Oleh Nik Azman Nm
26 Julai 2022, 20:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Daerah Tumpat khususnya Bandar Tumpat merupakan sebuah kota warisan yang cukup berpotensi untuk dibangun dan dimajukan sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa untuk pembangunan sektor pelancongan negara pada masa akan datang.

Kelebihan Bandar Tumpat yang terletak di utara negeri Kelantan yang bersempadan dengan Selatan Thailand melalui Sungai Golok memiliki kedudukan geografi yang cukup jelas bagi menjamin kemajuan pada sektor pelancongan, khususnya dalam pembangunan warisan.

Bandar Tumpat juga merupakan sebuah jajahan yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan dengan memiliki banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Selain tempat peranginan, Bandar Tumpat juga mempunyai bangunan-bangunan yang berstatus warisan yang masih belum dikenali oleh para pelancong sama ada pelancong domestik atau pelancong dari luar negara.

Dari segi etnik, Tumpat memiliki pelbagai etnik. Etnik Melayu merupakan etnik terbesar dan diikuti oleh kaum Siam, Cina, India, Sikh, Kemboja dan lain-lain lagi. Selain Masjid Bandar, terdapat pelbagai rumah ibadat untuk penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Cina, Kristian dan Sikh di Tumpat yang masih digunakan sehingga kini oleh komuniti kaum ini.

Di samping itu, Bandar Tumpat pernah menjadi pelabuhan yang cukup penting pada suatu masa dahulu kerana lokasinya yang menghadap Laut China Selatan dan pernah menjadi destinasi persinggahan kapal dagang dari Eropah, India, China, Kemboja dan Jepun.

Di tengah-tengah Bandar Tumpat, terdapat stesen kereta api yang menghubungkan laluan darat ke seluruh Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura selain pengangkutan darat yang lain serta laluan sungai, yakni Sungai Kelantan hingga ke daerah Kelantan Selatan.

Antara tempat peranginan yang terdapat di Tumpat adalah Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting yang menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pada hari minggu dan sering juga diadakan pelbagai program persembahan seperti dikir barat, pesta wau, aktiviti sastera, ekspo dan pameran.

Di Bandar Tumpat, terdapat banyak bangunan-bangunan lama yang berstatus warisan seperti Rumah Dato’ Kaya Budi, bangunan stesen keretapi, Tapak Pelabuhan Tumpat, rumah api dan pengkalan pendaratan bijih Jepun. Rumah Dato’ Kaya Budi pula sedang dalam perancangan untuk dijadikan Muzium Pertanian Kelantan bagi memperkenalkan alatan tradisional pertanian dan kesenian yang digunakan oleh para petani Kelantan.

Projek pembangunan semula Kampung Laut sebagai kampung warisan yang berkonsepkan “muzium hidup” atau “living museum” pula membabitkan pembinaan Laman Warisan Seni, Kampung Laut yang bukan sahaja dibangunkan untuk tarikan pelancong, bahkan untuk memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjual makanan tradisional dan kraf tangan tempatan.

Bengkel menghasilkan peralatan seni dan kraf tangan oleh penggiat seni turut memberi kelebihan dan nilai tambah apabila pengunjung boleh menyaksikan penggiat seni menghasilkan hasil seni mereka selaras dengan konsep muzium hidup. Melalui pendekatan ini, para pengunjung yang berminat boleh membeli atau membuat tempahan sebagai cendera hati untuk dibawa pulang.

Pemindahan semula Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun, iaitu salah sebuah masjid tertua di Malaysia ke tapak asalnya ibarat sirih pulang ke gagang. Hal ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan nilai-nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid tersebut serta untuk menjadikannya sebagai sebuah mercu tanda warisan di Kelantan.

Di samping itu, pemindahan semula Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya sudah tentu dapat memelihara nilai sejarah, budaya dan seni bina yang diwarisi sebagai mercu tanda destinasi pelancongan baharu di Kelantan. Dunia akan terus memberi perhatian apabila Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan Kelantan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada warga tempatan.

Projek yang hampir siap ini termasuk dalam rancangan Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai kampung warisan di Tumpat yang sedang dalam proses pembinaan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Selain itu, pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang berjumlah RM250 juta dan dijadualkan siap pada penghujung November 2023 akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan pusat bandar Kota Bharu di samping menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Tumpat dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Jambatan ini dijangka dapat meningkatkan perhubungan penduduk setempat serta memudahkan pergerakan rakyat dan perdagangan rentas sempadan apabila siap kelak.

Daerah Tumpat juga terkenal dengan produk batik lukis yang terletak di Kampung Talak. Produk kraf tangan pula boleh didapati di Kampung Jal Kechik dan Kampung Gelang Mas. Manakala Kampung Periok, Kampung Berangan dan Kampung Bunohan pula terkenal dengan pembuatan alat-alat muzik tradisional.

Di samping itu, tarikan pelancongan yang berkonsepkan pertukangan berasaskan emas dan perak pula terdapat di Kampung Laut, Kampung Palekbang dan Wakaf Bharu. Pengeluaran makanan tradisional seperti serunding, dodol, gelembung buaya, kerepok, kerepek dan agar-agar kering juga boleh didapati di Kampung Laut.

Laman Warisan Seni, Kampung Laut, Tumpat.

Daerah Tumpat yang popular dengan pengeluaran hasil seni dan kraf tangan turut menyediakan ruang niaga seperti Laman Warisan Seni, Kampung Laut untuk memberi peluang kepada para usahawan tempatan mempamerkan serta menjual hasil seni dan kraf tangan tempatan. Justeru, mempromosi dan mengangkat nama produk tempatan.

Catatan sejarah membuktikan bahawa daerah Tumpat adalah sebuah daerah yang paling ramai melahirkan tokoh-tokoh serta penggiat seni budaya tempatan tanah air dalam pelbagai bidang. Tokoh Anugerah Seni Negara, Hamzah Awang Hamat (Tok Dalang Wayang Kulit) juga berasal dari Tumpat.

Selain itu, kumpulan wayang kulit dan dikir barat juga banyak terdapat di Tumpat di samping kumpulan dikir laba, tari inai, main puteri, mak yong, menora dan lain-lain. Boleh dikatakan bahawa separuh daripada penggerak seni budaya tempatan di Kelantan adalah berasal dari daerah Tumpat.

Di daerah Tumpat juga terdapat banyak pulau yang dihuni oleh masyarakat tempatan. Antaranya seperti Pulau Teluk Ranjuna, Pulau Berluru, Pulau Seratus, Pulau Besar, Pulau Gorek, Pulau Tongkang, Pulau Kuda, Pulau Tahir, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Pak Ali, Pulau Gagak dan Pulau Cendur. Manakala di Pulau Suri pula terdapat pasar terapung yang menjual pelbagai makanan tradisional rakyat Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.