8 Ogos 2022, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Program Magic of The Night (MOTN) 2022 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka berlangsung selama tiga hari, bermula dari 5 Ogos hingga 7 Ogos 2022 di Dataran Sungai Melaka, Melaka.

MOTN 2022 merupakan satu daripada inisiatif MOTAC untuk menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Melaka terutamanya kepada para penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan. Pemilihan Melaka sebagai MOTN 2022 kerana negeri ini sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta adat yang bersesuaian ditonjolkan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam bersama dengan Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menyempurnakan perasmian acara kemuncak MOTN 2022.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali ketika menyampaikan ucapan.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, program MOTN 2022 dapat memberi impak yang besar dalam menyerlahkan seni dan budaya Keluarga Malaysia. Selain itu, program MOTN 2022 bukan sahaja dapat menghangatkan kembali pelaksanaan aktiviti secara fizikal, malah turut merancakkan kembali perkembangan ekonomi dan industri pelancongan di negeri Melaka.

Tambah beliau lagi, MOTN 2022 juga turut mempromosikan industri seni dan budaya tempatan dan kepelbagaian kaum sebagai satu produk pelancongan yang boleh diangkat dan dimartabatkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Festival seumpama ini dapat memberi impak kepada sektor pelancongan negara khususnya negeri Melaka yang dapat menarik lebih ramai pelancong merangkumi dalam mahupun luar negara. Di samping itu, MOTN 2022 yang mengaktifkan semula persembahan seni budaya tempatan juga dapat mengembalikan kemeriahan warna warni Keluarga Malaysia,” ujar Timbalan Menteri MOTAC, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Santhara J.P dalam ucapan alu-aluannya.

Pelbagai pengisian menarik boleh dinikmati oleh para pengunjung yang datang memeriahkan MOTN 2022 sepanjang tiga hari program berlangsung. Antaranya termasuklah program Tourism Career Fair, Festival Kota Selatan, Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka & Pelancaran Buku Warisan Orang Hidup (WAKOH), Magical Melaka Food & Fruit Fest, perarakan bot berhias dan lain-lain lagi.

Festival Kota Selatan mempamerkan keunikan tiga buah negeri di selatan tanah air, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang melibatkan persembahan kebudayaan seperti teaterikal silat, joget, zapin dan lain-lain.

Tourism Career Fair pula merupakan satu daripada langkah proaktif yang dilaksanakan MOTAC untuk membantu para penggiat industri pelancongan yang mengalami isu kekurangan pekerja akibat kesan pandemik COVID-19.

Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka & Pelancaran Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) pula diadakan untuk mempromosi Galeri Warisan Kota Melaka sebagai produk pelancongan baharu dan pusat rujukan di negeri Melaka.

Manakala Magical Melaka Food & Fruit Fest pula memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai makanan tradisi serta produk makanan yang terdapat di Melaka. Pelbagai aneka juadah makanan disajikan, demonstrasi melibatkan pelbagai jenis masakan serta pameran replika durian terbesar di Malaysia turut berlangsung untuk direkod dalam Malaysia Guinness Book of Record.

Kemuncak MOTN 2022 adalah Malam Gala Magic of The Night 2022 dengan tema “Maddana di Bumi Bertuah” yang diadakan pada 6 Ogos 2022 bermula pukul 8.30 malam. Yang paling menarik pada acara Malam Gala Magic of The Night 2022 adalah persembahan dan perasmian yang diadakan di atas pentas terapung yang dibina oleh MOTAC di Dataran Sungai Melaka. Acara Malam Gala Magic of The Night 2022 boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook MOTAC.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.