29 Julai 2022, 22:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Merbok – Bersempena dengan program “Wacana Karya Agung Melayu Hikayat Merong Mahawangsa”, satu lawatan sejarah menyusuri Sungai Merbok, Kedah telah diadakan pada 28 Julai 2022. Lawatan yang disertai oleh staf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ahli Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) turut melibatkan pembentang kertas kerja wacana yang telah berlangsung pada sebelah pagi.

Lawatan bermula di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok yang turut menempatkan beberapa kemudahan lain seperti Jeti Semeling, Galeri Produk Jerai Geopark, Pusat Interpretasi Pelancongan Kuala Muda, restoran dan surau. Peserta dibawa mengenali sejarah dan keindahan daerah Kuala Muda khususnya Sungai Merbok di Galeri Produk Jerai Geopark. Galeri ini dibahagikan kepada tiga galeri kecil yang lain, iaitu Galeri Kedah Tua, Galeri Geopark Jerai dan Galeri Biodiversiti Merbok.

Peserta boleh menghayati kegemilangan Kerajaan Kedah Tua yang dianggarkan mula berkuasa sejak kurun ke-6 SM di Galeri Kedah Tua. Catatan sejarah ini dipamerkan dalam infografik yang menarik bagi memudahkan pemahaman pembaca. Turut dipamerkan pelbagai artifak seperti tuyure yang digunakan dalam proses peleburan besi.

Infografik mengenai sejarah Sungai Merbok mengikut zaman.

Galeri Geopark Jerai pula memaparkan informasi mengenai geologi Jerai dan usaha yang telah dilakukan bagi menjadikan Jerai Geopark sebagai satu daripada taman geologi utama di Malaysia. Peserta atau pengunjung yang melawat Galeri Biodiversiti Merbok pula boleh melihat kepelbagaian flora dan fauna terutamanya aneka spesies pokok bakau. Kepentingan bakau terhadap alam sekitar juga ada dipaparkan di sini.

Peserta mula menaiki bot di Jeti Semeling untuk menyusuri ke arah hulu Sungai Merbok. Pemandu pelancong, iaitu Puan Rosini atau lebih mesra dipanggil Mak Su memberi penerangan tentang sejarah Sungai Merbok yang pernah menjadi penempatan dan laluan utama untuk tujuan perdagangan suatu ketika dahulu. Antara perkara yang menarik adalah kisah kewujudan sebuah istana terapung yang dikatakan pernah berdiri megah di sekitar kawasan Pulau Tiga yang berada di situ. Kewujudan istana ini juga turut terakam dalam catatan seorang mubaligh ke kawasan ini.

Sejarah Sungai Merbok juga banyak diceritakan dalam karya-karya agung negeri Kedah seperti Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Merong Mahawangsa. Selain itu, Mak Su juga menerangkan tentang spesies bakau serta spesies helang seperti helang siput dan helang merah yang terdapat di sepanjang Sungai Merbok.

Penerangan mengenai spesies tiram yang terdapat di Pelantar Paksu Wan Tiram.

Lawatan berakhir di Pelantar Paksu Wan Tiram yang terdapat sangkar untuk menternak tiram. Peserta juga diberi taklimat tentang spesies tiram yang diternak di sini selain mendapat peluang untuk merasai sendiri kesegaran tiram yang diambil terus dari sangkar.

Hasil daripada lawatan ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan peserta mengenai sejarah dan biodiversiti Sungai Merbok, malah memberi semangat baharu untuk terus menggali kisah sejarah yang terbenam di dasarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.