Oleh Lutfi Zahid
31 Oktober 2022, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Para peserta Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/2022 begitu teruja dengan sambutan dan layanan istimewa daripada penduduk kampung dan pegawai urus setia Kayuhan Khas SKAW yang dilaksanakan di sekitar kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis pada 30 Oktober 2022 yang lalu.

SKAW 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Perlis bermula pada 27 hingga 30 Oktober 2022 itu melibatkan Komander-Komander Askar Wataniah Siri 500 dari seluruh negara dengan penganjuran pelbagai aktiviti, antaranya termasuklah program kayuhan santai di Kampung Seberang Ramai yang menjadi acara penutup.

Program dimulakan dengan majlis perasmian serentak rumah negeri-negeri oleh setiap Komander Rejimen Askar Wataniah Siri 500, seterusnya diikuti majlis perasmian Laman Kanak-Kanak SKAW, serta acara eksplorasi berbasikal di sekitar kawasan kampung berkenaan. Dalam program tersebut, pelbagai tugasan perlu diselesaikan oleh para peserta, antaranya termasuklah membuat dekorasi laksa Kuala Perlis, demo tarian canggung, mengarang pantun, mengail ketam, membuat kuih tradisional dan bermain Woodball.

Di samping itu, para perserta juga perlu menghasilkan video berdurasi dua minit bagi mempromosikan keunikan Kampung Warna-Warni ini dan dimuat naik ke laman sosial masing-masing menggunakan tanda pagar #skawmaips. Setiap kumpulan peserta turut menghasilkan hamper menggunakan produk makanan tradisional Perlis yang diusahakan oleh penduduk kampung untuk diserahkan kepada rumah kebajikan di sekitar negeri itu.

Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis merupakan cetusan ilham Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, yang juga merupakan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, serta anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Program transformasi ini kini kian dikenali dalam kalangan pelancong tempatan dan juga antarabangsa. Projek yang dimulakan sejak dua tahun lalu, iaitu sejak bermulanya wabak COVID-19, berjaya megubah wajah lama kampung nelayan ini kepada sebuah kampung yang lebih ceria, bersih dan berkonsepkan warna-warni.

Turut berangkat ke program kayuhan ini ialah anakanda-anakanda kepada Tuanku Raja Muda Perlis, iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail, diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Brigedier Jeneral Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu (kanan) menyempurnakan simbolik perasmian rumah negeri-negeri.

Turut berangkat bagi menyempurnakan simbolik perasmian rumah berwarna bendera kebanggaan negeri masing-masing ialah Brigedier Jeneral Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu, merangkap Komander Rejimen 512 AW, dan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Pahang,  selaku Komander Rejimen 505 AW.

SKAW ini diteruskan lagi dengan penglibatan Rejimen Askar Wataniah di Johor pada tahun hadapan, dan dijangka dilaksanakan semula di Perlis pada tahun 2026.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.