Oleh IZZAT ISA
24 Julai 2022, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Majlis perasmian program Community Based Tourism Arca Dasar Laut di Pengkalan Kubang Badak, Langkawi telah berlangsung dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Kedah, Tuan Mohd Firdaus Ahmad, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Datuk Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad.

Majlis dimulakan dengan lawatan himpunan arca di perairan Pulau Pasir melalui kaedah selam skuba oleh tetamu kenamaan dan seterusnya disusuli acara menandatangani plak peringatan. Di Pengkalan Kubang Badak, majlis diteruskan dengan acara penyerahan sijil kepada artis yang terlibat dan dalam majlis yang sama turut berlangsung sesi penganugerahan sijil “Most Underwater Sculpture” oleh The Malaysia Books of Records, selain pameran model cetakan arca dan acara kenduri sekampung.

Pengunjung sedang menghayati pameran model cetakan arca.

Arca-arca ini dihasilkan dengan menggunakan bahan seperti besi dan simen. Antara artis yang terlibat menghasilkan arca-arca ini termasuklah Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Ahmad Fuad Osman, Mohammad Radzi Ismail, Umibaizurah Mahir @ Ismail, Mohd Al-Khuzairie Ali, Maxine Xie Xian Xin, Low Chee Peng, Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid, Abdul Mutalhalib Musa dan dibantu beberapa orang artisan termasuklah anak tempatan dari Langkawi.

Sebanyak 14 arca mengetengahkan tema mitos legenda dihasilkan di Pengkalan Kubang Badak dan dilabuhkan di Pulau Pasir dengan harapan dapat meningkatkan ekosistem dan kelestarian kehidupan marin, selain menjadi daya tarikan terbaharu produk pelancongan ke Pulau Langkawi. Penempatan arca ini diibaratkan sebagai galeri seni dalam air.

Program yang dianjurkan oleh MOTAC dan Balai Seni Negara ini mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA). Selain itu, program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak komuniti seperti penduduk kampung, nelayan dan penyelam skuba.

Pelbagai aktiviti menarik turut dijayakan bersama-sama para pemenang pertandingan Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21) yang telah diumumkan baru-baru ini sempena Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Balai Seni Negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!