Oleh Mubarak Ismail
31 Julai 2022, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Palah – “Pertandingan nazam bukan hanya bertujuan untuk mencungkil bakat dalam kalangan peserta, bahkan turut menyumbang dalam membina jati diri dan disiplin generasi muda,” ujar Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka mewakili Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Nazam Sempena Sambutan Maal Hijrah dan Ekspo Tamadun Islam Peringkat Negeri Melaka Tahun 1444H / 2022M di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka.

Menurut Datuk Muhammad Jailani Khamis, pertandingan nazam juga mampu menarik minat orang ramai terutamanya generasi muda untuk bersama-sama menghayati warisan seni Melayu yang kini semakin kurang mendapat tempat dan perhatian dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Datuk Muhammad Jailani Khamis turut menyatakan bahawa seramai 653 peserta menyertai pertandingan nazam ini. Mereka terdiri daripada 16 kumpulan pelajar sekolah rendah, 19 kumpulan pelajar sekolah menengah dan sembilan kumpulan bagi kategori terbuka.

Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka berucap mewakili Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka.

“Nazam sentiasa dikaitkan dengan agama Islam dan bangsa Melayu khususnya di Melaka. Saya khuatir pada era ini kita alpa untuk memelihara adat, budaya dan tradisi Melayu ini, maka warisan ini akan mati atau ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja. Justeru, saya berharap agar pertandingan nazam seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan kerajaan negeri Melaka akan memberi peruntukan hadiah yang lebih besar dan lumayan pada pertandingan nazam tahun depan,” kata Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Johan Pertandingan Nazam Negeri Melaka bagi kategori terbuka dimenangi kumpulan Sabiq Abrar. Manakala johan bagi kategori sekolah menengah milik kumpulan Zahratul Iman dan johan bagi kategori sekolah rendah pula dimenangi kumpulan Ikhwanunnajah.

Johan bagi kategori terbuka menerima wang tunai RM5000, plak beserta sijil penghargaan, disusuli johan kategori sekolah menengah membawa pulang wang tunai RM3500, plak beserta sijil penghargaan. Manakala johan bagi kategori sekolah rendah pula menerima wang tunai RM2500, plak beserta sijil penghargaan.

Turut hadir sama memeriahkan majlis ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.