12 Ogos 2022, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Pameran dan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu (PAMM) 2022 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 Ogos 2022.

PAMM 2022 yang dengan tema “Manuskrip Perundangan Melayu: Korpus Warisan Tempatan dan Dunia” adalah antara usaha pemartabatan dan pelestarian dokumen bertulis warisan bangsa Melayu dalam bidang undang-undang, yakni manuskrip Hukum Kanun Melaka (MSS 23) koleksi PNM.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari dibahagi kepada lapan sesi pembentangan yang melibatkan 23 pembentang dari dalam dan luar negara. Antara pembentang yang terlibat ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu, Universiti Teknolgi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr. Ibrahim Haji Bakar.

Persidangan tersebut yang merupakan antara program utama PNM dirasmikan oleh Timbalan Menteri MOTAC, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar pada 9 Ogos lalu. Menurut beliau, PAMM 2022 bertepatan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menerusi pemuliharaan warisan dan budaya.

Datuk Seri Dr. Santhara Kumar menyampaikan ucapan pada majlis perasmian persidangan.

“Daerah Muallim tempat diasaskan UPSI dilihat berpotensi untuk dijadikan bandar pelancongan pendidikan. Selain itu, pemilihan menganjurkan PAMM 2022 pada bulan kemerdekaan bersempena menyambut hari kemerdekaan negara dengan semangat kemerdekaan yang dibina selama 65 tahun berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan amat tepat dan sesuai,” ujar Datuk Seri Dr. Santhara J.P dalam ucapannya sewaktu majlis perasmian persidangan.

Menurut Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, persidangan bertemakan “Manuskrip Perundangan Melayu: Korpus Warisan Tempatan dan Dunia” turut berperanan menggalakkan Keluarga Malaysia terutama golongan muda supaya menghargai manuskrip sebagai manifestasi kearifan ilmuwan Melayu Islam selain platform para penyelidik dari seluruh dunia berwacana dan menjalin kerjasama strategik.

Tambah Datuk Seri Dr. Santhara Kumar, persidangan ini memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat untuk menarik golongan muda supaya menghargai manuskrip Melayu sebagai antara manifestasi kearifan tempatan dan jati diri bangsa Melayu serta memberi impak yang lebih besar pada peringkat global selain berfungsi melaksanakan perolehan, pendokumentasian, pemeliharaan dan penggunaan manuskrip Melayu.

Datuk Seri Dr. Santhara Kumar sewaktu merasmikan PAMM 2022.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah PNM, Salasiah Abdul Wahab dan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff. Siaran majlis perasmian dan setiap sesi pembentangan sepanjang berlangsungnya PAMM 2022 turut boleh ditonton melalui platform Youtube PNM, https://www.youtube.com/watch?v=oT1kiDD3Nz4

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.