Oleh Lutfi Zahid
30 Julai 2022, 08:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang BesarPada bulan Mac 2022 yang lalu, “BalBuk Haus” telah dipetakan sebagai salah satu ruang ekosistem seni dalam Jelajah Pemetaan Seni Malaysia bagi Negeri Perlis. “BalBuk Haus” bukan sekadar ruang personal, tetapi merupakan platform kepada kempen kesedaran alam, seni dan budaya untuk meraikannya bersama-sama.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Ahmad Soffi Abdul Manah, atau nama penanya Arafat Hambali, ketika menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan melawati Kampung Balik Bukit, Chuping ketika mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke 51 bagi tahun 2022 di sekitar baru-baru ini.

“BalBuk Haus” yang mula beroperasi ada penghujung tahun 2019 merupakan ruang pengkaryaan sambil menikmati makanan sambil ditemani bunyi unggas dan panorama sawah padi. Pada pertengahan tahun 2022, “Balbuk Haus” mula beroperasi sebagai sebuah kafe kecil dengan mengekalkan menu utamanya, iaitu Nasi Lalap dan beberapa kuih tradisional, seperti buah melaka, tepung talam dan sebagainya.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa melihat Warong Chaq yang diusahakan oleh Abd Razak Kasim. Warung tersebut  beroperasi sejak 20 Jun 2022 pada hari sabtu hingga rabu dari jam 7 hingga 11 pagi dan tutup pada khamis dan jumaat. Antara menu sarapan pagi – semuanya dibuat sendiri oleh ahli keluarga beliau – termasuklah nasi lemak, pulut kuning, gulai ayam, cucur dan kuih-muih.

Baginda turut meninjau “BBC Campsite” di Lorong Haji Mahmud sekitar kawasan yang sama dan disambut oleh pemiliknya Khairul Fadzli Rosli. Kawasan campsite yang dapat memuatkan hingga 40 orang pada satu-satu masa dengan menyediakan 15 khemah ini berlatarbelakangkan pemandangan indah bukit dan sawah padi. Harga sewaan tapak adalah sebanyak RM80 untuk keseluruhan tapak, termasuk penggunaan tandas, eletrik, air dan juga tempat barbeku.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Abdul Saman di Kampung Kubang Perun, Nanyan Isa di Kampung Chelong dan Adam Ali juga di Kampung Chelong yang menerima RM700 setiap seorang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.