukan kerajaan (NGO) berpadu tenaga dalam menghasilkan pementasan teater “Dara dan Makcik Bawang”. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gagasan Anak Seni (GAS) dan CTRA Production berjaya membawa karya hebat Dr. Rosminah Mohd. Tahir yang bertindak sebagai pengarah teater dan penulis skrip ke pentas Panggung Sari, JKKN Melaka. Penulis skrip bijak mengadun elemen sindiran bagi memberikan kesedaran kepada penonton tentang peri pentingnya pengurusan kewangan dalam keadaan dunia yang berdepan dengan kadar inflasi yang semakin memburuk.

Teater “Dara dan Makcik Bawang” mengisahkan Mak cik Aminah yang merupakan pengusaha produk bawang di Kampung Sukahati berusaha membawa perniagaannya ke peringkat antarabangsa seiring dengan kemajuan teknologi masa ini. Usahanya dibantu oleh empat dara, iaitu Peot, Senah, Lalita dan Teh serta diteladani oleh Cikgu Siti, guru sastera dan bahasa yang sayang akan kampung dan warisan bangsanya. Mereka merancang membawa perniagaan tersebut ke peringkat global dengan menubuhkan Kelab Warisan. Keempat-empat dara sangat ikhlas dan jujur membantu Mak cik Aminah secara sukarela.

Fauziah Dato’ Ahmad Daud dan Liza Abdullah sedang mementaskan teater.

Keadaan menjadi huru-hara dan kecoh apabila empat dara berhadapan dengan Mak cik Dadamiah, iaitu sahabat dan rakan kongsi Mak cik Aminah yang dibuli oleh dua orang anak saudaranya, iaitu Tuminah dan Kamariah. Mereka menuntut wang pusaka hasil perniagaan tersebut dengan alasan yang direka-reka. Keadaan menjadi semakin kecoh apabila tiba hari pelancaran Kelab Warisan.

Menurut Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias, teater ini sarat dengan suka duka, garapan perjuangan wanita yang giat memajukan industri kampung dan mempunyai hasrat yang murni dalam hal-hal kemanusiaan dan kewanitaan yang secara tidak langsung memberikan inspirasi kepada kaum wanita.

Siti Rohayah Attan selaku penerbit teater telah merealisasikan naskhah yang berkualiti ini dalam pementasan selama tiga hari bermula dari 22 hingga 24 Julai 2022 di Panggung Sari, JKKN Melaka. Beliau yang sememangnya dilihat unggul dalam industri seni kreatif dan telah menghasilkan lebih 50 teater mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai penerima Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan peruntukan tersebut dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Tujuan utama pementasan teater ini adalah untuk menyemarakkan seni persembahan pentas yang tergendala semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Gabungan produksi dan anak seni ini membantu penggiat industri seni kreatif memperoleh pendapatan selain memberikan peluang kepada masyarakat dalam memahami dan mendekati naskhah yang mengangkat martabat wanita dengan watak-watak yang dijelmakan dalam pementasan “Dara dan Mak cik Bawang”.

Teater “Dara dan Mak cik Bawang” yang sarat dengan mesej positif dan menghiburkan hati dibarisi oleh para pelakon handalan dan popular negara seperti seniwati Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Liza Abdullah, Dato’ Ziela Jalil dan Mak Wan. Kekuatan lakonan pentas ini turut dibantu oleh Deera Amin, Joyce Alau, Anis Eixora Amirhamzah dan Pavy Raj.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.