Oleh Mubarak Ismail
26 Julai 2022, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Profesionalisme: Penjawat Awam Responsif Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan dan Pelancaran Kempen Membaca 2022 yang berlangsung pada 26 Julai 2022 (Selasa) di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur menjadi penanda aras dalam usaha mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang responsif dan berpaksikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Majlis perasmian ini dianjurkan oleh INTAN dan dirasmikan oleh Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

Menurut Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, seminar ini merupakan wadah untuk memperbaharui iktikad penjawat awam mengenai kewajipan memantapkan tahap profesionalisme bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam. Beliau turut menyeru semua penjawat awam agar sentiasa berpegang kepada sifat-sifat profesionalisme dalam setiap tindak-tanduk ataupun amalan seharian dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Tambah Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah lagi, untuk menjadi seorang penjawat awam yang mendukung sifat-sifat profesionalisme, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan kompetensi yang dikehendaki dalam meningkatkan kreativiti, inovasi dan produktiviti penyampaian perkhidmatan. Antara ciri-ciri profesionalisme yang perlu diberi penekanan oleh penjawat awam adalah kecerdasan intelektual, komunikasi berkesan, kematangan emosi, kekuatan spiritual dan kecergasan fizikal.

Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah turut berkata, isu yang berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan yang profesionalisme ini boleh dinilai dengan merujuk beberapa indikator. Indikator pertama dari segi aduan awam yang diterima. Indikator kedua pula berkaitan dengan isu-isu penyelewengan yang memberikan impak pada Indeks Persepsi Rasuah Malaysia. Indeks ini merujuk persepsi masyarakat terhadap isu rasuah dalam sektor awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah.

Cabaran masa ini dan masa hadapan sangat menuntut penjawat awam untuk memahami kehendak pelanggan yang semakin berpendidikan dan bermaklumat. Penjawat awam tidak boleh lari dari berhadapan dengan cabaran-cabaran sama ada dari dalam ataupun luar yang berpotensi  untuk  mengancam  kejayaan  dasar-dasar  dan  juga kedaulatan negara. Bagi menangani cabaran tersebut, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan. Justeru, mempunyai penjawat awam yang mantap dari segi profesionalisme dan mempunyai ilmu yang luas dan terkini menjadi keperluan utama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Profesionalisme dalam perkhidmatan awam mampu ditingkatkan dengan memperkasakan tiga komponen utama, iaitu:

  1. Pengukuhan Integriti dan Nilai Diri
  2. Memiliki Kompetensi yang Dinamik
  3. Mengamalkan Minda Kolaboratif (Collaborative Mindset)

Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah juga menyatakan bahawa matlamat utama penubuhan agensi-agensi awam adalah untuk memenuhi keperluan rakyat dan negara. Bagi mencapai objektif tersebut, sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi amat diperlukan supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan. Menerusi tahap integriti yang tinggi juga, sistem pentadbiran dan perkhidmatan awam yang cekap dan berdisiplin berteraskan penerapan nilai-nilai murni dapat diwujudkan. Justeru, untuk meneguhkan nilai integriti dalam perkhidmatan awam, aspek moral, tingkah laku dan pembuatan keputusan haruslah berpaksikan kepada nilai-nilai murni yang menyeluruh.

Di samping itu, setiap penjawat awam juga perlu mengamalkan budaya kerja yang profesional dan kawalan diri yang tinggi serta tidak membiarkan emosi negatif mempengaruhi dirinya dalam melaksanakan tugasan harian agar penyampaian perkhidmatan menjadi cekap dan efisien.

Set minda yang kolaboratif juga amat diperlukan merangkumi integrasi data maklumat serta perkongsian inisiatif dalam kalangan pihak yang berkepentingan. Perkongsian dan pengintegrasian ini boleh mengurangkan kos dan memberikan nilai tambah yang akhirnya membawa impak positif kepada kualiti dan prestasi penyampaian Perkhidmatan Awam Malaysia.

Beliau turut menyeru seluruh sektor awam untuk bersama-sama menggembleng pemikiran, usaha dan sumber bagi merealisasikan semua inisiatif berkenaan ke arah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat pada tahap yang terbaik.

Sebagai seorang penjawat awam, membaca seharusnya menjadi salah satu amalan penting yang tiada bernoktah dalam kehidupan. Melalui pembacaan, penjawat awam dapat mengetahui, memahami dan menghayati pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Hal ini dapat membentuk pemikiran penjawat awam yang kritis, memberikan kesan kepada keupayaan dalam membuat keputusan dan dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan awam dapat dibentuk sebagai “The Thinking Civil Service” yang sentiasa memberikan sumbangan kepada kerajaan dalam merangka dasar, strategi dan kaedah pelaksanaan terbaik yang dapat menyelesaikan isu rakyat dan negara dengan lebih berkesan.

Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Alauddin Sidal.

Manakala Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Alauddin Sidal dalam ucapan alu-aluannya pula berkata, penganjuran seminar ini adalah sebagai satu usaha ke arah memantapkan pemikiran, sikap, profesionalisme dan kompetensi penjawat awam supaya berkhidmat dengan lebih cekap dan berkesan. Pada masa yang sama, seminar ini menjadi platform bagi perkongsian input dan pandangan mengenai daya ikhtiar yang boleh dirancang dan dilaksanakan dalam usaha melahirkan penjawat awam yang responsif, proaktif, berprestasi hebat dan berintegriti tinggi bagi memenuhi kehendak perkhidmatan awam demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan, penjawat awam perlu lebih sensitif dalam melaksanakan amanah bagi memelihara kesejahteraan Keluarga Malaysia yang sedang bergelut dengan cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup. Rakyat mahukan penjawat awam yang responsif dan segera bertindak memudah cara dalam menyedia serta menyalurkan semua bantuan terhadap keperluan rakyat tanpa terbelenggu oleh sebarang kerenah birokrasi,” ujar Datuk Dr. Alauddin Sidal.

Jelas Datuk Dr. Alauddin Sidal lagi, amalan tadbir urus yang baik bagi setiap penjawat awam seperti jujur, amanah dan integriti mampu menzahirkan tindakan proaktif serta responsif. Justeru, penjawat awam akan dapat meneruskan momentum kecemerlangan melalui budaya kerja berprestasi tinggi dengan sentiasa peka dan segera bertindak demi memacu kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) INTAN, Puan Salinah Ismail dan Pengarah Aduan, Biro Pengaduan Awam, Encik Mohamed Faizal Buang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.