Oleh Lutfi Zahid
31 Oktober 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, Kementerian Perpaduan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memeterai ikatan kerjasama melalui Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP yang berlangsung pada 31 Oktober 2022.

Dato’ Hajah Norison Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP.

Majlis MoU yang berlangsung di Aras 31, Sanggar Tun Sri Lanang, DBP itu disempurnakan oleh Dato’ Hajah Norison Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang mewakili Kementerian Perpaduan Negara, dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, yang mewakili DBP. Upacara penandatanganan itu disaksikan oleh Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara yang mewakili Yang Berhormat (YB) Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara, dan Profesor Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Profesor Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kerjasama antara DBP dengan Kementerian Perpaduan Negara telah dipupuk sejak sekian lama dengan penganjuran pelbagai kegiatan kebahasaan, antaranya termasuklah Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan, dan Dekad Membaca Kebangsaan.

Profesor Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

“Berdasarkan paduan yang baik antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP dalam pelaksanaan pelbagai kegiatan, maka pada hari ini kita mengikatkan perjanjian persefahaman untuk menunjukkan tanda dan bukti bahawa kita lebih serius, dan mudah-mudahan pelbagai kegiatan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang,” kata Profesor Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan.

“Dalam hal ini juga, saya ingin memberikan penegasan tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan sebagai satu daripada unsur sumber perpaduan kebangsaan. Saya perhatikan bahawa dalam buku Dasar Perpaduan Negara turut ditegaskan kepentingan bahasa kebangsaan terhadap pelbagai peringkat masyarakat. Maka itu, DBP sebagai organisasi yang diberikan amanah oleh negara untuk memajukan bahasa dan sastera kebangsaan, serta ilmu dalam pelbagai bidang, tentulah akan melibatkan diri agar cita-cita untuk mengangkat bahasa kebangsaan sebagai satu daripada tunjang perpaduan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” tambah Profesor Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan.

Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara menyampaikan ucapan YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara.

Dalam ucapan YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara, yang dibacakan oleh Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, beliau menghargai kesudian DBP untuk bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di segenap peringkat, termasuklah dalam pemerkasaan agenda perpaduan nasional yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara.

“Bahasa Melayu harus bergerak seiring dengan agenda perpaduan negara. Dalam demografi dinamik yang majmuk dan berbilang bangsa seperti negara kita, pembentukan identiti nasional di bawah satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, adalah penting bagi membentuk penyatupaduan menyeluruh masyarakat. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga merupakan bahasa perpaduan dalam membentuk integrasi antara kepelbagaian budaya Malaysia yang rencam.”

“Status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah disepakati sebagai satu daripada elemen kontrak sosial dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat, selain kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedaulatan Raja-raja Melayu yang dijunjung hingga hari ini. Hal ini merupakan satu manifestasi perpaduan dan toleransi yang telah dibina oleh tokoh-tokoh kemerdekaan agar generasi masyarakat majmuk Keluarga Malaysia pada hari ini terus bersatu padu dan bertoleransi melalui identiti yang sama, iaitu bahasa,” kata YB Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP bertujuan untuk memupuk rasa cinta dan megah kepada bahasa kebangsaan, mewujudkan suasana penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, seterusnya menyemarakkan pembentukan identiti nasional dan semangat jati diri untuk mencapai aspirasi perpaduan Keluarga Malaysia.

Datuk Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15 mendeklamasikan puisi sempena Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Kementerian Perpaduan Negara dengan DBP.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 40 orang tetamu itu diserikan dengan deklamasi puisi yang bertajuk “Dalam Kesopanan Kita” oleh Datuk Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15. Hadir sama bagi meraikan majlis Dr. Kang Tong Hum, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Dasar) Kementerian Perpaduan Negara, Tan Sr Syed Danial Syed Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola DBP, pengarah jabatan dan ketua bahagian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.