4 Ogos 2022, 23:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 (LIFBC 2022) yang bakal berlangsung pada 16 hingga 18 September 2022 mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Lebih 1500 peserta dijangka menyertai LIFBC 2022 yang melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara merangkumi Thailand, Indonesia dan Singapura,” kata Zainudin Kadir semasa berucap dalam majlis sidang media dan pelancaran program anjuran LTA, Kumpulan Megaklinik Zahran, Tourism Malaysia, Cuti-Cuti Malaysia, dan Kerajaan Negeri Kedah di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.

Tambah Zainudin Kadir, sambutan hangat peserta tempatan dan antarabangsa membuktikan bahawa aktiviti basikal lipat berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi selepas lebih dua tahun sektor pelancongan lumpuh akibat wabak pandemik COVID-19.

“LIFBC 2022 akan diisi dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti Tunggang Ceria 30 Kilometer, Daya Tahan 65 Kilometer serta pelbagai pameran dan jualan. Hadiah bernilai lebih RM35 000 dan pelbagai hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta di samping setiap peserta akan diberikan jersi eksklusif LIFBC, pingat LIFBC, sijil penyertaan dan beg cenderahati,” jelas Zainudin Kadir.

Selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik, peserta juga berpeluang menghayati keindahan destinasi pelancongan popular di sepanjang laluan LIFBC 2022 diadakan seperti di Pantai Cenang dan di sekitarnya.

Dalam ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Dato’ Mohd. Nafidz Abdul Razak, beliau mengakui bahawa Pulau Langkawi memiliki banyak keistimewaan yang boleh dinikmati, selain sesuai dijadikan tempat untuk menjayakan hasrat projek pelancongan perubatan.

Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.

Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya pula menyatakan keterujaannya dengan penganjuran LIFBC 2022. Justeru, beliau sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Langkawi walaupun baharu pulang daripada mengerjakan ibadat haji.

“Saya yakin masih banyak sudut dan bahagian di Pulau Langkawi yang boleh dimanfaatkan dalam usaha membina semula sektor pelancongan selepas penularan pandemik COVID-19, sekali gus memajukan ekonomi negara. Saya juga turut berasa bangga kerana LIFBC 2022 dianjurkan oleh anak tempatan,” kata Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya yang diberikan penghormatan melancarkan LIFBC 2022.

Selain LIFBC 2022, beberapa buah lagi acara pelancongan bertaraf antarabangsa akan turut mengisi kalendar pelancongan Langkawi sehingga penghujung tahun 2022. Antaranya termasuklah Pertunjukan Kereta Klasik Antarabangsa Langkawi 2022 yang berlangsung pada 9 hingga 11 Disember dan Blues Rock Antarabangsa Langkawi ASEANA 2022 (LIBRA 22) yang berlangsung pada 17 hingga 19 Disember 2022.

Turut hadir pada majlis sidang media dan pelancaran LIFBC 2022 ialah Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Datuk Azlie Halim dan penyanyi kumpulan Blues Gang, Mohd Arif Kendut (Ito Mohd).

Kepada sesiapa yang berminat mahu menyertai LIFBC 2022, pendaftaran untuk penyertaan masih dibuka lagi. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi talian 019 5553 716 atau 019 2883 716.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.