Oleh Mubarak Ismail
24 Julai 2022, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia yang berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2022 melabuhkan tirainya pada hari ini dengan Majlis Perasmian Penutupan Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Festival dengan matlamat untuk memartabatkan seni silat sebagai warisan dunia dan wasilah mengangkat serta mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa ini dianjurkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), DBP dan Silat Seni Asli Kebangsaan.

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia.

Menurut YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya, silat ialah satu wadah pembentukan gaya hidup yang sentiasa meniti di atas norma-norma sejagat, khususnya bertaut erat dengan adab dan budaya Melayu serta berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini. Selain itu, silat bukan sahaja mengajar mengenai seni mempertahankan diri, bahkan membina ketahanan dalaman diri, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah yang tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air.

Tambah beliau lagi, silat dapat menghindarkan para belia daripada sebarang aktiviti yang tidak sihat dengan melatih keperibadian yang tinggi dan mulia, berkeyakinan diri, berdisiplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat. Usaha sebegini seharusnya diteruskan dan dikekalkan bagi terus menyuntik semangat bukan sahaja kepada golongan dewasa, bahkan kepada golongan kanak-kanak.

Menurut Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dalam ucapan alu-aluannya, silat merupakan antara wadah yang berupaya mendisiplinkan anak bangsa dan mampu membina jati diri seseorang insan.

Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Presiden PESAKA.

Beliau turut berkata, Malaysia mesti mendidik dan melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri yang kuat dan sanggup berkorban jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Di samping itu, temasya kejuaraan silat dunia yang akan diadakan pada 26 hingga 31 Julai 2022 di Melaka bertujuan membawa dan menonjolkan imej silat di mata dunia.

“Jangan ingat seni silat hanya bermain dan beraksi di gelanggang-gelanggang desa, sebaliknya silat juga mampu beraksi dan bertarung di pentas antarabangsa setanding dengan pelbagai seni pertahanan diri yang lain,” kata Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan sambutannya pula menyatakan bahawa seni silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, bahkan merangkumi muzik, busana, senjata dan sebagainya. Tambahan lagi, para pesilat antarabangsa yang meminati silat akan mempelajari ilmu persilatan menggunakan bahasa Melayu dan hal ini secara tidak langsung menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP. 

“Seni silat haruslah dikekalkan dan diturunkan dari generasi ke generasi agar warisan ini terpelihara. Pelbagai program boleh dirancang untuk mengupas seni dan budaya silat di dalam dan di luar negara seperti penerbitan buku sama ada secara bercetak mahupun digital, bicara silat, dokumentari silat, karya filem berasaskan silat dan lain-lain yang bersesuaian menggunakan bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, DBP memerlukan sokongan dan kerjasama guru-guru silat dan pakar-pakar bidang persilatan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara atau organisasi yang berkaitan untuk merealisasikan hasrat tersebut,” ujar Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Dalam ucapan penutupan Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia ini,  YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menyatakan bahawa kini silat telah dibuka secara menyeluruh sebagai sukan berprestasi tinggi yang merentasi persempadanan bangsa dan agama. Justeru, silat sudah menjadi satu wadah pengukuhan perpaduan kaum dan memupuk serta memelihara keperibadian kebangsaan.

Harapan saya ialah penganjuran festival silat ini dapat melestarikan silat seni asli sebagai warisan tradisi dan budaya bangsa Melayu selain memperkenalkannya kepada generasi muda dan masyarakat umum serta menyebarluaskan keilmuan dan pengetahuan tentang budaya tradisi Melayu. Kami di pihak kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha pembangunan dan pembinaan bangsa dan kenegaraan agar dapat dikembangkan di semua peringkat awam mahupun swasta. Perkembangan silat melalui pelbagai kementerian dalam negara dapat menghasilkan juara-juara yang kemudiannya diserap bagi mewakili negeri atau negara.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Eksekutif Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PESILAT), Benny G. Sumarsono, Timbalan Presiden PESAKA, Dato’ Haji Md Sohaimi Mohamed Shah, Wakil Tetap PESAKA Malaysia di Eropah-Perancis, Auldron Le Guillou dan Pengarah Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia, Encik Ahmad Fahmi A. Domil.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!