Oleh Syaridzat Yahya
5 Ogos 2022, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Van terletak di tenggara Turkiye, iaitu bahagian paling timur yang bersempadan dengan Republik Iran. Kota ini adalah kota purba yang pernah menjadi sebahagian daripada tamadun awal Mesopotamia. Menurut dapatan sejarah, kota Van mula diduduki sekitar tiga ribu tahun sebelum Masihi, iaitu sekitar tahun 900 Sebelum Masihi. Kaum Urartian merupakan kaum pertama yang mula membangunkan ibu kota di Van yang dikenali sebagai Tushpa. Pada zaman itu, kota Van dikenal sebagai Biana dan sejak ribuan tahun dahulu, kota Van telah diduduki dan ditadbir oleh pelbagai tamadun dan kerajaan. Kini Van berkembang menjadi kota yang maju dan pesat membangun.

Penulis tiba di Van dari kota kecil yang bernama Khoy yang terletak di sebelah Iran. Perjalanan menaiki dolmush sejauh 75 kilometer hingga ke pintu sempadan Turkiye yang bernama Kapikoy. Perjalanan yang Panjang terasa singkat kerana disajikan dengan pelbagai pemandangan luar bandar, kawasan pertanian dan bukit-bukau. Buat makluman pembaca, dolmush merupakan sebuah van yang besar dan boleh memuatkan sehingga tiga belas orang penumpang. Dolmush kurang ditemui di Asia, namun kenderaan ini mudah dilihat dan diakses di negara-negara Eropah.

Kompleks kastam dan imigresen Kapikoy menyambut kunjungan penulis ke Turkiye dengan penuh santun dan susila. Pemeriksaan kastam lancar walaupun pasport penulis perlu diperiksa berulang-ulang kali. Hal ini untuk memastikan tiada kes pemalsuan pasport antarabangsa yang banyak berlaku di Asia. Perjalanan diteruskan ke kota Van yang sejauh seratus kilometer sahaja lagi. Pemandangan di sekitar bertukar dari bukit bukau kepada dataran lapang. Penulis menyaksikan terdapat banyak kawasan perkebunan, desa-desa, pekan kecil dan dataran tanah berbatuan yang tandus.

Dolmush yang membawa penulis berhenti di pusat kota Van, iaitu berhampiran sebuah kafe dan kedai foto. Seterusnya, penulis berjalan kaki kira-kira lapan minit menuju ke hotel penginapan. Dari segi populasi, majoriti penduduk Van adalah berbangsa Kurdish dan penganut agama Islam beraliran Sunni. Bangsa Kurdish merupakan kaum minoriti yang terbesar di Turkiye dan telah sekian lama mereka memperjuangkan hak pribumi dan kuasa autonomi. Penulis bercadang mahu singgah di kota ini untuk beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan ke kota Dogubeyazit di utara.

Baka kucing Turkish Van.

Bagi pencinta kucing, baka kucing Turkish Van sudah tidak asing lagi. Baka kucing yang eksotik ini sememangnya mempunyai ramai peminat dan juga dikenali dengan nama “Kucing Van”. Menurut sejarah, baka kucing ini berasal dari kota Van dan pada masa ini, kucing spesies Turkish Van mudah didapati di seluruh dunia.

Ciri-ciri fizikal yang menyerlah dan ketara pada kucing ini adalah mempunyai sepasang mata yang berlainan warna, iaitu biru dan kuning. Kebanyakan kucing spesies Turkish Van berbulu putih gebu dan hujung ekornya berbulu kembang. Ada juga kucing daripada spesies ini yang berbulu putih bercampur coklat cerah. Populariti kucing spesies Turkish Van setaraf dengan kucing-kucing eksotik yang lain seperti Persian, Siamese, Angora, Maine Coon dan British Shorthair.

Van Kale atau Van Fortress pula merupakan lokasi yang wajib dilawati apabila berkunjung ke kota Van. Lokasinya berhampiran dengan Tasik Van. Van Kale adalah sebuah kubu pertahanan yang melindungi penduduk tempatan daripada serangan musuh dan penjajah. Menurut sejarah, kubu ini mula dibina oleh kaum Urartian pada tahun 830 Sebelum Masihi.

Kubu pertahanan Van Kale.

Pada era pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah, sebuah masjid telah didirikan di dalam kubu Van Kale bagi tujuan kemudahan untuk beribadat. Penulis mendapati saiz kubu tersebut sangat besar, kukuh dan lokasinya juga amat strategik. Sebahagian kecil kubu tersebut telah rosak akibat kesan peperangan dan bencana gempa bumi. Gempa bumi sudah menjadi fenomena yang biasa berlaku di Turki kerana negara tersebut terletak dalam kawasan aktif gempa bumi.

Tasik Van pula merupakan tasik yang terbesar di Turki. Tasik Van yang berkeluasan 3755 kilometer persegi tersebut boleh dilihat dari angkasa lepas kerana saiznya yang sangat luas. Pada tahun 2017, sekumpulan penyelam telah menemukan sebuah istana purba di dasar Tasik Van. Dipercayai istana purba yang diperbuat daripada batu tersebut berusia tiga ribu tahun dan merupakan antara binaan tinggalan kerajaan Urartian. Di tebing Tasik Van juga terdapat tinggalan-tinggalan sejarah seperti runtuhan istana, masjid, kuil dan gereja tinggalan kerajaan Medes, Saljuk, Parsi, Uthmaniyah dan Armenia.

Suasana masyarakat di kota Van.

Penulis mengambil kesempatan bersiar-siar di kota purba ini. Di pusat bandar, penulis singgah sebentar di pejabat informasi pelancongan untuk mendapatkan serba sedikit maklumat tentang kota ini. Penulis juga membawa pulang beberapa brosur, peta dan risalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Kemudian penulis mengisi perut di restoran Burger King yang terletak berdekatan pejabat informasi pelancongan tersebut. Harga makanan dan minuman agak murah, iaitu 14 Lira (RM5) untuk dua burger, satu pek kentang goreng dan segelas air kordial oren. Pada keesokan hari, penulis mencuba pula makanan tradisional masyarakat Turki seperti sup Chorba, roti piza, baklava, kebab, manisan dan minuman Chai (Teh O Turki). Pada pandangan penulis, kota Van adalah kota yang makmur, murah dan tenang mungkin kerana lokasinya yang agak terpencil dan jauh dari kota-kota besar seperti Istanbul, Ankara mahupun Tehran. Allaha Usmarladuk…

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.