Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNilai – Menulis artikel untuk majalah sering kali dikatakan sukar dan mengambil masa yang lama oleh kebanyakan penulis, namun cabaran itu dapat diatasi menerusi program pendedahan yang dijalankan untuk penulis yang berminat.
Editor majalah Dewan Budaya, Muhammad Lutfi Zahid, menyatakan bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi ruang dan peluang yang ada, serta kaedah dan teknik penulisan yang berkesan dalam penerbitan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya Dewan Budaya.
“Saya melihat usaha yang dilakukan oleh USIM Writers’ Pool (UWP) ini mampu meningkatkan jumlah penulis yang berani mencuba menulis artikel untuk majalah, serta berkongsi informasi atau pandangan dengan lebih mendalam,” ujarnya dalam program “Bicara Editor: Ayuh Menulis Majalah” bersama-sama editor majalah Dewan Budaya yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.
“Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan artikel untuk majalah sifatnya lebih mendalam, kritis dan memerlukan perbincangan yang terperinci tentang tajuk yang dikemukakan,” tambah beliau.
Dalam sesi itu, beliau turut memperkenalkan ruangan dalam majalah Dewan Budaya yang terbit secara bercetak dan peluang menyumbang penulisan dalam portal JendelaDBP yang merupakan laman sesawang penulisan, serta sagu hati yang diterima penulis.
“Memang banyak sebab seseorang itu menulis, dan antaranya termasuklah ganjaran honorarium. Bagi saya itu tidak salah seandainya dapat meningkatkan motivasi menulis. Hasilnya tetap dapat dikongsi dengan lebih ramai pembaca dan memanfaatkan pembaca,” tambah Muhammad Lutfi lagi sambil menjelaskan kadar honorarium penerbitan berita untuk JendelaDBP ialah RM50, manakala RM200 bagi rencana ,dan kadar lebih tinggi bagi penerbitan dalam bentuk bercetak.
Ruangan yang terbuka kepada para penulis untuk menyumbang makalah dalam majalah Dewan Budaya versi bercetak pula antaranya termasuklah Sekeliling Kita, Susur Budaya, Lensa, Layar, Tradisi dan Warisan. Mengulas tentang cabaran menembusi penerbitan makalah dalam majalah terbitan DBP, Muhammad Lutfi menyatakan bahawa menulis untuk majalah Dewan Budaya sebenarnya tidaklah sukar seperti yang disangka oleh kebanyakan penulis.
“Menulis untuk Dewan Budaya sebenarnya lebih santai dan cakupan kandungannya meliputi hampir segala aspek kehidupan. Jadi, jangan takut untuk cuba menulis dan menghantar karya kepada editor,” ujar beliau.
Menurut Dr. Siti Suriani Othman, pengasas dan Presiden UWP dalam ucapan alu-aluannya, program Bicara Editor yang merupakan program pertama UWP yang dijalankan secara fizikal pada tahun ini bukanlah bertujuan mengajar ahli UWP cara menulis secara terperinci, tetapi sebagai salah satu usaha pendedahan dari segi ruang yang ada, serta mendapat motivasi dan mengetahui peluang untuk menulis dalam majalah tersohor di negara ini.
UWP merupakan pertubuhan yang mengumpulkan penulis dalam kalangan pensyarah, staf dan pelajar USIM yang ditubuhkan pada tahun 2017 dengan tujuan mendemokrasikan pengetahuan menerusi penulisan pelbagai genre dan mula menerima keahlian dari seluruh negara sejak tahun 2018.
Setiap tahun, lebih 10 program penulisan dijalankan yang merangkumi genre penulisan akademik, penulisan kreatif dan pengkaryaan sastera, serta telah menerbitkan tiga buah buku antologi puisi, kisah hidup dan pantun dengan kerjasama Penerbit USIM. Mereka yang berminat menjadi ahli boleh menghubungi Dr Zalika Adam melalui e-mel [email protected].