Oleh Lutfi Zahid
3 Oktober 2022, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Bersempena dengan penganjuran Festival Ghazal Malaysia 2022 pada 1 hingga 2 Oktober 2022 yang lalu, telah berlangsungnya program Bual Bicara Ghazal Malaysia yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Program tersebut membincangkan perkembangan ghazal pada masa ini sebagai warisan seni persembahan muzik Melayu tradisional dan pembentukan genre “Ghazal Malaysia”.

Panel yang terlibat dalam program tersebut ialah Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang merangkap Pengerusi Festival Ghazal Malaysia 2022 dan Mohd Rozaidy Shukry, Naib Pengerusi Persatuan Ghazal Johor Malaysia. Program bual bicara ini dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. A. S. Hardy Shafii sebagai moderator. Program bual bicara yang berlangsung selama dua jam itu dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu membicarakan tentang Ghazal Parti, seterusnya pengenalan Ghazal Johor Malaysia, dan akhir sekali sesi soal jawab.

Menurut Dato’ Dr. Sohaimi, pada realitinya, ghazal sememangnya wajar dikaitkan sebagai seni muzik yang lama, memandangkan seni muzik tradisional ini memiliki sejarah yang cukup lama. Ghazal dipercayai wujud pada tahun ketujuh Masihi yang berasal dari Timur Tengah, seterusnya berkembang ke Iran dan Asia Selatan disebabkan oleh aktiviti perdagangan dan penaklukan.

“Ghazal yang asal ialah ‘puisi nasib’, iaitu puisi tentang kesedihan. Hal ini disebabkan oleh orang Arab pada waktu dahulu sering mengembara dan perlu meninggalkan keluarga dalam tempoh yang lama. Puisi ini bertujuan untuk mengenang orang yang ditinggalkan,” kata Dato’ Dr. Sohaimi.

Tambah beliau, setibanya ghazal di Tanah Melayu, bentuk muziknya berpecah kepada dua aliran, iaitu di Selatan Semenanjung yang mendapat pengaruh dari India, dan di Utara yang mendapat pengaruh dari Timur Tengah. Ghazal di Utara Semenanjung kemudiannya berevolusi dengan melibatkan himpunan pemuzik, penari, pelawak, penyanyi dan penonton di atas pentas sehingga akhirnya dikenali sebagai Ghazal Parti.

“Ghazal Parti yang dahulunya sangat terkenal di Pulau Pinang, kini semakin malap disebabkan oleh tiada mekanisme untuk mempertahankannya. Kepudaran ini disebabkan oleh ketiadaan pelapis dan dana untuk mempromosikannya. Hal ini berbeza pula dengan Ghazal Melayu Johor yang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, dan membuatkannya lebih menonjol berbanding dengan Ghazal Parti,” kata Dato’ Dr. Sohaimi.

Mohd Rozaidy, yang juga merupakan penggiat Ghazal Melayu Johor, berasa bersyukur kerana terdapat banyak sokongan, terutamanya daripada pihak Istana Johor, dalam setiap kegiatan ghazal di negeri itu. Hal ini secara tidak langsung menjadikan Ghazal Melayu Johor kekal diingati dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat di Johor.

“Para pembesar Johor terdahulu mewajibkan orang kampung untuk belajar dan bermain ghazal. Bahkan, sejak tahun 1940-an, pertandingan ghazal sering diadakan untuk mencungkil bakat baharu. Ghazal Melayu Johor juga memiliki silibus yang dicipta oleh Pak Lomak. Namun begitu, pada tahun 1960-an, Ghazal Melayu Johor mengalami zaman kejatuhan apabila semakin dilupakan, sebelum diselamatkan oleh Yayasan Warisan Johor,” kata Mohd Rozaidy.

Kira-kira 50 orang tetamu yang hadir menyaksikan program Bual Bicara Festival Malaysia yang terdiri daripada para penggiat ghazal, penyelidik, ahli akademi dan pelajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.