29 Julai 2022, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Gelanggang Silat Seni Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar, PPR Seri Alam, Sungai Besi telah berlangsung ujian kenaikan tahap tali pinggang bagi pesilat yang telah lulus ujian.

Menurut Haryatee Mohd Yusoff, Setiausaha Pertubuhan Silat Seni Gayong Serantau Cawangan Bangsar, gelanggang ini diwujudkan hasil daripada usaha penduduk yang menyedari keperluan kewujudan gelanggang silat seperti ini agar ilmu seni bela diri silat gayong dapat diajar dan diwariskan kepada lebih ramai orang. “Ilmu silat ini adalah suatu ilmu yang harus kita wariskan kepada generasi Keluarga Malaysia,” ujar Haryatee Mohd Yusoff.

Pengasas gelanggang Gelanggang Silat Silat Seni Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar, iaitu Cikgu Mat Tahir Jasmani yang berusia 74 tahun menyifatkan usaha melestarikan silat seni gayong oleh anak-anak para pesilat gayong tidak kira walau di mana sahaja mereka berada haruslah konsisten dilakukan agar silat seni gayong ini akan berkekalan buat selama-lamanya.

Barisan pesilat Silat Seni Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar.

Cikgu Mat Tahir Jasmani turut menjelaskan bahawa seni silat ini merupakan tanda jati diri yang mesti ada dalam diri semua orang dan setiap pelajar ilmu silat walau berbeza aliran sekalipun mestilah bersungguh-sungguh dengan tekad yang tinggi untuk mempelajari serta menguasai ilmu silat yang dipelajari.

Cikgu Mat Tahir Jasmani turut berkata, sejak Gelanggang Silat Seni Silat Gayong Malaysia Singa Berantai Cawangan Bangsar diasaskan pada tahun 2014, terdapat lebih 150 orang pesilat gayong yang telah mewarisi silat seni gayong ini. Manakala seramai 30 orang anak pesilat gayong telah menghadiri rutin sesi Latihan silat. Turut melatih silat seni gayong di gelanggang ini ialah Cikgu Muhammad Fairuz Sanudin.

Antara yang menarik perhatian dan mencuit hati adalah aksi keberanian 10 orang anak cilik yang berusia antara tujuh hingga sebelas tahun yang menuntut ilmu silat seni gayong serta fokus memberikan tumpuan sewaktu sesi latihan silat sedang berlangsung.

Adik Amar Hariz Daniel yang berusia lapan tahun berkata, beliau berasa amat bertuah kerana dapat mempelajari silat seni gayong dan bercita-cita untuk menjadi pesilat yang agung dan berani. Manakala Muhammad Adam Daniel yang berusia 16 tahun pula menyatakan bahawa dengan mempelajari seni silat, khususnya silat seni gayong, remaja akan menjadi insan yang berdisiplin dan menghargai setiap ruang dan waktu yang ada dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah.

Pada malam Latihan tersebut turut berlangsung ujian kenaikan tahap bengkong dan turut hadir meraikan para pesilat silat seni gayong yang menghadiri sesi latihan tersebut ialah Cikgu Nor Azman Mokhtar, Ustaz Mazlan Harun dan Cikgu Abdul Hadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.